Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua pemberontak Syria ikrar bubar semua kumpulan bersenjata

Dec 18, 2024 | 2:13 PM
Seorang anggota pemberontak bergambar di depan Masjid Umayyad di Damsyik selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menumbangkan rejim Bashar Al-Assad di Syria.
Seorang anggota pemberontak bergambar di depan Masjid Umayyad di Damsyik selepas kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS) menumbangkan rejim Bashar Al-Assad di Syria. - Foto AFP

DAMSYIK: Pemimpin pakatan pemberontak yang telah mengambil alih kuasa di Syria berkata semua kumpulan penentang bersenjata di negara itu akan dibubarkan, lapor media pemerintah Syria pada 17 Disember.

Pengumuman itu dibuat ketika pemerintah baru berusaha membangunkan sebuah negara yang berfungsi.

Ketua pakatan itu, Encik Ahmed al-Sharaa, berkata semua kumpulan itu akan diletakkan di bawah kuasa kementerian pertahanan.

Namun, tidak jelas bagaimana atau bila rancangan itu akan dilaksanakan atau sama ada kumpulan bersenjata yang bersaing akan bersetuju dengan gagasan tersebut.

Agensi berita negara Syria, Sana, memetik Encik Sharaa sebagai berkata “Semua pihak akan tertakluk pada undang-undang.”

Komennya dibuat lebih seminggu selepas tumbangnya rejim Presiden Bashar al-Assad, ketika pihak berkuasa baru di Damsyik berusaha mengembalikan kestabilan selepas 13 tahun perang saudara.

Ia juga bertujuan memantapkan pengiktirafan antarabangsa melalui beberapa siri pertemuan bersama diplomat dari Eropah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Timur Tengah.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, membuat lawatan pada 17 Disember ke wilayah di barat daya Syria yang dirampas tentera negaranya selepas pemberontak menggulingkan rejim Assad.

Tentera Israel memasuki lebih jauh ke kawasan yang dikuasai Israel di Bukit Golan dan zon penampan di sepanjang sempadan buat kali pertama dalam beberapa dekad, menawan kawasan yang merangkumi puncak Gunung Hermon.

Encik Netanyahu berkata tentera Israel akan kekal di bukit itu “hingga aturan lain ditemui yang menjamin keselamatan Israel”.

Dalam satu temu bual bersama The New York Times dan saluran berita lain pada 16 Disember, Encik Sharaa mengkritik kemaraan tentera Israel ke dalam dan di luar zon penampan dan berkata Syria akan terus mematuhi perjanjian 1974 selepas berakhirnya peperangan pada 1973.

Beliau menyeru masyarakat antarabangsa supaya memastikan Israel mematuhinya juga.

Amerika Syarikat, beberapa negara lain dan PBB masih menganggap kumpulan pemberontak Hayat Tahrir al-Sham yang diketuai oleh Encik Sharaa sebagai pertubuhan pengganas.

Label itu sangat mengehadkan bantuan yang boleh diberikan oleh negara dan pertubuhan kepada pemerintah baru.

Encik Sharaa telah menyeru negara dunia agar menghapuskan tanggapan itu.

Setiausaha Negara Amerika, Encik Antony J. Blinken, berkata Washington telah berhubung secara langsung dengan pemberontak dan menyatakan kesediaan membantu mereka “berjaya”.

Utusan Kkhas PBB di Syria, Encik Geir Pedersen, memberitahu Majlis Keselamatan pada 17 Disember bahawa peralihan politik inklusif dan konkrit di Syria adalah kunci bagi memastikan negara itu mendapat sokongan ekonomi yang diperlukan.

“Keperluan itu amat besar dan hanya boleh ditangani dengan sokongan meluas, termasuk penamatan sekatan yang lancar, tindakan sewajarnya terhadap penjawat dan pembinaan semula sepenuhnya,” katanya.

Encik Pedersen dan ketua bantuan PBB, Encik Tom Fletcher, yang telah bertemu pemimpin baru Syria, memberi taklimat kepada majlis 15 anggota itu dari Damsyik. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg