Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua pembangkang Korea S letak jawatan, dijangka umum bertanding pilihan raya Presiden

Apr 9, 2025 | 4:20 PM
Encik Lee Jae-myung, pemimpin Parti Demokrat, merupakan calon utama bagi pilihan raya presiden akan datang dengan sokongan 34 peratus responden menurut tinjauan Gallup yang dikeluarkan pada 4 April.
Encik Lee Jae-myung, pemimpin Parti Demokrat, merupakan calon utama bagi pilihan raya presiden akan datang dengan sokongan 34 peratus responden menurut tinjauan Gallup yang dikeluarkan pada 4 April. - Foto AFP

SEOUL: Ketua parti pembangkang utama Korea Selatan, Encik Lee Jae-myung, pada 9 April mengumumkan peletakan jawatannya sebagai pemimpin Parti Demokrat, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa beliau bakal mengumumkan pencalonannya untuk Pilihan Raya Presiden Korea Selatan yang dijadualkan pada 3 Jun ini.

“Saya akan memulakan tugas baharu,” kata Encik Lee dalam satu mesyuarat kepimpinan parti yang disiarkan secara langsung menerusi saluran YouTube rasminya. Namun, beliau tidak memperincikan perancangannya atau mengesahkan pencalonan beliau.

Pengunduran Encik Lee berlaku ketika beliau mendahului calon lain dalam tinjauan pendapat, dan dijangka menjadi pilihan utama bagi mengisi kekosongan jawatan presiden susulan pemecatan Ebcik Yoon Suk Yeol, yang dipecat selepas Mahkamah Perlembagaan menyokong pemecatannya berikutan pengisytiharan darurat tentera pada Disember lalu.

Sementara itu, Menteri Buruh Korea Selatan, Encik Kim Moon-soo, turut mengumumkan pencalonannya pada 9 April. Beliau sebelum ini merupakan antara tokoh konservatif yang lantang menyokong bekas presiden Yoon, malah menyeru agar Encik Yoon dilantik semula.

Encik Kim berkata, sekiranya dipilih, beliau akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kerjasama keselamatan dengan Amerika Syarikat serta meneroka kemungkinan Korea Selatan memiliki keupayaan nuklear melalui pemprosesan bahan api nuklear.

“Sebagai tindak balas terhadap ancaman nuklear Korea Utara, saya akan menjadi pemimpin global dalam mempertahankan kebebasan dan hak asasi manusia dengan memperoleh teknologi pemprosesan bahan api nuklear dan membangunkan kapal selam berkuasa nuklear,” katanya.

Walaupun Encik Kim mendahului dalam kalangan calon konservatif, beliau masih ketinggalan jauh di belakang Lee dalam senario pertandingan dua penjuru.

Parti Demokrat kini kelihatan bersedia untuk memberi laluan kepada Encik Lee, yang juga pernah menjadi calon presiden dalam pilihan raya 2022 dan tewas kepada Encik Yoon dengan margin paling kecil dalam sejarah negara.

Namun, pada tahun 2024, Encik Lee berjaya membawa partinya memenangi pilihan raya parlimen dengan majoriti besar, memperkukuh kedudukannya sebagai tokoh utama pembangkang.

Encik Lee, 61 tahun, turut berdepan beberapa isu undang-undang. Pada bulan Mac, mahkamah telah membatalkan sabitan terhadapnya atas dakwaan melanggar undang-undang pilihan raya, namun pendakwa raya telah mengemukakan rayuan ke Mahkamah Agung. Beliau juga masih dibicarakan atas dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa, walaupun tidak jelas sama ada kes-kes ini akan menjejaskan peluangnya dalam pilihan raya.

Encik Lee juga sebelum ini menjadi mangsa serangan pisau pada tahun 2024 yang menyebabkan kecederaan serius, namun beliau kini telah pulih sepenuhnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan Korea Selatan pada 9 April menegaskan bahawa lebih 300,000 pemerhati bebas dan petugas pilihan raya telah memantau proses pilihan raya 2024, dan tidak ada bukti yang menunjukkan sebarang penyelewengan atau keraguan terhadap integriti pilihan raya tersebut.

Encik Yoon pula kini berdepan perbicaraan jenayah berasingan atas tuduhan menganjurkan pemberontakan melalui pengisytiharan darurat tentera tanpa justifikasi perlembagaan.

Pilihan raya presiden kali ini bukan sahaja menentukan arah tuju politik domestik, tetapi juga bakal menentukan bagaimana pemimpin baharu akan mengemudi Korea Selatan dalam menghadapi cabaran global seperti perang perdagangan yang semakin memuncak susulan dasar tarif agresif Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

“Pertarungan ini bukan sekadar soal kepimpinan politik, tetapi soal hala tuju masa depan ekonomi dan keselamatan negara,” ujar seorang penganalisis politik tempatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg