Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemerintah Bangladesh terima keputusan mahkamah, penuhi tuntutan protes

Jul 24, 2024 | 2:26 PM
Bangladesh
Antara kerosakan yang berlaku ekoran tunjuk perasaan ganas di Bangladesh oleh para pelajar yang mengakibatkan lebih 150 orang maut. - Foto REUTERS

DHAKA: Pemerintah Bangladesh berkata ia akan mematuhi keputusan Mahkamah Agung bahawa 93 peratus pekerjaan negeri akan dibuka berdasarkan merit demi memenuhi permintaan utama para pelajar.

Ini selepas seminggu berlakunya bantahan ganas paling buruk di negara itu dalam beberapa tahun.

Tetapi para pelajar berkenaan membangkitkan pula tuntutan baru, termasuk membatalkan perintah berkurung, memulihkan perkhidmatan Internet dan membuka semula kampus.

Namun, keadaan menjadi tidak jelas sama ada penerimaan pemerintah terhadap keputusan mahkamah agung itu akan dapat meredakan kekacauan sepenuhnya.

Keadaan diberitakan agak tenang buat hari kedua berturut-turut di Dhaka dan kebanyakan bandar utama, walaupun pemimpin tentera berkata keselamatan masih belum dipulihkan sepenuhnya, selepas meninjau keadaan di ibu kota negara itu dengan helikopter.

Pemerintah mengumumkan pelonggaran perintah berkurung yang dikuatkuasakan bagi membendung pergolakan, dan menarik penguatkuasaan perintah itu mulai 24 Julai, antara 10 pagi dengan 5 petang.

Kelonggaran itu adalah untuk membolehkan orang ramai membeli barang keperluan serta pejabat dibuka semula antara 11 pagi dengan 3 petang.

Pihak berkuasa Bangladesh juga menutup Internet dan mengerahkan tentera agar mengawal keadaan, selepas pertempuran antara penunjuk perasaan dengan pasukan keselamatan merebak ke seluruh negara Asia Selatan itu, yang mempunyai penduduk seramai 170 juta orang.

Hampir 150 orang terbunuh dalam keganasan itu, dengan lebih 1,600 ditangkap di dua bandar utama Dhaka dan Chittagong.

Bantahan itu berakhir selepas Mahkamah Agung memutuskan pada 21 Julai, menyokong rayuan pemerintah Perdana Menteri Sheikh Hasina, dan mengarahkan bahawa 93 peratus pekerjaan harus dibuka kepada calon berdasarkan merit.

“Pemerintah telah bertindak selaras dengan keputusan Mahkamah Agung,” kata Menteri Undang-Undang, Encik Anisul Huq, kepada pemberita.

Encik Sarjis Alam, penyelaras bantahan, berkata pelajar mahu tuntutan baru mereka dipenuhi dalam tempoh 48 jam, selain permohonan maaf daripada Cik Hasina atas kematian penunjuk perasaan.

Bagaimanapun, beliau tidak pula menyatakan apa yang akan berlaku jika tuntutan mereka tidak dipenuhi hingga tarikh akhir yang ditentukan itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg