Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ketua Wagner mula hidup dalam buangan di Belarus, Nato ikrar lindung sekutu

Jun 28, 2023 | 3:03 PM
MULAKAN HIDUP BARU: Ketua Kumpulan Wagner, Encik Yevgeny Prigozhin, meninggalkan ibu pejabat tentera Russia di ibu kota Rostov-on-Don di wilayah selatan Russia sejurus pengunduran askar-askar upahannya daripada wilayah tersebut pada Sabtu lalu.
MULAKAN HIDUP BARU: Ketua Kumpulan Wagner, Encik Yevgeny Prigozhin, meninggalkan ibu pejabat tentera Russia di ibu kota Rostov-on-Don di wilayah selatan Russia sejurus pengunduran askar-askar upahannya daripada wilayah tersebut pada Sabtu lalu. - Foto REUTERS

MOSCOW: Ketua Kumpulan Wagner Yevgeny Prigozhin tiba di Belarus bagi memulakan hidup dalam buangan pada Selasa ekoran pembatalan pemberontakan di tengah-tengah amaran Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) bahawa ia bersedia mempertahankan langkah menentang “Moscow atau Minsk”.

Sebuah pesawat yang dikaitkan dengan Encik Prigozhin ditunjukkan dalam khidmat pengesanan penerbangan ketika berlepas dari bandar Rostov di selatan Russia pada awal Selasa dan mendarat di Belarus.

“Saya lihat Prigozhin sudah pun berlepas dengan pesawat ini,” kata agensi berita Belta sambil memetik Presiden Belarus, Encik Alexander Lukashenko, sebagai menyatakan: “Ya, memang beliau sudah berada di Belarus hari ini.”

Ketika kesan daripada pemberontakan singkat Encik Prigozhin – dilihat sebagai ancaman terbesar terhadap pihak berkuasa Kremlin dalam beberapa dekad – Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, giat berusaha untuk mengukuhkan kuasanya dengan mengucapkan terima kasih kepada pihak tentera kerana mengelak daripada berlakunya perang saudara.

Tetapi, ketika Russia mengumumkan persiapan untuk melucutkan senjata para pejuang Wagner, musuh ketat Encik Putin, Encik Alexei Navalny, membidas presiden Russia itu dalam komen pertamanya sejak pemberontakan itu berlaku.

“Tiada ancaman yang lebih besar kepada Russia selain daripada rejim Putin,” kata Encik Navalny di media sosial.

“Rejim Putin sangat berbahaya kepada negara sehinggakan kejatuhannya yang tidak dapat dielakkan akan menimbulkan ancaman perang saudara,” tulisnya.

Di The Hague, ketua Nato, Encik Jens Stoltenberg berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan daripada perpindahan Prigozhin dan mungkin beberapa anggota pasukannya ke Belarus tetapi beliau menegaskan bahawa pakatan itu bersedia untuk mempertahankan anggota sekutunya.

“Apa yang jelas ialah kami telah menghantar mesej kepada Moscow dan Minsk bahawa Nato berada di sana untuk melindungi setiap sekutu dan setiap inci wilayah Nato,” tambah Encik Stoltenberg.

Penyokong Encik Putin, bagaimanapun, menegaskan bahawa pemerintahannya tidak dilemahkan oleh pemberontakan itu.

Ditanya sama ada kuasa Encik Putin berkurangan melihatkan tentera upahan Wagner merampas ibu pejabat tentera, mara ke Moscow dan menembak jatuh pesawat tentera, jurucakap Kremlin Dmitry Peskov menuduh pengulas politik sebagai melebih-lebihkan isu berkenaan.

Encik Putin sendiri cuba menggambarkan peristiwa dramatik pada hujung minggu sebagai kemenangan untuk tentera Russia.

“Anda secara de facto (tidak rasmi) menghentikan perang saudara,” kata Encik Putin kepada para anggota tentera dari Kementerian Pertahanan, Pengawal Kebangsaan, perkhidmatan keselamatan FSB dan Kementerian Dalam Negeri yang berhimpun di halaman Kremlin.

Beliau turut menegaskan bahawa Kumpulan Wagner telah melihat sendiri bahawa “tentera dan rakyat tidak bersama mereka”. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg