NEW YORK: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata pada 27 Jun bahawa operasi bantuan yang disokong Amerika Syarikat di Gaza “sememangnya tidak selamat”.
Memberikan penilaian yang terus terangnya, beliau berkata: “Ia membunuh orang.”
Israel dan Amerika mahu PBB bekerjasama dengan Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) tetapi PBB telah menolaknya, mempersoalkan sikap berkecuali dan menuduh model pengedaran bantuan ketenteraan dan memaksa pemindahan penduduk.
“Sebarang operasi yang mengarahkan orang awam yang terdesak ke zon ketenteraan sememangnya tidak selamat. Ia membunuh orang,” kata Encik Guterres kepada pemberita.
Beliau berkata pekerja bantuan sendiri kelaparan dan Israel – sebagai kuasa pendudukan – dikehendaki bersetuju dan memudahkan penghantaran bantuan ke dalam dan di seluruh kawasan Palestin.
“Orang ramai dibunuh hanya kerana cuba memberi makan kepada diri mereka sendiri dan keluarga mereka. Pencarian makanan tidak boleh menjadi hukuman mati.
“Sudah tiba masanya untuk mengusahakan gencatan senjata di Gaza,” tambah Encik Guterres.
Sejak Israel menarik balik sekatan bantuan kemanusiaan selama 11 minggu ke atas Gaza pada 19 Mei, penghantaran terhad PBB telah disambung semula.
PBB berkata lebih 400 rakyat Palestin telah terbunuh ketika cuba mendapatkan bantuan makanan daripada operasi GHF.
Seorang pegawai kanan PBB berkata bahawa majoriti penduduk itu terbunuh ketika cuba menuju ke tempat agihan makanan kelolaan GHF.
Menjawab komen Encik Guterres itu, Kementerian Luar Israel berkata tentera Israel tidak pernah menyasarkan orang awam dan menuduh PBB “melakukan segala yang boleh” untuk menentang operasi bantuan GHF.
“Dengan berbuat demikian, PBB sedang menyelaraskan dirinya dengan Hamas, yang juga cuba mensabotaj operasi kemanusiaan GHF,” kata kementerian tersebut menerusi platform X.
Jurucakap GHF berkata tidak ada kematian di atau berhampiran mana-mana tapak pengagihan bantuan GHF.
“Adalah malang PBB terus menegakkan maklumat palsu mengenai operasi kami. Pokoknya, bantuan telah kami hantar dengan selamat.
“Daripada bertengkar dan mengeji, kami mengalu-alukan PBB dan kumpulan kemanusiaan lain untuk menyertai kami dan memberi makan kepada penduduk di Gaza,” jelas GHF.
GHF menggunakan firma keselamatan dan logistik swasta Amerika untuk beroperasi mulai pada 26 Mei.
Setakat ini pihaknya telah memberikan lebih daripada 48 juta makanan di Gaza.
Jabatan Negara Amerika berkata pada 26 Jun bahawa ia telah meluluskan pembiayaan AS$30 juta ($38 juta) untuk GHF. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg