Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Unicef tutup 21 pusat rawat makan tak seimbang di Gaza susulan serangan

Apr 7, 2025 | 11:20 AM
Petugas perubatan daripada Unicef membawa kotak penyejuk berisi vaksin polio di sebuah kem pelarian di Nuseirat, di bawah kempen vaksinasi polio besar-besaran kali ketiga di Gaza. Ia bertujuan memberi dos pertama kepada hampir 600,000 kanak-kanak di seluruh wilayah Palestin.
Petugas perubatan daripada Unicef membawa kotak penyejuk berisi vaksin polio di sebuah kem pelarian di Nuseirat, di bawah kempen vaksinasi polio besar-besaran kali ketiga di Gaza. Ia bertujuan memberi dos pertama kepada hampir 600,000 kanak-kanak di seluruh wilayah Palestin. - Foto AFP

GAZA: Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) telah menutup 21 pusat rawatan malnutrisi di Jaluran Gaza berikutan operasi ketenteraan berterusan oleh Israel serta arahan pemindahan terbaru di kawasan yang terjejas.

Menurut jurucakap Unicef, Encik Kazem Abu Khalaf, penutupan pusat-pusat itu berpunca daripada keadaan keselamatan yang semakin tidak stabil selepas Israel menyambung semula serangannya.

“Keputusan ini bukan dibuat dengan mudah. Kami terpaksa menutup pusat-pusat rawatan demi keselamatan kakitangan dan pesakit yang terdiri daripada kanak-kanak yang sangat lemah dan memerlukan perlindungan,” kata beliau dalam kenyataan yang dipetik oleh agensi berita, Wafa.

Unicef sedang menunggu laporan daripada badan khas yang sedang menilai tahap kekurangan bekalan makanan di Gaza, bagi membentangkan gambaran menyeluruh mengenai krisis kemanusiaan yang semakin meruncing.

Keadaan itu berlaku ketika Gaza sedang menghadapi darurat kemanusiaan yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan sekatan berterusan oleh Israel terhadap bantuan kemanusiaan.

Menurut Unicef, laluan masuk ke Gaza telah ditutup sepenuhnya selama 35 hari berturut-turut, menghalang kemasukan makanan, bekalan perubatan, dan makanan tambahan.

Unicef turut memberi amaran bahawa lebih sejuta kanak-kanak di Gaza kini terputus sepenuhnya daripada bantuan kemanusiaan penting selama lebih sebulan.

“Sekatan ini merupakan pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan memberi kesan buruk terhadap kanak-kanak dan kumpulan rentan lain,” tegas Unicef.

Organisasi itu memaklumkan bahawa ribuan bungkusan bantuan telah sedia untuk dihantar ke Gaza, namun masih belum dibenarkan untuk disalurkan ke wilayah tersebut.

Lebih membimbangkan, bekalan makanan bayi telah kehabisan sepenuhnya, manakala stok susu tepung yang masih ada hanya mampu menampung keperluan 400 kanak-kanak untuk tempoh sebulan.

Pejabat Media Gaza pula melaporkan sekurang-kurangnya 490 kanak-kanak terbunuh dalam tempoh 20 hari lalu, sekali gus mengecam pembunuhan beramai-ramai secara berterusan terhadap orang awam.

Ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian dalam tempoh tersebut kepada 1,350 orang.

Pejabat itu menyifatkan, tindakan terbabit sebagai ‘satu daripada jenayah paling mengerikan terhadap manusia pada zaman moden’ dan menuduh Israel terus melakukan pembunuhan secara kejam terhadap orang awam yang tidak berdaya di Gaza, dengan kanak-kanak menjadi sasaran utama serangan udara.

Kenyataan itu turut menolak dakwaan Israel bahawa kematian dalam kalangan orang awam hanyalah kejadian terpencil.

Sebaliknya, ia menegaskan angka itu mencerminkan dasar sistematik yang disengajakan dengan menyasarkan kanak-kanak Palestin, sekali gus melanggar undang-undang antarabangsa.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, berikrar meningkatkan serangan ke atas Gaza, pada masa yang sama usaha turut dijalankan bagi melaksanakan rancangan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk memindahkan penduduk Palestin dari kawasan itu.

Hampir 50,700 rakyat Palestin terbunuh di Gaza dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.

Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap ke atas Encik Netanyahu dan mantan Menteri Pertahanannya, Encik Yoava Gallant, pada November atas jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas jenayah perang terhadap kawasan itu. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg