Timur Tengah
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan: Netanyahu putuskan untuk takluki Gaza sepenuhnya

Israel siap perluas serangan walau berdepan bantahan hebat dari dalam, luar negara
Aug 5, 2025 | 10:44 AM
Netanyahu, takluki Gaza,
Penduduk Palestin yang hilang tempat tinggal memanjat trak bantuan untuk mendapatkan makanan berhampiran lokasi pengagihan bantuan makanan di sempadan Morag, selatan Khan Younis, selatan Jaluran Gaza, 4 Ogos 2025. - Foto EPA

BAITULMAKDIS: Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, dilaporkan telah membuat keputusan dramatik untuk menduduki sepenuhnya Jaluran Gaza dan memperluas serangan ketenteraan, walaupun berdepan bantahan hebat dari dalam dan luar negara.

“Undian telah dibuat, kita akan menduduki seluruh Gaza,” kata seorang pegawai kanan yang rapat dengan Encik Netanyahu, dipetik akhbar Israel, Yedioth Ahronoth, pada malam 4 Ogos.

Menurut laporan saluran Channel 12, keputusan itu menandakan perubahan besar dalam strategi Israel.

Tentera dijangka menjalankan operasi ketenteraan di kawasan padat penduduk, termasuk kem pelarian di tengah Gaza.

Akhbar harian,Yedioth Ahronoth juga mendakwa Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, telah memberi “lampu hijau” kepada Encik Netanyahu untuk melaksanakan rancangan penaklukan penuh.

Sumber daripada penyiar awam Israel KAN pula memetik beberapa menteri yang berkata Encik Netanyahu bertegas memperluaskan operasi walaupun ditentang oleh pihak keselamatan negara.

“Jika Ketua Turus Tentera tidak bersetuju, dia harus letak jawatan,” kata sumber yang sama kepada Yedioth Ahronoth.

Keputusan Encik Netanyahu muncul ketika tekanan domestik memuncak.

Kajian terkini oleh Institut Kajian Keselamatan Negara Israel menunjukkan lebih separuh rakyat Israel menyalahkan pemerintah kerana gagal mencapai perjanjian pertukaran tebusan dengan Hamas.

Pada 4 Ogos, Encik Netanyahu berjanji akan mengemas kini rancangan perang Israel sehari sebelum mesyuarat Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai nasib tebusan.

Menurut Jerusalem Post dan Channel 12, strategi baru itu termasuk menduduki semula keseluruhan Gaza, serta kawasan di Bandar Gaza yang dipercayai menjadi tempat persembunyian tebusan.

Berucap pada mesyuarat Kabinet dengan perang memasuki bulan ke-22, pemimpin Israel itu memberitahu menteri-menteri bahawa beliau akan mengarahkan tentera tentang bagaimana “mencapai tiga matlamat perang yang ditetapkan”.

Encik Netanyahu menegaskan bahawa tiga matlamat utama Israel kekal – menewaskan musuh, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza tidak lagi menjadi ancaman kepada Israel.

Kabinet Israel dijangka bermesyuarat pada 5 Ogos untuk meluluskan strategi baru itu.

Kumpulan Forum Tawanan dan Keluarga yang Hilang berkata:

“Encik Netanyahu sedang membawa Israel dan tebusan ke arah kehancuran. Kebenaran perlu diperakui, memperluas perang ini hanya membahayakan nyawa tebusan yang sudah pun berada dalam ancaman maut.”

Menurut Yedioth Ahronoth, terdapat perbezaan ketara antara pimpinan politik dengan tentera berhubung cara menamatkan operasi ketenteraan yang dilancarkan sejak pertengahan Mei lalu.

Akhbar itu melaporkan bahawa operasi ketenteraan kini secara tidak rasmi dianggap telah berakhir, memandangkan beberapa unit tentera, termasuk Divisyen ke-98, telah ditarik keluar dari Gaza.

Namun, pihak tentera menentang langkah pemerintah yang mahu melonggarkan sekatan terhadap kemasukan bantuan kemanusiaan ke wilayah itu.

Lebih 100 bekas pegawai keselamatan Israel, termasuk bekas ketua agensi perisikan, menyeru Presiden Trump supaya meningkatkan tekanan ke atas Encik Netanyahu dalam usaha menamatkan perang.

“Hamas tidak lagi menjadi ancaman strategik,” tulis mereka dalam surat terbuka.

“Matlamat ketenteraan telah tercapai hanya perjanjian yang boleh membawa pulang semua tebusan.”

Encik Ami Ayalon, bekas Ketua Shin Bet, berkata dalam satu video: “Perang ini menjadikan Israel hilang identiti dan keselamatan. Ia tidak lagi relevan.”

Pejabat Media Pemerintahan Gaza mendedahkan bahawa sejak 27 Julai, Israel hanya membenarkan 674 trak bantuan masuk iaitu hanya 14 peratus daripada keperluan harian minimum sebanyak 600 trak.

“Sebahagian besar bantuan ini telah diserbu dalam suasana kacau-bilau dan kebuluran yang direka secara sengaja,” kata pejabat itu.

“Israel sedang memperalatkan kelaparan untuk melemahkan semangat rakyat Palestin.”

Seorang penduduk Gaza, Cik Umm Osama Imad, menangisi kematian saudara lelakinya:

“Kami sedang kebuluran. Dia keluar untuk cari tepung buat keluarga. Sekarang tepung itu berlumuran darah. Kami tidak mahukan tepung lagi. Cukuplah!”

Sejak serangan Hamas pada 7 Oktober 2023 yang mengorbankan 1,219 orang, Israel melancarkan kempen ketenteraan yang telah membunuh sekurang-kurangnya 60,933 penduduk Palestin kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang disahkan oleh PBB.

Pada 4 Ogos, serangan Israel membunuh sekurang-kurangnya 19 orang Palestin, termasuk sembilan yang sedang menunggu bantuan makanan di Gaza Tengah, menurut agensi pertahanan awam Gaza.

Sayap bersenjata Hamas menyatakan kesediaan membenarkan akses kepada tebusan jika laluan bantuan ke seluruh Gaza dibuka.

Encik Netanyahu pula mendesak Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa memberikan makanan dan rawatan kepada tebusan Israel.

Usaha rundingan gencatan senjata oleh Qatar, Mesir dan Amerika setakat ini gagal mencapai hasil yang diharapkan.

Israel kini berdepan dua tindakan undang-undang antarabangsa satu di Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Encik Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Encik Yoav Gallant atas jenayah perang, serta satu lagi di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) atas dakwaan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.

Sementara dunia terus menyuarakan kebimbangan, penduduk Gaza terus hidup dalam ketakutan, kelaparan dan kehancuran. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg