CANBERRA: Ketua perisik Australia Mike Burgess mendedahkan bahawa hampir semua serangan pengganas yang berjaya digagalkan sepanjang tahun 2024 melibatkan radikalisasi kanak-kanak.
Menurutnya, ini sekali gus menyaksikan pelbagai ancaman terhadap keselamatan negara semakin meningkat dengan pesat.
Dalam penilaian tahunannya yang disampaikan di Canberra pada 19 Februari, ketua pengarah Pertubuhan Perisikan Keselamatan Australia (Asio) berkata ancaman terorisme dan keganasan bermotifkan politik semakin meningkat, dengan individu “meradikalkan diri” melalui sistem kepercayaan yang rumit dan bercanggah.
“Daripada semua perkara berpotensi pengganas yang disiasat tahun lalu (2024), kurang daripada separuh adalah bermotifkan agama. Majoriti membabitkan ideologi campuran atau ideologi nasionalis dan perkauman,” katanya.
Asio bimbang bahawa kebanyakan perkara “melibatkan kanak-kanak di bawah umur” merupakan penyerang tunggal atau kumpulan kecil dan hampir kesemuanya tidak diketahui oleh pihak berkuasa.
“Adalah adil untuk menyatakan mereka didakwa bergerak ke arah keganasan lebih cepat daripada yang kita lihat sebelum ini,” ujar beliau.
Antara contoh yang disebut ialah seorang remaja berusia 12 tahun yang didakwa menyatakan hasrat untuk “meletupkan tempat ibadat”, kata Encik Burgess. “Umur median kanak-kanak bawah umur pertama kali disiasat Asio kini 15 tahun.”
Ditanya mengenai tanggungjawab syarikat media sosial untuk menghalang maklumat yang salah dan radikalisasi, Encik Burgess berkata bahawa gergasi teknologi itu perlu “meningkatkan langkah” dalam mengawal selia ruang dalam talian.
Pada akhir 2024, Australia meluluskan undang-undang yang melarang kanak-kanak di bawah umur 16 tahun daripada membuka akaun di laman media sosial utama.
Australia menaikkan tahap amaran keganasannya kepada “kemungkinan” pada 2024 berikutan pergolakan sosial yang semakin meningkat disebabkan oleh konflik di Gaza dan lonjakan maklumat salah dalam talian.
Pemerintah telah melantik utusan khas untuk memerangi masalah anti-Semitisme dan Islamofobia, namun bandar-bandar besar telah menyaksikan peningkatan dalam insiden yang menyasarkan anggota kumpulan minoriti.
Pada masa yang sama, pemerintah Perdana Menteri Encik Anthony Albanese telah mengharamkan penggunaan simbol kebencian seperti bendera Nazi berikutan peningkatan kehadiran pertubuhan sayap kanan dalam tunjuk perasaan.
Encik Burgess berkata terdapat pelbagai ancaman terhadap keselamatan Australia, termasuk peningkatan campur tangan asing dalam politik domestik dan percubaan pengintipan.
Menurutnya, program kapal selam Aukus menjadi sasaran perisikan asing yang semakin meningkat, sambil menambah bahawa Asio telah menggagalkan percubaan “perkhidmatan perisikan asing yang bermusuhan” untuk membahayakan aktivis hak asasi manusia di Australia. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg