ZURICH: Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Encik Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata beliau berasa nyawanya terancam apabila beliau terperangkap di lapangan terbang utama Yaman semasa ia diserang oleh tentera Israel dari udara.
Encik Tedros berkata bahawa beliau dan rakan-rakannya terperangkap di lapangan terbang tersebut selama sekitar sejam.
Beliau dan rakan-rakannya juga menemui serpihan misil di tempat kejadian.
Orang ramai berlari tempiaran selepas beberapa letupan terjadi, salah satunya berlaku sangat dekat dengan tempat beliau duduk.
Malah, Encik Tedros berkata telinganya berdengung lebih sehari selepas insiden itu.
“Saya bimbang tentang keadaan dunia kita,” tambah Encik Tedros, sambil menggesa pemimpin dunia untuk bekerjasama mengakhiri konflik global.
“Saya tidak pernah... sepanjang yang saya ingat, melihat dunia berada dalam keadaan yang sangat berbahaya seperti ini,” tambahnya lagi.
Encik Tedros pergi ke Yaman untuk menyertai perundingan bertujuan membebaskan kakitangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan individu lain yang ditahan di sana.
Beliau mengakui beliau serta rakan-rakannya tahu bahawa perjalanan itu berisiko memandangkan ketegangan antara Israel dengan Houthi.
Namun, Encik Tedros berkata perbincangan dengan pihak berkuasa Yaman berjalan lancar dan beliau melihat peluang untuk membebaskan 16 kakitangan PBB serta pekerja misi diplomatik dan Badan Bukan Pemerintah (NGO) yang ditahan di sana.
Serangan Israel ke atas Yaman berlaku selepas Houthi berulang kali melancarkan dron dan misil ke arah Israel sebagai tanda solidariti dengan rakyat Palestin di Gaza.
Israel berkata serangan udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa pada 26 Disember itu bertujuan memincangkan pergerakan kumpulan Houthi yang bersekutu dengan Iran.
Agensi berita Saba yang dikawal Houthi berkata tiga maut dalam serangan ke atas lapangan terbang tersebut dan tiga lagi terbunuh di Hodeidah, dengan 40 yang lain cedera dalam serangan tersebut. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg