Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Australia siasat kaitan lelaki kes tembakan di Pantai Bondi dengan ISIS

PM Australia umum kesepakatan Kabinet Nasional negara itu perketat undang-undang pemilikan senjata api
Dec 15, 2025 | 7:11 PM
kes tembakan pantai Bondi, Australia, pengganasan
Media tempatan telah menamakan salah seorang penyerang sebagai Naveed Akram dari pinggir bandar Bonnyrigg di Sydney, Australia. - Foto AFP, UNCOVERREPORT/X

SYDNEY: Perkhidmatan risikan Australia sedang menyiasat salah seorang lelaki bersenjata yang melepaskan tembakan di Pantai Bondi atas kaitannya dengan kumpulan Negara Islam (ISIS) enam tahun lalu, kata stesen penyiar kebangsaan Australia, Perbadanan Penyiaran Australia (ABC), pada 15 Disember.

Dalam kejadian itu, dua penyerang bersenjata – seorang lelaki berusia 50 tahun dan anak lelakinya yang berusia 24 tahun – didakwa telah melepaskan tembakan pada majlis sambutan kaum Yahudi, Hanukkah, di pantai Sydney pada 14 Disember, membunuh 15 orang dan mencederakan lebih 40 yang lain.

Hanukkah diraikan bagi memperingati kemenangan dan kebebasan beragama dalam sejarah masyarakat Yahudi.

Media Australia menamakan lelaki bersenjata itu sebagai Sajid Akram, yang terbunuh dalam kejadian tembak-menembak dengan polis, dan anak lelakinya Naveed Akram yang berada dalam keadaan kritikal di bawah kawalan polis di hospital.

Ini menjadikan seramai 16 orang maut dalam kejadian itu.

Badan Risikan Keselamatan Australia (Asio) pernah menyiasat Naveed pada 2019, menurut ABC, yang memetik seorang pegawai kanan yang tidak dinamakan dalam operasi antipengganasan bersama, susulan serangan di Pantai Bondi.

Ia menyatakan Naveed dipercayai mempunyai hubungan rapat dengan seorang anggota ISIS yang ditangkap pada Julai 2019 dan disabit kesalahan merancang tindakan pengganas di Australia.

Penyiar itu menyatakan penyiasat antipengganasan percaya kedua-dua bapa dan anak itu telah berikrar taat setia kepada ISIS.

Pegawai kanan dilaporkan menemui dua bendera ISIS dalam kereta mereka di kawasan pantai.

Ketua Pengarah Asio, Encik Mike Burgess, memberitahu wartawan pada 14 Disember bahawa salah seorang lelaki bersenjata itu “dikenali oleh kami tetapi bukan dari perspektif ancaman segera”.

“Jadi, sudah tentu kami perlu menyiasat apa yang berlaku di sini,” tambahnya.

Polis New South Wales berkata mereka tidak dapat mengesahkan laporan stesen penyiar ABC itu. Asio juga enggan mengulas kerana siasatan sedang dijalankan.

Saksi berkata kejadian tembakan di Pantai Bondi berlarutan kira-kira 10 minit, menyebabkan ratusan orang bertempiaran lari menyelamatkan diri.

Polis menambah kira-kira 1,000 orang telah menghadiri acara Hanukkah itu di sebuah taman kecil di luar pantai tersebut.

Seorang lelaki, Encik Ahmed al Ahmed, pemilik kedai buah-buahan berusia 43 tahun di Sydney, yang menerpa dan melucutkan senjata salah seorang lelaki bersenjata berkenaan telah disanjung sebagai wira penyelamat banyak nyawa.

Namun, beliau telah ditembak dua kali dan dilaporkan semakin pulih setelah menjalani pembedahan.

Polis berkata Sajid Akram memegang lesen senjata api sejak 2015 dan mempunyai lesen enam senjata api.

Perdana Menteri Australia, Encik Anthony Albanese, yang melawat lokasi kejadian dan meletakkan sejambak bunga di Pantai Bondi pada pagi 15 Disember, menyifatkan serangan itu sebagai detik gelap bagi negaranya.

“Apa yang kita lihat semalam (14 Disember) ialah tindakan kejahatan tulen, tindakan antisemitisme, tindakan keganasan di lokasi ikonik Australia,” kata Encik Albanese kepada wartawan.

Beliau turut mengumumkan kesepakatan Kabinet Nasional Australia mengetatkan undang-undang pemilikan senjata api. Ini termasuk mempertimbang semakan lesen sedia ada untuk individu, mengehadkan pemilikan lesen senjata api hanya untuk warga Australia dan membataskan jumlah senjata api yang dimiliki seorang individu.

“Keadaan orang ramai boleh berubah. Orang ramai juga boleh menjadi radikal dalam tempoh masa tertentu,” tegasnya. – AFP, Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg