Khamenei beri amaran keras susulan pembunuhan pegawai kanan Iran
Khamenei beri amaran keras susulan pembunuhan pegawai kanan Iran
Anggap serangan AS-Israel dan kematian itu akan jadikan perjuangan mereka lebih kuat
TEHERAN: Pemimpin Tertinggi Iran, Encik Mojtaba Khamenei, mengeluarkan amaran tegas bahawa pihak yang bertanggungjawab dalam pembunuhan pegawai keselamatan tertinggi, Encik Ali Larijani, “akan segera menerima balasan”, ketika ketegangan di Asia Barat terus meruncing.
Dalam kenyataan di wadah X pada 18 Mac, Encik Khamenei berkata beliau menerima berita kematian Encik Larijani dengan “dukacita yang mendalam”, susulan serangan yang turut meragut nyawa anak lelaki mangsa serta beberapa pembantu kanan.
“Setiap titisan darah pasti ada pembalasannya, dan pembunuh jenayah terhadap golongan syuhada ini akan segera membayar harga,” kata beliau.
Encik Larijani, yang merupakan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, disifatkan Encik Khamenei sebagai tokoh penting negara dengan pengalaman hampir lima dekad dalam pelbagai bidang.
Beliau menyifatkan Encik Larijani sebagai “seorang yang berilmu, berpandangan jauh dan bijaksana”, sambil menambah bahawa peranannya dalam bidang politik, ketenteraan, keselamatan dan pentadbiran menjadikannya “tokoh yang amat berpengaruh”.
Encik Khamenei turut menegaskan bahawa pembunuhan tersebut mencerminkan “permusuhan mendalam terhadap Islam”, dan memberi amaran bahawa tindakan sedemikian tidak akan melemahkan Iran.
“Penumpahan darah tokoh seperti ini hanya akan menjadikan perjuangan lebih kuat,” katanya.
Pihak berkuasa Iran memaklumkan bahawa Encik Larijani terbunuh dalam serangan udara Amerika Syarikat dan Israel pada awal 17 Mac di Teheran.
Serangan itu turut mengorbankan anaknya, Encik Morteza; pembantu rapatnya Encik Alireza Bayat, beberapa kakitangan majlis serta pengawal peribadi.
Selain itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mengesahkan bahawa Ketua Pasukan Basij, Encik Gholamreza Soleimani, turut terbunuh dalam serangan yang sama.
Presiden Iran, Encik Masoud Pezeshkian, dalam kenyataan berasingan berkata negara itu kini berada dalam tempoh berkabung atas kehilangan beberapa tokoh penting.
Beliau turut meratapi pemergian Menteri Perisikan, Encik Esmaeil Khatib; serta Menteri Pertahanan, Encik Aziz Nasirzadeh; yang dilaporkan turut terkorban dalam siri serangan berkenaan.
“Kami sedang berdukacita atas kehilangan para pemimpin yang telah berkhidmat kepada negara,” kata Encik Pezeshkian.
Namun, beliau menegaskan bahawa pengorbanan mereka tidak sia-sia.
“Saya yakin perjuangan mereka akan diteruskan dengan lebih teguh berbanding sebelum ini,” tambahnya.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, mendakwa bahawa Encik Khatib, terkorban dalam satu serangan udara yang dilancarkan oleh tentera Israel.
Di Teheran, upacara pengebumian Encik Larijani dan Encik Soleimani berlangsung pada 18 Mac dengan kehadiran pegawai pemerintah serta orang ramai yang berhimpun untuk memberi penghormatan terakhir.
Media pemerintah Iran melaporkan ribuan rakyat turun ke jalan-jalan raya bagi menunjukkan perpaduan terhadap kedua-dua tokoh berkenaan.
Suasana penuh emosi menyelubungi upacara tersebut, mencerminkan kesan mendalam kehilangan pemimpin kanan negara di tengah konflik yang kian memuncak.
Serangan itu berlaku ketika konflik antara Iran dengan Amerika dan Israel yang bermula sejak 28 Februari masih berterusan.
Menurut pihak berkuasa Iran, serangan bersama itu telah mengorbankan kira-kira 1,300 orang, termasuk Pemimpin Tertinggi sebelum ini, Ayatollah Ali Khamenei. – Agensi berita.

