NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke-81 berlangsung ketika Timur Tengah berdepan krisis keselamatan dan kemanusiaan yang semakin rumit.

Ia sekali gus menguji kemampuan badan dunia itu menyelesaikan konflik yang membabitkan kepentingan kuasa besar.

Daripada peperangan Amerika Syarikat dengan Iran kepada masa depan negara Palestin dan keselamatan Lebanon, perbahasan pemimpin dunia di New York memperlihatkan jurang antara komitmen diplomatik dengan tindakan sebenar di lapangan.

Persoalannya bukan sekadar sama ada PBB mampu menghasilkan resolusi baharu, tetapi sama ada keputusan tersebut dapat dilaksanakan apabila negara berpengaruh mempunyai kepentingan strategik yang bertentangan.

Perhimpunan pada 2026 turut memperlihatkan satu perkembangan penting dalam diplomasi antarabangsa, iaitu usaha memperkukuh peranan Perhimpunan Agung ketika Majlis Keselamatan PBB semakin sukar mencapai persetujuan berhubung konflik utama dunia.

Perkembangan itu mempunyai implikasi besar terhadap negara Timur Tengah yang bergantung pada undang-undang antarabangsa, diplomasi pelbagai hala dan sokongan masyarakat dunia untuk mempertahankan keselamatan serta kedaulatan masing-masing.

Diplomasi Iran-Amerika: Peluang di tengah ancaman

Konfrontasi Washington dengan Teheran menjadi antara isu utama perhimpunan kali ini, khususnya selepas Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mengulangi ancaman untuk memusnahkan Iran sekiranya persetujuan damai gagal dicapai.

Dalam ucapannya pada 22 September, beliau menyatakan bahawa Washington berdepan keputusan besar sama ada mencapai persetujuan dengan Iran atau meneruskan tindakan ketenteraan.

Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, membalas kenyataan itu dengan menuduh Amerika melakukan keganasan terhadap negaranya, sambil menegaskan bahawa Teheran masih bersedia mencari penyelesaian diplomatik.

“Kami tidak akan tunduk,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada 23 September.

Pertukaran kenyataan tersebut memperlihatkan satu percanggahan dalam hubungan kedua-dua negara. Walaupun retorik politik semakin keras, saluran diplomasi masih terbuka.

Pegawai kedua-dua negara dilaporkan mengadakan hubungan tidak langsung melalui perantara di luar persidangan PBB.

Menurut Encik Luigi Toninelli dari pusat kajian Institut Pengajian Politik Antarabangsa (ISPI), lawatan delegasi Iran ke New York memberi peluang kepada kelompok yang menyokong dialog di Teheran agar menghidupkan semula rundingan.

Bagaimanapun, beliau berpandangan bahawa pendirian kedua-dua negara masih terlalu jauh untuk menghasilkan persetujuan bermakna dalam masa terdekat.

Dari perspektif hubungan antarabangsa, perkembangan itu mencerminkan dilema diplomasi paksaan, iaitu penggunaan ancaman ketenteraan untuk mendapatkan konsesi politik.

Strategi sedemikian boleh meningkatkan tekanan terhadap pihak lawan, tetapi pada masa yang sama berisiko menyukarkan rundingan kerana sebarang tolak ansur mungkin ditafsirkan sebagai kelemahan.

Penyelesaian Palestin

Persoalan Palestin pula memperlihatkan jurang antara sokongan diplomatik antarabangsa dengan perubahan sebenar di wilayah yang diduduki Israel.

Setahun selepas usaha antarabangsa memperkukuh penyelesaian dua negara, peluasan penempatan Israel dan keadaan kemanusiaan di Gaza terus menimbulkan persoalan mengenai masa depan negara Palestin.

Presiden Palestin, Encik Mahmoud Abbas, terpaksa menyampaikan ucapan melalui rakaman video selepas Amerika sekali lagi menolak permohonan visa beliau untuk menghadiri perhimpunan tersebut.

Dalam ucapannya pada 24 September, beliau memberi amaran bahawa dasar Israel bukan sekadar mengancam penyelesaian dua negara, bahkan kelangsungan rakyat Palestin di tanah air mereka.

“Rakyat Palestin akan kekal di tanah air mereka. Mereka tidak akan menerima pengusiran,” tegas beliau.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebaliknya mempertahankan pendirian pemerintahannya dan mengkritik beberapa negara yang menentang dasar Israel.

Perbezaan tersebut menonjolkan masalah asas dalam usaha perdamaian, iaitu pengiktirafan diplomatik terhadap Palestin belum menjamin pembentukan sebuah negara berdaulat.

Dalam pertemuan peringkat tinggi mengenai penyelesaian dua negara pada 22 September, Setiausaha Agung PBB, Encik António Guterres, menggesa masyarakat antarabangsa supaya menterjemahkan pengiktirafan Palestin kepada tindakan.

Beliau menekankan keperluan menghentikan peluasan penempatan, mencegah pengilhakan wilayah dan memperkukuh institusi Palestin.

“Masa semakin suntuk,” beliau memberi amaran.

Persoalan utama kini ialah bagaimana sokongan antarabangsa dapat diterjemahkan kepada mekanisme politik yang menjamin keselamatan Israel serta hak rakyat Palestin menentukan masa depan mereka.

Lebanon: Masa depan pemantauan antarabangsa

Di Lebanon, perhatian tertumpu kepada masa depan Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil), yang dijadual menamatkan operasinya pada 31 Disember 2026 sebelum memulakan pengunduran secara berperingkat.

Keputusan tersebut menimbulkan persoalan mengenai keselamatan selatan Lebanon, khususnya pemantauan kegiatan ketenteraan Israel dan Hezbollah serta kemampuan tentera Lebanon mengambil alih tanggungjawab keselamatan.

Menurut dua penganalisis, Dr Vanessa Newby, dari Universiti Monash, dan Profesor Chiara Ruffa, dari Sciences Po, kehadiran antarabangsa masih diperlukan bagi memastikan pemantauan keselamatan yang berkecuali.

Mereka berhujah bahawa inisiatif yang diketuai Amerika tidak semestinya dapat menggantikan kerjasama pelbagai hala, khususnya apabila wujud ketidakseimbangan kuasa antara pihak yang bertelagah.

Dalam konteks ini, masa depan Unifil bukan sekadar persoalan penempatan pasukan pengaman, tetapi turut menyentuh kedaulatan Lebanon dan keberkesanan mekanisme keselamatan serantau.

Kuasa veto dan kebangkitan Perhimpunan Agung

Ketiga-tiga krisis tersebut memperlihatkan kelemahan struktur PBB, khususnya kuasa veto lima anggota tetap Majlis Keselamatan.

Amerika, Britain, Perancis, Russia dan China mempunyai kuasa menghalang keputusan substantif Majlis Keselamatan walaupun mendapat sokongan majoriti anggota lain.

Bagaimanapun, kebuntuan tersebut turut meningkatkan kepentingan Perhimpunan Agung yang mempunyai 193 anggota, masing-masing dengan satu undi.

Profesor Alanna O’Malley, dari Universiti Erasmus Rotterdam, menekankan bahawa Perhimpunan Agung menyediakan ruang kepada negara kecil dan sederhana, khususnya negara Selatan Global, untuk mempengaruhi agenda antarabangsa.

Satu perkembangan penting ialah inisiatif Liechtenstein pada 2022 yang membolehkan Perhimpunan Agung mengadakan perbahasan dalam tempoh 10 hari bekerja selepas kuasa veto digunakan.

Walaupun mekanisme tersebut tidak membatalkan veto, ia meningkatkan ketelusan dengan membuka ruang kepada semua anggota PBB agar meneliti keputusan kuasa besar.

Dari sudut institusi, mekanisme itu mengukuhkan kebertanggungjawapan politik tanpa mengubah pembahagian kuasa yang termaktub dalam Piagam PBB.

Bagi Timur Tengah, pendekatan tersebut menyediakan saluran tambahan untuk mengetengahkan krisis kemanusiaan, mempertahankan prinsip kedaulatan dan mengekalkan tekanan diplomatik.

Bagaimanapun, resolusi Perhimpunan Agung secara umum berbentuk saranan dan tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan seperti keputusan tertentu Majlis Keselamatan.

Justeru, keberkesanannya masih bergantung pada kesediaan negara anggota mengambil tindakan susulan.

Perhimpunan Agung ke-81 akhirnya menguji dua perkara yang saling berkaitan, iaitu keupayaan PBB membina kesepakatan politik dan kesediaan kuasa besar melaksanakan komitmen antarabangsa.

Tanpa kedua-duanya, sokongan diplomatik terhadap keamanan Timur Tengah berisiko kekal sebagai pernyataan politik, sedangkan konflik dan penderitaan penduduk awam berterusan. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti