BAITULMAKDIS: Ketegangan politik dan ketenteraan memuncak di Israel apabila Perdana Menteri, Encik Benjamin Netanyahu, dilaporkan bertikam lidah dengan Ketua Turus Tentera, Jeneral Eyal Zamir, berhubung cadangan untuk melancarkan pendudukan penuh ke atas Jaluran Gaza.
Menurut penyiar awam Israel, Kan, perbalahan berlaku dalam satu mesyuarat tertutup pada 5 Ogos yang membincangkan hala tuju perang yang telah berlarutan selama 22 bulan.
Jeneral Zamir secara terbuka menyatakan penolakan terhadap cadangan Encik Netanyahu, menyifatkannya sebagai satu langkah yang boleh mengundang bencana ketenteraan.
“Langkah ini boleh menjadi perangkap besar buat Israel,” kata Jenaral Zamir kepada Encik Netanyahu, menurut sumber mesyuarat.
Namun, kenyataan itu disambut dengan nada keras oleh Encik Netanyahu yang dilaporkan menempelak: “Jangan ugut mahu letak jawatan melalui media”, merujuk kepada laporan bahawa Jeneral Zamir sedang mempertimbangkan untuk berundur jika Israel gagal mencapai penyelesaian damai dengan Hamas.
Jeneral Zamir difahamkan mencadangkan pendekatan ketenteraan yang lebih bersasar dan berperingkat yang membolehkan operasi dihentikan serta-merta sekiranya tercapai persetujuan gencatan senjata. Sebaliknya, Encik Netanyahu dilaporkan mahu memperhebatkan tekanan ke atas Gaza, termasuk kemungkinan pendudukan ketenteraan sepenuhnya ke atas wilayah itu.
Cadangan Encik Netanyahu dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet keselamatan, namun mesyuarat tersebut ditangguhkan berikutan ketegangan dalaman yang semakin memuncak dalam kalangan pimpinan kanan negara.
Sementara Israel mempertimbangkan langkah lebih agresif, Gaza terus berdepan kehancuran.
Dalam satu kenyataan pada 5 Ogos, Kementerian Kesihatan Gaza melaporkan sekurang-kurangnya 61,020 rakyat Palestin terbunuh dan 150,671 cedera sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.
Dalam tempoh 24 jam terakhir sahaja, 87 rakyat Palestin dilaporkan maut – termasuk 52 individu yang sedang cuba mendapatkan bantuan kemanusiaan, manakala 644 lagi cedera.
Agensi pertahanan awam Gaza pula melaporkan bahawa 26 orang terbunuh pada 5 Ogos, termasuk 14 yang sedang menunggu berhampiran tapak agihan bantuan.
Pemandu trak bantuan menggambarkan situasi semakin tidak terkawal. Mereka memberitahu media bahawa orang ramai yang kelaparan sering merampas bantuan dari belakang trak yang masih bergerak. Malah, terdapat kes trak dirampas oleh kumpulan bersenjata dan dijual semula di pasaran gelap dengan harga tinggi.
“Kami tidak lagi selamat, sama ada daripada orang yang kelaparan mahupun lelaki bersenjata,” kata seorang pemandu trak yang enggan dinamakan.
Kumpulan bersenjata dikatakan mengambil kesempatan mengisi kekosongan kuasa yang ditinggalkan oleh pemerintah Hamas yang kini lumpuh.
Tabung Bantuan Darurat Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) dalam kenyataannya turut mendedahkan purata 28 kanak-kanak maut setiap hari di Gaza akibat pengeboman, kekurangan zat makanan dan kebuluran.
Di Lebanon, pemimpin kanan Hezbollah, Encik Naim Kassem, memberi amaran bahawa puaknya akan terus melancarkan serangan peluru berpandu ke arah Israel jika serangan Israel ke atas kumpulan itu diperhebatkan.
“Kami tidak akan berdiam diri jika Israel meningkatkan ketegangan,” kata Encik Kassem menjelang mesyuarat Kabinet Lebanon untuk membincangkan isu pelucutan senjata Hezbollah.
Sementara itu, Konsulat British di Baitulmakdis mengutuk pembunuhan seorang wartawan dan aktivis Palestin, Encik Awdah Hathaleen, yang terbunuh dalam serangan oleh peneroka Israel di selatan bukit Hebron minggu lalu.
“Kami amat sedih dengan pembunuhan pembela hak asasi manusia Palestin itu,” kata kenyataan konsulat menerusi platform X. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg