Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Palestin sertai Perhimpunan Agung sebagai negara anggota PBB

Sep 11, 2024 | 12:51 PM
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, menghadiri sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB dengan mengambil tempatnya di meja bertanda ‘Negara Palestin’. 
Duta Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Riyad Mansour, menghadiri sesi ke-79 Perhimpunan Agung PBB dengan mengambil tempatnya di meja bertanda ‘Negara Palestin’.  - Foto EPA-EFE

NEW YORK: Palestin duduk di kerusinya bersama negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada sesi pembukaan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 10 September.

Ketetapan PBB telah diluluskan pada Mei yang mengiktiraf Palestin kerana memenuhi syarat untuk menjadi anggota, dan meminta Majlis Keselamatan mempertimbangkan semula untuk mengakui negara itu.

Palestin telah diberikan hak tambahan di PBB, termasuk duduk bersama negara anggota, hak untuk memperkenalkan cadangan dan item agenda, dan mengambil bahagian dalam jawatankuasa, tetapi ia belum diberikan hak untuk mengundi.

Acara simbolik pada 10 September itu mendapat sokongan daripada delegasi Mesir, yang membentangkan usul untuk menunjukkan “detik bersejarah,” tetapi ia ditentang Israel.

Pada Mei, majoriti besar pada Perhimpunan Agung PBB menegaskan bahawa rakyat Palestin berhak menjadi ahli penuh, satu langkah yang disekat Amerika Syarikat menggunakan kuasa veto.

Perhimpunan Agung PBB memberikan delegasi itu hak baru tertentu dalam resolusi terkini, yang masih mengecualikan Palestin daripada dapat mengundi atau menjadi ahli Majlis Keselamatan PBB..

Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, berkata sesi ke-79 dibuka di tengah-tengah “dunia diselubungi masalah”, tetapi menegaskan bahawa negara anggota boleh bekerjasama untuk melakukan sesuatu mengenainya.

Beliau berkata: “Sejak hari pertama, PBB telah menjadi tempat untuk penyelesaian pelbagai hala, berasaskan kerjasama, dialog, diplomasi dan Piagam PBB.

“Dan ia telah menjadi tempat adanya rasa hormat antara satu sama lain, dan menjaga maruah dan hak asasi manusia.

“Semasa kami mengalu-alukan sesi ke-79 ini, tugasan ini kini diserahkan kepada anda.

“Ini adalah tempat penyelesaian dibuat dan kami memerlukan penyelesaian secara menyeluruh.”

Beliau membincangkan pelbagai topik, termasuk kemajuan ekonomi, perubahan iklim dan kecerdasan buatan.

Sesi itu dipengerusikan Encik Filemon Yang dari Cameroon, yang dipilih sebagai presiden Perhimpunan Agung awal 2024.

Beliau menggariskan topik yang dijangka akan mendominasi perbincangan pada perhimpunan 2024, termasuk berusaha ke arah keamanan dan keselamatan, perubahan iklim, pembangunan mampan, kesihatan sejagat dan hak asasi manusia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg