Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua PBB kecam pembunuhan 2 kakitangan Doktor Tanpa Sempadan oleh Israel
Ketua PBB kecam pembunuhan 2 kakitangan Doktor Tanpa Sempadan oleh Israel
BANDAR GAZA: Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata pada 28 November bahawa beliau “terkejut dan sedih” dengan pembunuhan dua kakitangan Doktor Tanpa Sempadan (MSF) di sebuah klinik di Gaza oleh tentera Israel.
Tentera Israel melabelkan kedua-duanya sebagai “pengganas” Hamas.
Serangan pada malam 27 November itu berlaku walaupun terdapat gencatan senjata di wilayah Palestin yang musnah akibat perang itu, dan mencetuskan kecaman segera daripada ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) PBB.
MSF menyifatkan pembunuhan kedua-dua lelaki itu sebagai sesuatu yang amat menyayat hati. Organisasi itu mengesahkan bahawa kedua-dua mangsa bertugas sebagai pengawal keselamatan di klinik berkenaan, selain mengecam kejadian tersebut sebagai satu “serangan langsung” terhadap organisasinya.
“Premis kami ditandakan dengan jelas dengan logo MSF, dan lokasinya telah dimaklumkan kepada dan diketahui oleh tentera Israel,” tulisnya di X.
Encik Guterres “bersolidariti dengan MSF” dan “menegaskan semula bahawa semua pihak mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk kewajipan melindungi hospital, klinik, kakitangan perubatan dan pekerja kemanusiaan”, kata PBB dalam satu kenyataan.
Dua lelaki itu dikenal pasti oleh tentera Israel sebagai Allahyarham Encik Ahmad Abou Hassira dan Allahyarham Encik Moaz Sobh, komander sel artileri Hamas.
Tentera itu berkata serangan tersebut tidak menyasarkan hospital dan tiada kerosakan berlaku kepada infrastruktur perubatan di kawasan itu.
Duta Palestin ke Perancis, Cik Hala Abou Hassira, berkata sepupunya yang berusia 25 tahun merupakan salah seorang lelaki yang terbunuh, menyifatkannya sebagai “yang paling baik hati antara kami semua”.
“Baik kemudahan kemanusiaan, mahupun klinik, mahupun kakitangannya, tidak terlepas daripada kekejaman Israel,” tulisnya di X.
Dalam rakaman AFP pada 28 November, ahli keluarga dan orang ramai dilihat meratapi pemergian Ahmad Abou Hassira dengan mengusap dan mencium wajahnya sebelum membawanya untuk dikebumikan.
“Beliau orang awam tidak bersenjata yang tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana puak politik atau organisasi ketenteraan di Semenanjung Gaza. Beliau disasarkan ketika menjalankan tugasnya,” kata salah seorang saudaranya, yang juga bernama Encik Ahmad Abou Hassira, kepada AFP.
“Kami menyeru masyarakat antarabangsa untuk mengambil tindakan bagi menamatkan jenayah yang berterusan ini, pembunuhan harian dan pertumpahan darah,” tambahnya.
Ketua WHO, Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus, pantas mengecam serangan itu.
“Serangan terhadap kemudahan kesihatan, petugas kesihatan dan kakitangan kemanusiaan di Gaza adalah keterlaluan dan tidak boleh diterima. Serangan-serangan ini mesti dihentikan,” katanya dalam satu hantaran di X.
MSF berkata serangan itu menjadikan bilangan pekerjanya yang terbunuh di Gaza seramai 17 orang. - AFP.