TEHERAN/TEL AVIV: Hubungan antara Iran dengan Israel sentiasa tegang selama beberapa dekad.
Namun, ia kini semakin menghampiri konfrontasi secara langsung.
Ketegangan terkini berlaku apabila Iran pada 1 Oktober melancarkan serangan peluru berpandu ke atas Israel, menyasarkan beberapa bandar utama, termasuk Tel Aviv.
Peluru berpandu yang dilancarkan dari Iran menuju ke Israel dilihat di bandar Nablus, Tebing Barat.
Ia menyerang bandar utama Israel menggunakan sekurang-kurangnya 180 peluru berpandu balistik.
Iran dilaporkan menggunakan peluru berpandu balistik hipersonik Fattah 1 buat kali pertama, walaupun dakwaan itu tidak dapat disahkan secara bebas oleh Al Jazeera.
Ia dikatakan boleh bergerak sehingga 15 kali ganda kelajuan bunyi selain memiliki keupayaan menyasarkan sistem pertahanan peluru berpandu.
Iran mendakwa pelancaran peluru berpandu itu adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Israel di Gaza dan Lebanon, yang mengorbankan ramai rakyat awam serta pembunuhan beberapa pemimpin terkemuka dari Iran dan sekutu-sekutunya, termasuk Hamas dan Hezbollah.
Dengan keadaan yang semakin tegang dan risiko peperangan yang semakin meningkat, penting untuk memahami keupayaan ketenteraan kedua-dua negara.
Ayuh lihat keupayaan serangan dan pertahanan Iran dan Israel, serta kemungkinan konflik ketenteraan yang lebih meluas seperti yang dilaporkan oleh Al Jazeera.
Dari segi jumlah anggota tentera, Iran memiliki kelebihan ketara berbanding Israel.
Menurut laporan The Military Balance 2023, Iran mempunyai 610,000 anggota tentera aktif.
Ini termasuk 350,000 anggota dalam angkatan darat; 190,000 dalam Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC); 18,000 dalam angkatan laut; 37,000 dalam angkatan udara; dan 15,000 anggota pertahanan udara.
Selain itu, Iran juga mempunyai 350,000 anggota tentera simpanan, yang boleh digerakkan jika diperlukan. Latihan ketenteraan adalah wajib bagi lelaki Iran yang berusia 18 tahun ke atas, walaupun terdapat beberapa pengecualian.
Sebaliknya, Israel memiliki 169,500 anggota tentera aktif, termasuk 126,000 dalam angkatan darat; 9,500 dalam angkatan laut; dan 34,000 dalam angkatan udara.
Israel juga mempunyai keupayaan besar dari segi tentera simpanan, dengan kira-kira 465,000 anggota.
Walaupun jumlah tentera Israel lebih kecil, latihan ketenteraan wajib bagi kebanyakan lelaki dan wanita muda di Israel, memberikan negara itu pasukan simpanan yang sangat terlatih dan bersedia diaktifkan dalam kecemasan.
Belanja ketenteraan merupakan salah satu faktor utama yang mempengaruhi kekuatan dan keberkesanan tentera.
Menurut data dari Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm (Sipri), perbelanjaan ketenteraan Iran pada 2023 berjumlah AS$10.3 bilion ($13.4 bilion) – meningkat 0.6 peratus dari tahun sebelumnya.
Walaupun jumlah itu besar, ia masih jauh lebih kecil berbanding perbelanjaan ketenteraan Israel, yang pada 2023 mencecah AS$27.5 bilion.
Peningkatan 24 peratus itu sebahagiannya disebabkan oleh perang yang berterusan di Gaza selepas serangan pada 7 Oktober 2023.
Dengan belanja yang lebih tinggi, Israel dapat melabur dalam teknologi ketenteraan terkini, termasuk sistem pertahanan udara dan peluru berpandu yang canggih.
Walaupun Iran turut melabur dalam keupayaan serangan dan pertahanan, kelebihan teknologi Israel, terutama dalam pertahanan peluru berpandu, memberikannya kelebihan yang ketara.
Dari segi kekuatan darat, Iran mempunyai kelebihan dari segi bilangan.
Iran mempunyai lebih 10,500 kereta kebal; lebih 6,700 meriam artileri; dan lebih 640 pengangkut personel berperisai.
Selain itu, tentera darat Iran juga dilengkapi sekitar 50 helikopter, manakala IRGC mempunyai lima helikopter tambahan.
Di pihak Israel, jumlah aset daratnya adalah lebih kecil. Israel hanya mempunyai sekitar 400 kereta kebal dan lebih daripada 1,190 pengangkut personel berperisai. Walaupun dari segi bilangan aset darat Israel kelihatan ketinggalan, perlu diingat bahawa Israel mempunyai teknologi yang lebih canggih dan keupayaan taktikal yang lebih tinggi, menjadikannya lebih cekap dalam pertempuran darat.
Di udara, Iran mempunyai 312 pesawat tempur yang mampu beroperasi, manakala IRGC memiliki tambahan 23 pesawat tempur.
Tentera udara Iran juga mempunyai dua helikopter serangan, dan tentera daratnya memiliki 50 lagi helikopter.
Namun, sekali lagi, kelebihan teknologi Israel menjadi faktor yang membezakan.
Israel memiliki 345 pesawat tempur yang canggih serta 43 helikopter serangan.
Keupayaan udara Israel, bersama dengan teknologinya yang lebih maju, memberikannya kelebihan ketara dalam perang udara.
Selain itu, Israel juga memiliki sistem pertahanan peluru berpandu yang mampu memintas serangan dari jarak jauh.
Sistem pertahanan peluru berpandu adalah komponen kritikal dalam konflik antara Israel dengan Iran, terutama memandangkan Iran mempunyai pelbagai jenis peluru berpandu jarak dekat hingga sederhana yang boleh dilancarkan ke Israel.
Israel bergantung kepada sistem pertahanan peluru berpandu yang terkenal, iaitu Iron Dome, yang telah memainkan peranan penting dalam mempertahankan negara itu daripada serangan peluru berpandu.
Iron Dome menggunakan radar untuk mengesan kemasukan peluru berpandu, menilai ancaman, dan melancarkan peluru berpandu pencegah untuk memusnahkan ancaman yang boleh mengakibatkan kerosakan.
Selain Iron Dome, Israel juga mempunyai sistem David’s Sling yang memintas peluru berpandu jarak sederhana dan Arrow System yang berupaya memintas peluru berpandu jarak sejauh sehingga 2,400 kilometer.
Sistem itu menjadikan Israel salah sebuah negara yang paling terlindung daripada serangan peluru berpandu di dunia.
Iran pula bergantung pada pelbagai sistem pertahanan udara buatan tempatan dan juga yang dibeli dari luar negara.
Ia termasuk S-300 dari Russia dan Bavar-373 yang dihasilkan di Iran sendiri.
Pada Februari, Iran juga memperkenalkan sistem Azarakhsh, sistem peluru berpandu jarak dekat yang mampu memintas sasaran pada altitud rendah.
Iran terkenal dengan keupayaan peluru berpandunya yang luas.
Menurut Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa (CSIS), Iran mempunyai sekurang-kurangnya 12 jenis peluru berpandu balistik, termasuk Tondar 69 yang mempunyai jarak 150 km dan Sejjil yang boleh mencapai jarak sehingga 2,000 km.
Keupayaan itu memberi Iran keupayaan untuk melancarkan serangan jarak jauh, termasuk ke wilayah Israel dan pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau Asia.
Israel, di pihak lain, mempunyai peluru berpandu Jericho-3 yang mampu mencapai jarak sehingga 6,500 km, memberikan Israel keupayaan serangan jarak jauh yang lebih besar.
Keupayaan nuklear juga merupakan faktor penting dalam dinamik konflik ini.
Israel secara meluas dipercayai mempunyai sekitar 90 kepala peledak nuklear, manakala Iran, walaupun mempunyai program nuklear yang maju, secara rasmi tidak memiliki senjata nuklear.
Bagaimanapun, terdapat kebimbangan antarabangsa mengenai kemungkinan Iran mengubah dasar nuklearnya jika negara itu berasa wujud ancaman terhadap negaranya.
Konflik antara Iran dengan Israel berpotensi mencetuskan krisis yang lebih meluas di Timur Tengah.
Kedua-dua negara mempunyai keupayaan ketenteraan yang ketara, namun terdapat perbezaan dalam pendekatan mereka.
Israel bergantung kepada teknologi ketenteraan yang canggih dan sistem pertahanan peluru berpandu yang kuat, manakala Iran mempunyai jumlah aset ketenteraan yang lebih besar serta keupayaan peluru berpandu yang meluas.
Jika konflik berterusan, risiko peningkatan yang lebih besar tidak dapat dielakkan.
Keupayaan kedua-dua negara untuk menyerang dan bertahan akan memainkan peranan penting dalam menentukan hasilnya,
Namun bagi rantau Timur Tengah, kesannya pasti akan melampaui sempadan Israel dan Iran, berpotensi melibatkan kuasa-kuasa besar dunia dan sekutu-sekutu mereka. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg