ADEN: Krisis politik dan keselamatan di selatan Yaman memasuki fasa lebih tidak menentu selepas ketua kumpulan pemisah utama negara itu, Encik Aidarous al-Zubaidi, dilaporkan menghilang ke lokasi yang tidak diketahui pada 7 Januari, hanya beberapa jam sebelum beliau dijadualkan berlepas ke Riyadh bagi menghadiri rundingan yang bertujuan meredakan ketegangan antara sekutu utama Teluk, Arab Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
Pengumuman itu dibuat jurucakap gabungan ketenteraan pimpinan Arab Saudi, Encik Turki al-Maliki, yang memaklumkan bahawa Encik Al-Zubaidi tidak menaiki pesawat yang membawa barisan kepimpinan kanan Majlis Peralihan Selatan (STC) ke Riyadh selepas penerbangan tersebut tertangguh lebih tiga jam.
“Pesawat berlepas tanpa kehadiran Al-Zubaidi, dan sehingga kini tiada maklumat mengenai keberadaannya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Encik al-Maliki, sepanjang tempoh kelewatan itu, pihaknya menerima maklumat mengenai pergerakan ketenteraan berskala besar di selatan Yaman. “Terdapat petunjuk beliau telah menggerakkan pasukan besar, termasuk seruan mobilisasi serta pergerakan dan persenjataan kumpulan bersenjata dengan senjata ringan dan sederhana,” katanya, sekali gus mencetuskan kebimbangan bahawa krisis itu berpotensi bertukar menjadi konflik bersenjata lebih luas.
STC setakat ini tidak mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai keberadaan Encik Al-Zubaidi. Kehilangannya berlaku ketika usaha diplomatik sedang giat dijalankan untuk menamatkan pertempuran yang meletus sejak Disember lalu antara pasukan pemisah yang disokong UAE dan pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa serta disokong Arab Saudi.
Encik Al-Zubaidi sebelum ini dijadualkan berangkat ke Riyadh atas jemputan rasmi Menteri Pertahanan Arab Saudi, Putera Khalid bin Salman, beberapa hari selepas pemerintah Yaman meminta Arab Saudi menganjurkan forum khas bagi membincangkan “isu selatan”.
Seorang pegawai STC yang dipetik AFP sebelum ini memaklumkan bahawa dialog tersebut dijangka merangkumi rundingan politik mengenai masa depan wilayah selatan Yaman, dengan penajaan Arab Saudi.
Namun, status rundingan itu kini menjadi tanda tanya besar selepas Encik Al-Zubaidi dilaporkan menghilang. Perkembangan itu segera mencetuskan tindak balas keras daripada kepimpinan Yaman yang disokong Riyadh.
Majlis Kepimpinan Presiden Yaman mengumumkan bahawa keanggotaan Encik Al-Zubaidi dalam majlis itu telah dilucutkan serta-merta dan beliau dirujuk kepada pendakwa raya atas beberapa pertuduhan serius, termasuk pengkhianatan besar terhadap negara.
Dalam satu keputusan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Majlis Kepimpinan Presiden, Encik Rashad al-Alimi, Encik Al-Zubaidi dituduh menghasut pemberontakan bersenjata, menyerang pihak berkuasa berperlembagaan dan melakukan pencabulan terhadap orang awam di selatan Yaman.
Agensi berita rasmi SABA melaporkan bahawa tindakan itu diambil bagi “memelihara keutuhan negara dan mencegah perpecahan lebih lanjut”.
Krisis terbaru ini menyerlahkan perpecahan mendalam antara Arab Saudi dan UAE, dua kuasa Teluk yang sebelum ini bekerjasama rapat dalam konflik Yaman. Kedua-dua negara mula campur tangan secara ketenteraan lebih sedekad lalu selepas kumpulan Houthi yang disokong Iran menawan ibu negara Sana’a pada 2014. Setahun kemudian, UAE menyertai gabungan pimpinan Arab Saudi bagi menyokong pemerintah Yaman yang diiktiraf antarabangsa.
STC, yang ditubuhkan pada 2017 dengan sokongan UAE, pada asalnya menyertai gabungan pemerintah itu dan selama bertahun-tahun menjadi sebahagian daripada pentadbiran yang menguasai selatan dan timur Yaman. Namun keseimbangan rapuh itu runtuh pada Disember lalu apabila pasukan STC secara mengejut merampas beberapa kawasan strategik, termasuk wilayah di Hadramout yang berhampiran sempadan Arab Saudi.
Langkah itu dilihat Riyadh sebagai ancaman langsung terhadap keselamatan nasionalnya, mendorong tekanan ke atas UAE untuk menarik keluar tenteranya dari Yaman. Walaupun UAE kemudian mengurangkan kehadiran ketenteraan, sokongannya terhadap STC kekal, sekali gus meletakkan Arab Saudi dan UAE di pihak yang berbeza dalam landskap politik Yaman.
Pada 7 Januari, gabungan pimpinan Arab Saudi turut mengesahkan melancarkan serangan udara pencegahan terhad di wilayah al-Dhalea, kampung halaman Encik Al-Zubaidi, selepas memantau pergerakan pasukan bersenjata yang meninggalkan kem mereka. Sumber tempatan dan dalam STC melaporkan lebih 15 serangan udara dilancarkan di wilayah itu, menambah kebimbangan bahawa konflik dalaman Yaman berisiko merebak.
Penganalisis melihat kehilangan Encik Al-Zubaidi sebagai isyarat jelas bahawa krisis selatan Yaman bukan sekadar pertikaian tempatan, tetapi medan perebutan pengaruh antara Arab Saudi dan UAE. “Apa yang berlaku sekarang mendedahkan keretakan serius dalam pakatan Teluk yang selama ini menjadi tonggak menentang Houthi,” kata seorang pemerhati serantau. “Selagi perbezaan strategik antara Riyadh dan Abu Dhabi tidak diselesaikan, Yaman akan terus menjadi medan konflik berlapis.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg