KAHIRAH: Satu delegasi yang diketuai oleh Aidarous al-Zubaidi, pemimpin kumpulan pemisah utama Yaman STC, akan berkunjung ke Arab Saudi tidak lama lagi, dua sumber memberitahu Reuters pada 5 Januari.
Kunjungan tersebut merupakan satu tanda kemajuan yang berpotensi ke arah menamatkan konflik antara kumpulan pemisah dengan pemerintah Yaman yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Konflik itu, yang bermula awal bulan lalu, telah mencetuskan permusuhan besar antara kuasa Teluk – Saudi dan Amiriah Arab Bersatu (UAE) – dan turut memecahbelahkan gabungan yang menentang pasukan Houthi.
Houthi yang disokong Iran merampas ibu kota Sanaa pada 2014 dan negara-negara Teluk campur tangan pada tahun berikutnya untuk menyokong pemerintah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, memecahbelahkan Yaman kepada zon kawalan yang bersaing.
Majlis Peralihan Selatan (STC) yang disokong UAE selama bertahun-tahun telah menjadi sebahagian daripada pemerintah yang mengawal selatan dan timur Yaman serta disokong oleh negara-negara Teluk, tetapi pada Disember pasukan STC tiba-tiba merampas sebahagian besar wilayah.
Lawatan Encik Al-Zubaidi berlaku beberapa hari selepas pemerintah yang diiktiraf di peringkat antarabangsa berkata lewat 2 Januari bahawa ia telah meminta Saudi untuk menjadi tuan rumah forum bagi menyelesaikan isu selatan.
Riyadh bersetuju dan melanjutkan jemputan kepada puak-puak di selatan Yaman.
STC mengalu-alukan seruan untuk dialog, berpotensi memberi isyarat bahawa semua pihak kini melihat rundingan sebagai cara terbaik untuk menamatkan konflik singkat itu.
Pasukan pemerintah yang disokong oleh serangan udara Saudi pada 2 dan 3 Januari telah merampas semula wilayah Hadramout dan Mahra yang penting secara strategik di timur Yaman.
Krisis itu mencetuskan perpecahan terbesar dalam beberapa dekad antara bekas sekutu rapat Saudi dan UAE, ketika perbezaan pendapat selama bertahun-tahun mengenai isu-isu kritikal memuncak, mengancam untuk menggugat ketenteraman serantau.
Media sebelum ini memetik satu kenyataan STC pada 3 Januari sebagai berkata inisiatif Saudi merupakan satu “peluang ikhlas untuk dialog yang serius” yang dapat melindungi “aspirasi rakyat selatan”.
Kenyataan itu dikeluarkan beberapa jam selepas pemerintah Yaman yang disokong Saudi dan diiktiraf antarabangsa berkata ia telah mengambil semula kawalan Mukalla, pelabuhan utama di timur dan ibu negeri wilayah Hadramout, daripada pemisah selatan yang merampasnya pada Disember. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg