DUBAI: Beratus-ratus pelancong terkandas di Pulau Socotra, Yaman, selepas penerbangan ditangguhkan akibat pertempuran di tanah besar, kata dua pegawai dan sebuah agensi pelancongan pada 5 Januari.
Sejak beberapa hari lalu, penerbangan masuk dan keluar dari Yaman sebahagian besarnya telah dihadkan berikutan keganasan yang semakin meningkat antara puak bersenjata yang bersaing di bawah pemerintah tetapi disokong secara berasingan oleh Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi.
Timbalan gabenor budaya dan pelancongan Socotra, Encik Yahya Afrar, menyatakan bahawa terdapat “lebih daripada 400 pelancong asing” yang terkandas di pulau tersebut akibat “penerbangan mereka telah digantung”.
Seorang lagi pegawai tempatan berkata semua penerbangan asing dan domestik telah ditangguhkan di pulau itu sejak darurat diisytiharkan pada akhir Disember.
“Kami kini mempunyai 416 warga asing yang terkandas dari pelbagai negara, termasuk lebih daripada 60 warga Russia,” kata pegawai berkenaan, yang meminta namanya dirahsiakan untuk membincangkan perkara sensitif.
Seorang ejen pelancongan di Socotra, yang bercakap dengan syarat namanya dirahsiakan, memberikan angka yang serupa.
Pulau itu mempunyai tiga penerbangan seminggu dari ibu negara UAE, Abu Dhabi, yang membawa pelancong asing, kata pegawai tempatan itu lagi.
“Kami telah merayu dan menyeru agar penerbangan disambung semula,” katanya, sambil menambah bahawa lapangan terbang itu harus “dijauhkan daripada konflik politik”.
Dengan landskapnya yang subur, haiwan unik dan perairan biru kehijauan yang menjadi tempat tinggal ikan lumba-lumba, kepulauan Socotra telah menjadi tarikan pelancong yang sukakan cabaran selama bertahun-tahun.
Ramai yang berlepas dari UAE, penyokong utama pasukan Majlis Peralihan Selatan (STC) yang mengawal kepulauan tersebut.
Seorang diplomat Barat berkata pelancong asing yang pergi ke pulau itu untuk menyambut Tahun Baru kini terkandas selepas penerbangan mereka dibatalkan.
“Mereka telah menghubungi kedutaan masing-masing untuk mendapatkan bantuan. Kedutaan mereka sebaliknya telah menghubungi pemerintah Saudi dan Yaman untuk memindahkan mereka,” kata diplomat itu.
Seorang lagi diplomat Barat menyatakan terdapat warganegara Britain, Perancis dan Amerika Syarikat yang turut terkandas.
Dalam satu catatan di X pada 4 Januari, jurucakap Kementerian Luar Poland, Cik Maciej Wewior, berkata pelancong Poland juga menerima nasib yang sama.
“Socotra terletak di rantau yang sangat tidak stabil dan dilanda konflik bersenjata selama bertahun-tahun. Keadaan keselamatan semakin merosot disebabkan peningkatan operasi ketenteraan, ruang udara telah ditutup,” tambah catatan itu. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg