Ketua risikan AS: Iran belum mampu ancam AS, tiada pengayaan uranium sebelum perang
Ketua risikan AS: Iran belum mampu ancam AS, tiada pengayaan uranium sebelum perang
WASHINGTON: Dua pegawai kanan risikan Amerika Syarikat secara terbuka mempertikaikan alasan pentadbiran Presiden Donald Trump untuk melancarkan perang terhadap Iran, dengan menegaskan bahawa Teheran masih memerlukan bertahun-tahun sebelum mampu membangunkan peluru berpandu yang boleh mencapai wilayah Amerika.
Pendedahan itu dilihat bertentangan sama sekali dengan alasan utama Presiden Donald Trump untuk menyertai Israel melancarkan perang terbaharu terhadap Iran pada 28 Februari lalu. Encik Trump dan pegawai tertingginya berulang kali menyebut cita-cita nuklear Iran sebagai antara sebab utama mereka meninggalkan rundingan diplomatik yang sedang berjalan dan beralih kepada tindakan ketenteraan.
Ketua Perisikan Negara, Cik Tulsi Gabbard, dan Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Encik John Ratcliffe, menyatakan perkara itu ketika memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Perisikan Senat pada Rabu, 18 Mac.
Kenyataan Cik Gabbard itu dibuat sehari selepas seorang pegawai kanan agensinya iaitu Pengarah Pusat Anti Keganasan Nasional Amerika, Encik Joe Kent, meletak jawatan sebagai bantahan terhadap perang dilancarkan Encik Trump ke atas Iran.
Dalam surat peletakan jawatannya, Encik Kent berkata Iran ‘tidak menimbulkan ancaman segera’ kepada AS dan keputusan Trump untuk menyertai perang itu bertentangan dengan janji dasar ‘America First’ beliau. Encik Kent menjadi anggota berprofil tinggi pertama dalam pentadbiran Trump yang berundur susulan konflik berkenaan.
Menurut Cik Gabbard, komuniti risikan Amerika berpendapat Iran belum mempunyai keupayaan untuk membangunkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) dalam tempoh terdekat. “Iran mungkin boleh menggabungkan teknologi daripada program angkasa lepas sedia ada dengan keupayaan pembangunan peluru berpandu untuk mula membangunkan ICBM sebelum 2035, sekiranya ia memilih untuk berbuat demikian,” katanya.
Beliau turut mengesahkan penilaian terdahulu Agensi Perisikan Pertahanan (DIA) bahawa Iran memerlukan sekurang-kurangnya sedekad untuk mengatasi halangan teknologi bagi menghasilkan senjata yang mampu mencapai Amerika Syarikat.
Apabila ditanya sama ada Iran mampu melancarkan serangan ke atas Amerika dalam tempoh enam bulan, kedua-dua pegawai enggan memberikan garis masa yang jelas.
Cik Gabbard menegaskan bahawa menentukan sama ada sesuatu ancaman itu bersifat segera bukan tanggungjawab komuniti risikan. “Bukan tanggungjawab komuniti risikan untuk menentukan sama ada sesuatu ancaman itu segera atau tidak,” katanya, sambil menambah bahawa keputusan tersebut terletak di tangan presiden.
Cik Gabbard, dalam keterangan bertulis kepada Jawatankuasa Perisikan Senat, berkata susulan Operasi ‘Midnight Hammer’, serangan AS pada Jun 2025 ke atas kemudahan nuklear Iran, ‘program pengayaan nuklear Iran telah dimusnahkan sepenuhnya’. “Tiada usaha sejak itu untuk cuba membina semula keupayaan pengayaan uranium mereka,” katanya dalam keterangan bertulis berkenaan.
Encik Ratcliffe pula menumpukan kepada keupayaan Iran untuk menyerang sasaran di Eropah dan kepentingan Amerika di Timur Tengah, berbanding wilayah Amerika sendiri. Beliau berkata Iran sedang memperoleh pengalaman dalam pembangunan peluru berpandu jarak sederhana, namun belum mencapai tahap matang untuk mengancam sasaran jarak jauh merentasi Atlantik atau Pasifik.
“Jika Iran dibenarkan membangunkan peluru berpandu jarak sederhana sehingga 3,000 kilometer, ia boleh mengancam sebahagian besar Eropah,” katanya.
Cik Gabbard turut menyenaraikan beberapa negara lain yang mempunyai keupayaan lebih maju dalam pembangunan peluru berpandu.
Menurutnya, China dan Russia memiliki sistem yang mampu menembusi pertahanan peluru berpandu Amerika, manakala Korea Utara sudah berupaya mencapai wilayah Amerika. Pakistan pula dikatakan “berpotensi” memiliki keupayaan tersebut.
Namun, Iran tidak disenaraikan sebagai negara yang mempunyai keupayaan peluru berpandu jarak jauh yang matang.
Keterangan itu dilihat bercanggah dengan kenyataan Trump sebelum ini yang mendakwa Iran sedang membangunkan peluru berpandu yang “tidak lama lagi” mampu mencapai Amerika Syarikat.
Dalam Amanat Negara pada Februari, Encik Trump menyatakan bahawa ancaman tersebut menjadi antara sebab tindakan ketenteraan terhadap Iran. Namun, kenyataan pegawai risikan menunjukkan ancaman tersebut mungkin tidak bersifat segera seperti yang digambarkan.
Cik Gabbard berkata penilaian baharu perlu dilakukan untuk menentukan sejauh mana kerosakan terhadap keupayaan Iran selepas serangan udara dan laut oleh Amerika Syarikat dan Israel sejak 28 Februari.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa, Senator Tom Cotton, menyuarakan kebimbangan bahawa program angkasa Iran mungkin menjadi “perlindungan tipis” bagi pembangunan peluru berpandu antara benua.
Namun, Encik Ratcliffe tidak mengesahkan dakwaan bahawa Iran mampu membangunkan ICBM dalam tempoh enam bulan, walaupun mengakui terdapat sebab untuk berwaspada terhadap program tersebut.
Encik Ratcliffe turut mempertahankan kepentingan operasi ketenteraan semasa, yang dikenali sebagai Operasi Epic Fury, dalam mengurangkan keupayaan peluru berpandu Iran. “Ini antara sebab mengapa usaha melemahkan keupayaan pengeluaran peluru berpandu Iran sangat penting kepada keselamatan negara kita,” katanya.
Encik Trump berulang kali menyatakan bahawa serangan Jun 2025, yang berlaku pada penghujung perang 12 hari antara Israel dan Iran, memusnahkan sepenuhnya keupayaan nuklear Iran.
Namun, beliau turut memberi amaran bahawa cita-cita nuklear Iran yang didakwanya itu akan sentiasa menjadi ancaman segera kepada Amerika. Teheran sejak sekian lama menafikan ia berusaha membangunkan senjata nuklear.
Pemantau nuklear dan persenjataan pula menegaskan, walaupun Teheran berhasrat mendapatkan senjata nuklear, ia tidak menjadi ancaman dalam jangka pendek atau sederhana.
Menteri Luar Oman, yang menjadi perantara rundingan tidak langsung nuklear Amerika-Iran sebelum perang, menolak dakwaan pegawai pentadbiran Trump bahawa rundingan terbaharu itu tidak menunjukkan sebarang kemajuan.
Akhbar The Guardian turut melaporkan minggu ini bahawa penasihat keselamatan negara United Kingdom (UK), Encik Jonathan Powell, menghadiri sesi terakhir rundingan. Penilaiannya turut mendapati Iran tidak melakukan pengayaan uranium atau membangunkan senjata nuklear dan tiada alasan munasabah untuk melancarkan perang terhadap negara itu - Agensi berita

