Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tiada niat guling pemerintah: Ketua Wagner

Jun 27, 2023 | 3:11 PM
TIDAK LAGI BERONTAK: Pejuang Wagner dirakamkan berada di Rostov-on-Don, selatan Russia pada Sabtu lalu.
TIDAK LAGI BERONTAK: Pejuang Wagner dirakamkan berada di Rostov-on-Don, selatan Russia pada Sabtu lalu. - Foto REUTERS

MOSCOW: Pemimpin kumpulan Wagner, Encik Yevgeny Prigozhin, berkata pada Isnin bahawa pemberontakan sehari oleh pasukan militia pimpinannya itu bukan bertujuan untuk menggulingkan pemerintah Russia, sebaliknya mahu menunjuk bantahan terhadap apa yang dianggapnya sebagai tindakan perang di Ukraine yang tidak berkesan.

Dalam ulasan terbuka sejak menamatkan pemberontakan lewat Sabtu, Encik Prigozhin mengulangi kenyataannya bahawa Wagner adalah pasukan pejuang paling berkesan di Russia “dan juga dunia”, dan ia telah memalukan unit yang dihantar Moscow ke Ukraine pada 24 Feb 2022.

Beliau berkata, cara ia dapat merampas bandar Rostov-on-Don di selatan Russia tanpa pertumpahan darah dan menghantar konvoi bersenjata ke dalam jarak 200 kilometer dari Moscow adalah bukti keberkesanan pejuangnya.

“Kami menunjukkan prestasi unggul, seperti yang sepatutnya pada 24 Feb 2022.

“Kami tidak mempunyai matlamat untuk menggulingkan rejim sedia ada dan pemerintah yang telah dipilih secara sah,” katanya dalam mesej audio selama 11 minit yang dikeluarkan melalui aplikasi mesej Telegram.

Encik Prigozhin memperbaharui dakwaan, yang setakat ini tidak disokong dengan sebarang bukti, bahawa tentera Russia telah menyerang kem Wagner dengan peluru berpandu dan kemudian serangan helikopter, hingga membunuh kira-kira 1,000 pejuangnya, dan berkata ini telah menjadi pencetus segera satu “perarakan keadilan”.

Wagner menghentikan kemaraannya ke arah Moscow apabila ia menyedari bahawa ia perlu berhadapan dengan tentera Russia yang sedang menunggu dan di mana pertumpahan darah pasti akan berlaku, katanya, mengulangi dakwaan yang dibuatnya pada Sabtu.

Encik Prigozhin, bekas sekutu rapat Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, menegaskan bahawa Wagner tidak menumpahkan setitik darah ke tanah semasa perarakan ke utara, tetapi kesal kerana pejuangnya terpaksa membunuh askar Russia yang menyerang konvoi mereka dari helikopter.

Beliau juga sekali lagi mengadu tentang perintah tentera bahawa semua unit sukarelawan termasuk Wagner perlu mendaftar paling lewat pada 1 Julai dan meletakkan diri mereka di bawah kawalan Kementerian Pertahanan Russia.

Kurang daripada 2 peratus pejuang Wagner telah mendaftar, tambah Encik Prigozhin.

“Matlamat perarakan itu adalah untuk mengelakkan pemusnahan Wagner,” katanya. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg