NAPLES: Amerika Syarikat ingin melihat Israel mengurangkan serangannya di dalam dan sekitar ibu kota Lebanon, Beirut, kata Setiausaha Pertahanan, Encik Lloyd Austin pada 19 Oktober, sambil menambah bahawa jumlah korban awam adalah “terlalu tinggi”.
Komennya itu dibuat beberapa jam selepas Israel melakukan serangan hebat di beberapa tempat di pinggir bandar selatan Beirut, meninggalkan kepulan asap tebal berkepul di ufuk bandar tersebut sepanjang petang.
Israel berkata ia telah menyerang kemudahan senjata milik kumpulan bersenjata Lebanon, Hezbollah.
Berpuluh-puluh ribu orang telah meninggalkan pinggir bandar selatan itu, yang dahulunya pernah menjadi zon padat penduduk yang turut menempatkan pejabat dan kemudahan bawah tanah Hezbollah, sejak Israel melancarkan serangan tetap di situ kira-kira tiga minggu lalu.
“Kami ingin melihat Israel mengurangkan serangan yang dilakukannya, terutamanya di dalam dan sekitar Beirut,” kata Encik Austin kepada Reuters pada perhimpunan pertahanan Kumpulan Tujuh (G7) di bandar Naples di Italy.
“Dan kami ingin melihat perkara itu beralih kepada semacam rundingan yang akan membolehkan orang awam di kedua-dua belah sempadan pulang ke rumah mereka.”
Hezbollah telah berbalas serangan dengan Israel sejak perang antara Israel dengan kumpulan militan Palestin Hamas bermula di Gaza Oktober lalu.
Tetapi hampir tiga minggu lalu, Israel melancarkan serangan darat di dalam kawasan Lebanon dalam usaha untuk menstabilkan wilayah sempadan itu untuk rakyatnya yang melarikan diri dari pertempuran.
Encik Austin berkata beliau telah bertanya kepada rakan sejawatannya dari Israel, Encik Yoava Gallant, mengenai laporan serangan Israel ke atas kedudukan misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Lebanon.
Misi PBB itu, yang dikenali sebagai Unifil, berkata pada 18 Oktober bahawa ia telah mengalami beberapa serangan “yang disengajakan” oleh tentera Israel dalam beberapa hari kebelakangan ini dan usaha untuk membantu orang awam di perkampungan di zon perang telah dihalang oleh tembakan Israel.
“Beliau (Gallant) memberi jaminan kepada saya bahawa beliau dan pasukannya tiada niat untuk menyasarkan pasukan Unifil. Sekali lagi, saya terus menekankan betapa pentingnya pasukan itu tidak diserang,” kata Encik Austin.
Amerika, sekutu paling setia Israel, telah menggesa Israel supaya meningkatkan usaha untuk melindungi orang awam di Gaza dan di Lebanon.
Tetapi surat sulit daripada Encik Austin dan Setiausaha Negara, Encik Antony Blinken, kepada pegawai Israel minggu lalu menuntut langkah konkrit untuk menangani krisis kemanusiaan yang semakin teruk di Gaza, atau menghadapi kemungkinan sekatan terhadap bantuan ketenteraan Amerika.
Encik Austin enggan membincangkan surat itu tetapi menyatakan bahawa Amerika telah melihat “penurunan mendadak dalam jumlah bantuan yang masuk”.
“Jadi kita perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan itu,” katanya.
Ditanya sama ada apa-apa telah berubah dalam beberapa hari kebelakangan ini, beliau berkata beliau telah “melihat usaha dilakukan untuk mendapatkan lebih banyak bantuan”.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg