DOHA (Qatar): Kelemahan pemerintah Syria dan keberhasilan pasukan penentang akan mempunyai “implikasi besar” ke atas negara jiran Lebanon, kata utusan Amerika Syarikat, Encik Amos Hochstein.
Bercakap pada Forum Doha, diplomat Amerika itu berkata Iran akan mendapati sukar untuk memindahkan senjata kepada kumpulan bersenjata Lebanon, Hezbollah.
Perikatan pemberontak yang diketuai oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS) melancarkan serangan mengejut terhadap pemerintah Presiden Bashar al-Assad pada 27 November – sehari selepas gencatan senjata yang diusahakan Encik Hochstein membantu perantaraan antara Israel dan Hezbollah.
Pemerintah Syria menghadapi kerugian strategik yang tidak pernah berlaku sebelum ini – kehilangan empat bandar dalam jangka masa singkat.
“Saya rasa apa yang berlaku di Syria, yang sudah tentu berlaku sehari selepas gencatan senjata bermula, kini mewujudkan kelemahan baru bagi Hezbollah,” kata Encik Hochstein di sesi forum di ibu negara Qatar itu, yang menghimpunkan pemimpin dunia, diplomat kanan dan pakar perhubungan antarabangsa.
“Ia akan menyukarkan Iran, yang telah menarik diri dari Syria, membawa masuk senjata,” kata beliau.
Encik Hochstein berkata beliau tidak menjangkakan bahawa perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah telah “melemahkan rejim” Syria.
Perjanjian gencatan senjata itu, bagaimanapun, termasuk mengawal “aliran persenjataan yang datang dari Syria”, dengan perlindungan sempadan Syria-Lebanon sebagai “kunci” yang menentukan kejayaan gencatan senjata, jelas beliau.
Kini, Hezbollah tidak pasti sama ada ia boleh terus berjuang seperti yang dilakukan selama lebih 10 tahun, kata diplomat itu.
Menurutnya, keupayaan Hezbollah untuk menentang Israel tampak telah berkurangan.
Dalam pada itu, tentera udara Israel telah menyerang kemudahan penyimpanan di selatan Lebanon atas alasan Hezbollah beroperasi “dalam kemudahan penyimpanan senjata itu,” kata Angkatan Pertahanan Israel (IDF) dalam satu kenyataan pada 9 Disember.
Tentera Israel berkata Hezbollah melanggar perjanjian gencatan senjata antara Israel dan Lebanon kerana anggota mereka beroperasi di sana.
Di sebalik serangan yang dilancarkannya itu, IDF berkata mereka “beroperasi mengikut perjanjian dan persefahaman antara Israel dengan Lebanon”.
“IDF beroperasi mengikut perjanjian dan persefahaman antara Israel dengan Lebanon, mematuhi syarat gencatan senjata.
“IDF akan tetap ditempatkan di selatan Lebanon dan akan beroperasi menentang sebarang ancaman yang ditimbulkan kepada negara Israel dan rakyatnya,” tambah kenyataan IDF.
Israel menyerang selatan Lebanon pada Oktober 2024 sebagai sebahagian daripada peningkatan konflik mereka dengan Hezbollah.
Berikutan rundingan yang panjang, pemerintah Israel meluluskan perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah pada 26 November, yang berkuat kuasa pada hari berikutnya.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, memberi amaran bahawa gencatan senjata itu akan bergantung pada tindakan Hezbollah. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg