CANADA: Ketegangan antara Israel dengan Iran dijangka menguasai perhatian pemimpin dunia yang berkumpul di Banff, Pergunungan Rockies, Canada untuk Sidang Puncak Kumpulan Tujuh (G7).
Konflik yang semakin memuncak antara dua musuh tradisi itu mencetuskan kebimbangan serius akan tercetusnya perang yang lebih luas di rantau Timur Tengah.
Canselor Jerman, Encik Friedrich Merz, menyatakan harapannya agar sidang G7 kali ini dapat mencapai kesepakatan untuk menyekat konflik daripada terus memburuk.
“Isu ini akan menjadi keutamaan utama dalam agenda sidang G7,” katanya kepada wartawan.
Beliau menambah: “Matlamat kami ialah memastikan Iran tidak memiliki senjata nuklear, mempertahankan hak Israel untuk melindungi diri, mengelakkan peningkatan konflik dan membuka ruang untuk diplomasi.”
Perdana Menteri Britain, Encik Keir Starmer, pula mendedahkan bahawa beliau telah berbincang dengan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, serta Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan beberapa pemimpin lain dalam usaha meredakan ketegangan.
“Saya menjangka perbincangan mendalam akan berlaku sepanjang sidang ini,” katanya.
Sidang G7 tahun ini turut dihimpit isu lain seperti perang perdagangan Amerika, konflik di Ukraine, serta rantaian bekalan bahan mineral kritikal.
Perdana Menteri Canada, Encik Mark Carney, selaku tuan rumah, berkata: “Keutamaan kami ialah memperkukuh keamanan, membina rantaian bekalan penting, dan mewujudkan peluang pekerjaan.”
Namun, krisis Israel-Iran jelas menjadi isu paling mendesak.
Sementara itu di Washington, dua pegawai kanan Amerika memberitahu Reuters bahawa Presiden Trump baru-baru ini menolak rancangan Israel untuk membunuh Pemimpin Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
“Adakah Iran sudah membunuh rakyat Amerika? Belum. Jadi kami tidak akan sasarkan kepimpinan politik selagi itu tidak berlaku,” kata seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika.
Namun Encik Netanyahu menafikan laporan tersebut dalam temu bual dengan Fox News.
“Banyak laporan palsu mengenai perbualan yang tidak pernah berlaku. Saya tidak mahu mengulasnya,” katanya.
Beliau menambah bahawa Israel akan terus bertindak untuk menghapuskan “ancaman yang wujud” dari Teheran.
“Kami akan lakukan apa yang perlu,” katanya.
Jurucakap tentera Israel pula menjelaskan bahawa sasaran utama kempen ketenteraan bukanlah penukaran rejim di Iran, sebaliknya “melumpuhkan program nuklear dan peluru berpandu balistik Iran serta mencegah keupayaan mereka untuk memusnahkan Israel”.
Israel melancarkan serangan mengejut pada pagi 13 Jun yang membunuh barisan tertinggi komando tentera Iran dan merosakkan kemudahan nuklear mereka.
Presiden Trump memuji tindakan Israel, sambil menafikan dakwaan bahawa Amerika terlibat dalam operasi tersebut.
Dalam satu kenyataan di Truth Social, Encik Trump memberi amaran kepada Iran: “Jika kami diserang dalam apa jua bentuk, kekuatan penuh angkatan tentera Amerika akan digerakkan ke tahap yang belum pernah dilihat.”
Namun, beliau turut menyuarakan harapan agar perjanjian damai dapat dicapai.
“Iran dan Israel sepatutnya mencapai persetujuan – dan mereka akan lakukannya,” katanya.
Sewaktu berlepas ke Canada untuk menghadiri sidang G7, Encik Trump memberitahu media: “Saya harap akan ada perjanjian. Kadang-kadang negara perlu ‘bertempur’ dahulu sebelum mereka boleh berdamai. Kita akan lihat bagaimana ia berkembang.”
Prospek penyelesaian secara diplomatik kelihatan semakin tipis selepas rundingan antara Teheran dengan Washington mengenai masa depan program nuklear Iran yang dijadualkan pada 15 Jun dibatalkan.
Israel menyatakan bahawa kempen ketenteraan mereka bertujuan membatalkan terus rancangan nuklear Iran.
Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, turut menegaskan kepada Encik Netanyahu bahawa Iran tidak sepatutnya memperoleh senjata nuklear.
Namun beliau menambah: “Penyelesaian diplomatik masih merupakan jalan terbaik dalam jangka masa panjang untuk menangani kebimbangan terhadap program nuklear Iran.”
Presiden Majlis Eropah, Encik Antonio Costa, menyokong pandangan tersebut.
“Sekarang ialah masa untuk memberi ruang kepada diplomasi dan meredakan ketegangan antara Israel dengan Iran,” katanya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg