Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Parti pemerintah menentang usul pemecatan Presiden Korea Selatan

Parti pemerintah PPP turut tuntut Presiden Yoon meletakkan jawatan
Dec 5, 2024 | 1:25 PM
Ahli parlimen People Power Party (PPP)  mengadakan perhimpunan di Dewan Nasional, Seoul, Korea Selatan pada 5 Disember 2024, membantah tindakan Parti Demokratik, pembangkang utama, untuk memecat memecat Presiden Yoon Suk-yeol,  susulan kegagalannya dalam cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera.
Ahli parlimen People Power Party (PPP) mengadakan perhimpunan di Dewan Nasional, Seoul, Korea Selatan pada 5 Disember 2024, membantah tindakan Parti Demokratik, pembangkang utama, untuk memecat memecat Presiden Yoon Suk-yeol, susulan kegagalannya dalam cubaan mengisytiharkan undang-undang tentera. - Foto EPA-EFE

SEOUL: Parlimen Korea Selatan pada 5 Disember secara rasmi menetapkan usul untuk memecat Presiden Yoon Suk Yeol berikutan percubaan yang gagal untuk melaksanakan undang-undang darurat tentera. Namun, parti pemerintah, People Power Party (PPP), berikrar untuk menentang usul tersebut, mencetuskan ketidakpastian dalam proses pemecatan itu.

Ketua parti pemerintah, Encik Han Dong-hoon, dalam kenyataannya berkata beliau telah meminta Presiden Yoon untuk keluar dari parti. “Saya telah menuntut peletakan jawatan presiden daripada parti. Kami tidak mempertahankan tindakan yang tidak berperlembagaan ini,” katanya. Encik Han juga menegaskan bahawa parti akan bersatu menolak usul pemecatan yang dipimpin pembangkang.

Dalam situasi genting ini, Presiden Yoon menerima peletakan jawatan Menteri Pertahanan Kim Yong-hyun pada 4 Disember dan mencalonkan duta Korea Selatan ke Arab Saudi, Encik Choi Byung-hyuk, sebagai pengganti. Keputusan ini dilihat sebagai usaha Encik Yoon untuk memulihkan keyakinan terhadap pentadbirannya.

Encik Yong-hyun sebelum ini dilaporkan menasihatkan Presiden untuk mengisytiharkan undang-undang tentera pada 3 Disember, namun ditarik balik selepas Parlimen mengundi dan mendesak Encik Yoon membatalkan pengisytiharan itu.

Deklarasi undang-undang darurat oleh Encik Yoon yang diumumkan pada 3 Disember mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat dan komuniti antarabangsa. Undang-undang tersebut bertujuan melarang aktiviti politik dan menyekat media, tindakan yang membuka luka lama apabila deklarasi darurat pernah diisytiharkan empat dekad lalu di Korea Selatan.

Ahli Parlimen dari Parti Demokratik, Encik Kim Seung-won, berkata: “Pengisytiharan darurat oleh rejim Yoon Suk Yeol telah menyebabkan kekeliruan besar dan ketakutan dalam kalangan rakyat.”  Ribuan penunjuk perasaan turun ke jalanan membantah tindakan itu.

Parti Demokratik kini memerlukan sokongan lapan ahli parlimen PPP untuk meluluskan usul pemecatan dengan majoriti dua pertiga dalam parlimen yang mempunyai 300 kerusi.

Krisis ini turut menarik perhatian negara jiran. Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, menyatakan kebimbangan terhadap implikasi politik dan keselamatan akibat ketidakstabilan di Korea Selatan. “Keadaan ini boleh mengubah situasi keselamatan secara asas di rantau ini, terutama dengan peningkatan ketenteraan Korea Utara,” katanya.

Amerika Syarikat turut menyuarakan rasa kecewa. Setiausaha Negara Antony Blinken mengatakan bahawa Washington tidak dimaklumkan terlebih dahulu mengenai deklarasi tersebut. Timbalan Setiausaha Encik Kurt Campbell pula menyifatkan langkah itu sebagai “kesilapan besar” oleh Presiden Yoon.

Jika usul pemecatan diluluskan, Presiden Yoon akan digantung jawatan sehingga Mahkamah Perlembagaan membuat keputusan. Sekiranya mahkamah mengesahkan pemecatan, pilihan raya presiden baharu perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Namun, PPP berikrar untuk bersatu menolak usul ini. “Semua 108 ahli parlimen kami akan bersatu untuk menolak pemecatan presiden,” tegas Encik Choo Kyung-ho, ketua parlimen parti itu.

Pembangkang memerlukan majoriti dua pertiga untuk meluluskan rang undang-undang terbabit dan Mahkamah Perlembagaan kemudian akan memuktamadkan pengesahan keseluruhan proses yang mungkin berlarutan hingga 180 hari, jika ia diluluskan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg