BEIRUT: Sebuah kumpulan militan Palestin berkata tiga daripada pemimpinnya terbunuh dalam serangan Israel di Beirut – serangan pertama dalam batas kawasan bandar ketika Israel meningkatkan permusuhan terhadap sekutu Iran di rantau itu.
Barisan Popular Pembebasan Palestin (PFLP) berkata ketiga-tiga pemimpin itu terbunuh dalam serangan yang menyasarkan daerah Kola di Beirut pada 30 September.
Serangan itu melanda tingkat atas sebuah bangunan pangsapuri di daerah Kola di ibu negara Lebanon.
Tiada komen segera daripada tentera Israel.
Kekerapan serangan Israel yang semakin meningkat terhadap Hezbollah di Lebanon dan militia Houthi di Yaman telah menimbulkan kebimbangan pertempuran di Timur Tengah.
Terdapat kekhuatiran ia akan berada di luar kawalan dan bakal menyeret Iran dan Amerika Syarikat, sekutu utama Israel.
Tentera Israel pada 29 September menyerang musuh-musuhnya di dua negara itu dan Gaza.
Ia termasuk serangan udara jarak jauh ke atas Yaman di tengah-tengah keganasan yang semakin meningkat antara Israel dengan kumpulan proksi yang disokong Iran di seluruh Timur Tengah.
Kempen ketenteraan Israel menyasarkan Hezbollah di Lebanon dan beberapa jetnya terbang lebih 1,000 batu untuk menyerang loji kuasa dan prasarana perkapalan di bandar Hodeidah di Yaman.
Israel memperluaskan serangan dengan mengebom daerah Kola di Beirut, sejak serangan pertamanya di tengah ibu negara Lebanon itu.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan Israel mengorbankan 105 individu dan mencederakan 395 yang lain dalam tempoh 24 jam terakhir 29 September ketika jet tentera meneruskan pengeboman tanpa henti di seluruh negara.
Dalam pada itu, pergerakan tentera Israel di sepanjang sempadan utaranya pada hujung minggu menggambarkan persediaannya untuk melancarkan pencerobohan darat ke Lebanon.
Kesemua itu berlaku selepas satu siri serangan oleh tentera dan pasukan perisikan Israel.
Ia termasuk operasi yang menyaksikan alat kelui dan ‘walkie-talkie’ diletupkan, membunuh anggota Hezbollah, dan pengeboman pada hari 27 September yang membunuh pemimpin Hezbollah, Encik Hassan Nasrallah.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 29 September berkata kesemua operasi itu adalah sebahagian daripada strategi lebih luas untuk mewujudkan keseimbangan kuasa baru di Timur Tengah yang tidak lagi mempersoalkan status Israel.
“Musuh dan rakan kita melihat Israel sekali lagi sebagai sebuah negara yang kuat, tegas dan berkuasa,” katanya.
Menurut tentera Israel, militia Houthi di Yaman telah melancarkan peluru berpandu balistik ke Israel namun ia jatuh sebelum sampai ke ruang udara Israel.
Operasi ketenteraan Israel yang menyasarkan Yaman melibatkan berpuluh-puluh jet pejuang Israel dan pesawat mengisi minyak dan peninjau.
Tentera Israel berkata jet-jet pejuangnya telah menyerang loji jana kuasa dan pelabuhan di Hodeidah.
Menurut tentera Israel, ia digunakan untuk memindahkan senjata dari Iran ke wilayah itu.
Sekurang-kurangnya empat orang terbunuh di Hodeidah, termasuk seorang pekerja pelabuhan dan tiga jurutera di stesen jana kuasa Al-Hali, dan 33 yang lain dilaporkan cedera, lapor saluran televisyen kendalian Houthi, Al-Masirah.
Jurucakap Houthi, Encik Nasruddin Amer, berkata depoh minyak di pelabuhan Yaman di Ras al-Issa dan Hodeidah telah mereka kosongkan lebih awal.
Beliau memberi amaran serangan itu tidak akan menghalang serangan peluru berpandu selanjutnya ke atas Israel.
Jurucakap keselamatan negara Rumah Putih, Encik John F. Kirby, mengakui korban awam dalam pengeboman Israel yang membunuh Encik Nasrallah.
Beliau mengulangi bahawa pihaknya mahukan gencatan senjata dan penyelesaian diplomatik dan bukannya perang habis-habisan. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg