Topik diikuti
Pergi ke BHkuKetua Pengaman PBB desak bincang segera masa depan misi Lebanon
Ketua Pengaman PBB desak bincang segera masa depan misi Lebanon
BEIRUT: Ketua Pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Jean-Pierre Lacroix, pada 14 Oktober menggesa Majlis Keselamatan PBB supaya memulakan perundingan mengenai masa depan pasukan pengaman yang dikerahkan di Lebanon.
Desakan tersebut dibuat ketika Beirut giat berkempen bagi memohon pelanjutan mandat yang dijadual berakhir pada penghujung 2026.
Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil) telah dikerah di selatan Lebanon sejak 1978, namun Majlis Keselamatan pada 2025 mengarahkan agar misi berkenaan memulakan proses pengunduran pada akhir 2026.
Sejak perang baharu tercetus pada Mac antara Israel dengan kumpulan Hezbollah yang disokong Iran, pemerintah Lebanon berkempen bagi memohon pelanjutan mandat Unifil.
Pemerintah berkenaan mengetengahkan peranan penting Unifil dalam memantau permusuhan serta mempermudah proses penghantaran bantuan ke kampung di kawasan yang diduduki Israel.
Setiausaha Agung PBB, Encik Antonio Guterres, awal 2026 telah mengemukakan beberapa usulan berhubung kehadiran berterusan pasukan pengaman PBB di Lebanon, namun belum ada sebarang tindakan yang diambil setakat ini, kata Encik Lacroix kepada agensi berita, Reuters, di Beirut.
“Usulan ini sudah dikemukakan kepada Majlis Keselamatan. Belum ada sebarang perkembangan di Majlis Keselamatan setakat ini, tetapi saya percaya perundingan akan bermula secara serius... tidak lama lagi,” katanya.
“Saya rasa bukankah lebih baik jika keputusan dapat dicapai lebih awal daripada tergesa-gesa pada saat akhir?
“Ini kerana (keputusan) itu akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai masa depan kami, khususnya dari sudut pandang lebih terhad dalam perancangan kami sendiri,” tambahnya.
Menurut para diplomat, Amerika Syarikat tidak menyokong pelanjutan mandat bagi Unifil, namun Encik Lacroix menegaskan bahawa adalah penting untuk memberi tumpuan kepada permohonan Lebanon dan beliau percaya perundingan di Majlis Keselamatan dapat membuahkan hasil yang membina.
Kira-kira 7,500 anggota pengaman Unifil masih dikerahkan di sekitar 50 pos tentera di selatan Lebanon, yang dijangka diserahkan kepada tentera negara itu sekiranya tiada persetujuan bagi pasukan PBB baharu dicapai.
Namun, memandangkan sebahagian besar pos tentera berkenaan kini terletak di wilayah yang diduduki tentera Israel, ia kekal tidak jelas bagaimana tentera Lebanon boleh dikerah untuk mengambil alih pos tersebut.
Menurut Encik Lacroix, kepastian berhubung penempatan pasukan baharu PBB di selatan Lebanon akan membantu Unifil memastikan ia tidak “meninggalkan kedudukan berkenaan secara pramatang sebelum mengetahui langkah seterusnya”.
Selain mempermudah proses penghantaran bantuan dan memantau permusuhan, pasukan pengaman itu turut mengendalikan talian penting bagi meredakan sebarang ketegangan antara tentera Lebanon dengan Israel.
Encik Lacroix menekankan bahawa peranan meredakan ketegangan itu amat penting, memandangkan tentera Israel kini berada di zon keselamatan yang ditetapkan secara satu pihak di dalam wilayah Lebanon.
Beliau berkata kehadiran tentera Israel dan Lebanon di kawasan geografi yang sama berisiko “mencetuskan ketegangan berterusan serta risiko kejadian yang boleh hilang kawalan”, sekali gus “memerlukan pihak ketiga untuk meredakan keadaan”. – Reuters.