JAKARTA: Ketua Penjara Kelas IIA Cibinong di Jawa Barat, Encik Wisnu Hani Putranto, dipecat daripada perkhidmatan awam Indonesia susulan penemuan “kluster mewah” yang dilengkapi sofa, peti sejuk, televisyen, gimnasium dan kemudahan lain untuk banduan.

Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan Indonesia berkata Encik Wisnu merupakan seorang daripada 17 kakitangan awam yang dikenakan tindakan disiplin berhubung skandal itu.

Ketua Inspektorat kementerian, Encik Rudi Setiawan, pada 5 Oktober mengesahkan Encik Wisnu bukan sahaja dilucutkan jawatannya sebagai ketua penjara, malah dipecat sebagai kakitangan awam.

“Ya, beliau dipecat. Dipecat sebagai kakitangan awam,” katanya di pejabat kementerian di Jakarta pada 5 Oktober.

Daripada 17 kakitangan yang dikenakan tindakan, lima disyorkan menerima hukuman disiplin berat manakala 11 lagi dikenakan hukuman disiplin peringkat sederhana.

Menurut Encik Rudi, tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati berlaku pelanggaran peraturan disiplin kakitangan awam, termasuk penyalahgunaan kuasa.

Skandal itu terbongkar selepas Ombudsman Indonesia melakukan pemeriksaan mengejut di Penjara Cibinong pada 23 September dan menemui lebih 10 bangunan yang menyerupai rumah atau inap desa di dalam kawasan penjara.

Bangunan berkenaan didapati jauh berbeza daripada kemudahan penjara biasa.

Anggota Ombudsman Indonesia, Cik Syafrida Rachmawati Rasahan, berkata beberapa bangunan itu mempunyai sofa, peti sejuk, televisyen dan meja makan.

Ombudsman turut menemui sebuah gimnasium yang dilengkapi peralatan senaman serta sebuah simulator golf yang masih dalam pembinaan.

Beberapa kereta mewah turut ditemukan diletakkan berhampiran kawasan berkenaan.

Lebih mengejutkan, seorang penghuni mengakui kepada pegawai Ombudsman bahawa beliau membayar sejumlah wang untuk menikmati kemudahan tersebut, walaupun jumlah bayaran tidak didedahkan.

“Berdasarkan temu bual kami ketika itu, individu yang menjaga rumah berkenaan mengakui bahawa dia membayar sejumlah wang, tetapi tidak menyatakan jumlahnya. Kemudahan itu memang dikomersialkan dan perkara ini perlu disiasat lebih lanjut,” kata Cik Syafrida.

Pemeriksaan itu turut mendedahkan kelemahan keselamatan serius.

Menurut Ombudsman, terdapat laluan keluar di bahagian belakang beberapa rumah yang tidak dikunci dan mempunyai akses terus ke kawasan hutan buluh serta tempat pembuangan sampah.

Penemuan itu mendorong Kementerian Imigresen dan Pemasyarakatan menubuhkan pasukan siasatan bersama dan menggantung lima pegawai kanan penjara, termasuk Encik Wisnu.

Empat yang lain terdiri daripada pegawai yang bertanggungjawab terhadap keselamatan penjara, program pemulihan banduan, keselamatan dan ketenteraman serta pengurusan aset kerajaan.

Siasatan awal kementerian kemudian mendapati bangunan mewah itu tidak dibina menggunakan peruntukan belanjawan negara dan tidak didaftarkan sebagai aset milik pemerintah.

Encik Rudi berkata bangunan tersebut dipercayai dibina menerusi pembiayaan sendiri, namun pihak berkuasa masih menyiasat sumber sebenar wang berkenaan.

Bangunan itu juga tidak mempunyai permit pembinaan.

Malah, menurut kementerian, sebahagian struktur didirikan berhampiran tebing sungai, kawasan yang tidak dibenarkan untuk pembinaan.

Pasukan penyiasat turut meneliti bagaimana kemudahan seperti gimnasium dan simulator golf boleh diwujudkan di dalam kawasan penjara.

Sebuah kawasan program asimilasi di belakang tiga kontena yang dilaporkan sudah lama digunakan sebagai tempat latihan turut diperiksa selepas dua banduan ditemukan berada di situ.

Encik Rudi berkata hasil siasatan menunjukkan terdapat unsur penyalahgunaan kuasa dalam pengurusan penjara tersebut.

“Kesimpulan kami ialah terdapat kejadian penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Kesalahan serius di bawah peraturan disiplin kakitangan awam Indonesia boleh membawa kepada beberapa bentuk hukuman termasuk penurunan pangkat, pelucutan jawatan dan pemecatan.

Encik Wisnu, yang mula mengetuai Penjara Cibinong pada Oktober 2023, mempunyai pengalaman lebih dua dekad dalam bidang pemasyarakatan.

Beliau sebelum ini pernah menjadi ketua keselamatan Penjara Kelas I Cipinang serta mengetuai Penjara Kelas IIB Cilacap di Jawa Tengah.

Sebelum skandal itu terbongkar, Penjara Cibinong di bawah kepimpinannya turut menerima beberapa pengiktirafan.

Pada April 2025, penjara itu menerima penghargaan daripada Menteri Imigresen dan Pemasyarakatan, Encik Agus Andrianto, atas sumbangannya dalam program pemulihan banduan.

Pada Februari 2026, penjara tersebut turut menerima penghargaan daripada Polis Nasional Indonesia atas kerjasama membantu membongkar rangkaian pengedaran dadah.

Namun, penemuan “kluster mewah” mencetuskan persoalan mengenai layanan istimewa terhadap banduan tertentu dan bagaimana kemudahan sedemikian boleh dibina serta digunakan tanpa dikesan.

Ombudsman sudah meminta kementerian melakukan penilaian menyeluruh terhadap pengurusan Penjara Cibinong, termasuk aspek keselamatan, penggunaan kemudahan dan kemungkinan berlaku kegiatan mengaut keuntungan daripada banduan.

Siasatan juga diteruskan bagi menentukan pihak yang membiayai pembinaan kemudahan itu dan sejauh mana pegawai penjara terbabit dalam menyediakan layanan istimewa kepada banduan tertentu. – Agensi berita

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti