Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelajar jangka pemerintah sementara pimpinan pemenang Nobel dibentuk segera

Anggota masyarakat sivil, wakil pelajar antara 10-15 orang diusul kumpulan pelajar bagi bentuk pemerintah sementara Bangladesh
Aug 7, 2024 | 1:23 PM
Dr Muhammad Yunus, seorang ahli ekonomi, kini di Paris bagi   rawatan dan dijangka pulang ke Bangladesh tidak lama lagi.
Dr Muhammad Yunus, seorang ahli ekonomi, kini di Paris bagi rawatan dan dijangka pulang ke Bangladesh tidak lama lagi. - Foto fail

DHAKA: Pemimpin bantahan Bangladesh berkata mereka menjangka anggota pemerintah sementara, yang akan diketuai pemenang Hadiah Nobel, Dr Muhammad Yunus, dimuktamadkan pada 7 Ogos.

Menurut satu kenyataan daripada pemimpin bantahan itu, yang menggulingkan Perdana Menteri Sheikh Hasina, yang melarikan diri ke India, anggota pemerintah sementara perlu dimuktamadkan segera untuk mengatasi krisis semasa.

Keputusan membentuk pemerintah sementara, dengan Dr Yunus sebagai ketuanya, dibuat pada 6 Ogos dalam satu mesyuarat yang dihadiri Presiden Mohammed Shahabuddin, pemimpin tentera dan ketua kumpulan Pelajar Menentang Diskriminasi (SAD), kata pejabat akhbar Presiden Shahabuddin.

Pemilihan itu dibuat sehari selepas Cik Hasina meletak jawatan dan melarikan diri.

Ketua SAD, Encik Nahid Islam, menyifatkan rundingan memilih Encik Yunus itu sebagai berjaya dan berkata Encik Shahabuddin bersetuju pemerintah sementara akan dibentuk dalam masa secepat mungkin.

Pelajar mengesyorkan 10-15 orang untuk dipertimbangkan sebagai anggota pemerintah sementara dalam senarai awal yang mereka kongsi bersama Presiden Shahabuddin.

Encik Nahid berkata senarai itu termasuk anggota masyarakat sivil dan wakil pelajar.

“Mana-mana pemerintah selain daripada yang kami cadangkan tidak akan diterima,” kata Encik Nahid, penganjur utama kempen menentang Cik Hasina, dalam satu mesej video.

Dr Yunus, 84 tahun, adalah seorang ahli ekonomi yang dihormati kerana membebaskan jutaan penduduk daripada kemiskinan menerusi bank kewangan mikro perintisnya, tetapi tidak ‘sebulu’ dengan Cik Hasina, yang menuduhnya “menghisap darah” golongan miskin.

Beliau berada di Paris bagi satu prosedur perubatan dan dijangka pulang ke Dhaka tidak lama lagi.

Tiada komen segera daripada beliau sebagai respons kepada pemilihannya sebagai ketua pemerintah sementara. Tidak diketahui juga bila pemerintah sementara itu akan mengambil alih kuasa.

Terdahulu pada 6 Ogos, Presiden Shahabuddin membubarkan parlimen, membuka jalan bagi pemerintah sementara dan pilihan raya baru.

Pejabatnya juga mengumumkan ketua pembangkang Parti Nasionalis Bangladesh, Cik Begum Khaleda Zia, mantan perdana menteri yang bertelagah dengan Cik Hasina beberapa dekad, telah dibebaskan daripada tahanan rumah.

Penunjuk perasaan pelajar mengancam lebih banyak demonstrasi jika parlimen tidak dibubarkan.

Presiden Shahabuddin sebelum ini berkata pemerintah sementara akan mengadakan pilihan raya sejurus selepas ia mengambil alih.

Pergerakan yang menggulingkan Ck Hasina bangkit daripada demonstrasi menentang kuota pekerjaan sektor awam untuk keluarga veteran perang kemerdekaan Bangladesh 1971, yang dilihat oleh pengkritik sebagai cara menetapkan pekerjaan bagi sekutu parti pemerintah.

Kira-kira 300 orang terbunuh dan beribu-ribu cedera dalam keganasan yang melanda seluruh negara itu sejak Julai.

Selepas penunjuk perasaan menyerbu dan menjarah kediaman mewah perdana menteri pada 5 Ogos, jalan raya di ibu kota Dhaka kembali aman pada 6 Ogos, dengan lalu lintas berkurangan daripada biasa dan banyak sekolah serta perniagaan masih ditutup.

Kilang membuat pakaian, yang membekalkan pakaian kepada beberapa jenama terkemuka dunia dan merupakan tunjang utama ekonomi, dibuka semula pada 7 Ogos, selepas ditutup akibat gangguan, kata persatuan pengeluar pakaian utama. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg