Kim Jong Un lancar perumahan untuk keluarga tentera gugur di Ukraine
Kim Jong Un lancar perumahan untuk keluarga tentera gugur di Ukraine
Tonjol pengorbanan pasukan tentera Korea U di tengah perhatian antarabangsa terhadap kerjasama Pyongyang-Moscow
PYONGYANG: Pemimpin Korea Utara Kim Jong Un merasmikan sebuah jalan perumahan baru khas untuk keluarga tentera yang terbunuh ketika menyokong perang Russia di Ukraine, menurut laporan media rasmi pada 16 Februari, sekali gus menonjolkan pengorbanan pasukan tentera negara itu di tengah perhatian antarabangsa terhadap kerjasama ketenteraan Pyongyang-Moscow.
Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) melaporkan Encik Kim melawat kawasan kediaman di Jalan Saeppyol bersama anak perempuannya, Cik Ju Ae, yang semakin dilihat sebagai pengganti kepimpinan masa depan.
Dalam ucapan yang disiarkan media rasmi, Encik Kim memuji tentera yang gugur sebagai wira negara.
“Jalan baru ini dibina hasil keinginan tulus tanah air agar anak-anak terbaiknya, yang mempertahankan perkara paling suci dengan pengorbanan tertinggi, akan dikenang selama-lamanya,” katanya.
Menurut agensi perisikan Korea Selatan dan negara Barat, Korea Utara telah menghantar ribuan anggota tentera bagi membantu Russia dalam konflik Ukraine, dengan Seoul menganggarkan kira-kira 2,000 anggota terbunuh.
Walaupun laporan KCNA tidak menyebut Russia secara langsung, Encik Kim sebelum ini berikrar akan “menyokong tanpa syarat” semua dasar Presiden Russia Vladimir Putin.
Pemerhati berpendapat Pyongyang menerima balasan dalam bentuk bantuan kewangan, teknologi ketenteraan serta bekalan makanan dan tenaga. “Para wira yang terkorban pasti membayangkan keluarga mereka hidup sejahtera dalam negara yang terus makmur,” kata Encik Kim.
Gambar rasmi menunjukkan Encik Kim berbual dengan keluarga anggota tentera yang terkorban di ruang tamu kediaman baharu, sementara Cik Ju Ae berdiri di belakang mereka.
Imej lain memperlihatkan keluarga memeriksa kemudahan asas di pangsapuri tersebut.
Agensi perisikan Seoul minggu lalu menyatakan Cik Ju Ae kini “jelas ditetapkan sebagai pengganti”, berdasarkan penglibatannya dalam acara penting negara bersama bapanya. Seorang penganalisis berkata kemunculan berterusan Cik Ju Ae mempunyai mesej politik.
“Ia menandakan kesinambungan kepimpinan dan kestabilan rejim kepada rakyat serta elit parti,” katanya.
Perasmian perumahan itu berlaku menjelang kongres parti pemerintah Korea Utara yang dijadual berlangsung Februari ini, acara politik terbesar negara tersebut.
Perhatian tertumpu kepada hala tuju dasar luar dan dalam negara yang bakal diumumkan Encik Kim serta kemungkinan Cik Ju Ae diberikan jawatan rasmi.
Penganalisis Institut Penyatuan Nasional Korea, Encik Hong Min, berkata langkah itu bersifat strategik.
“Ini tindakan politik yang dikira teliti untuk mewajarkan penghantaran tentera ke luar negara,” katanya.
Beliau menambah projek perumahan tersebut bertujuan menunjukkan negara memberi pampasan nyata kepada keluarga tentera. “Ia memperlihatkan tanggungjawab negara terhadap pengorbanan tentera sebagai simbol propaganda,” katanya.’
Bagi pemerhati, projek perumahan itu bukan sekadar kebajikan sosial tetapi mesej politik dalaman dan luaran. Di dalam negara, ia mengukuhkan legitimasi kepimpinan dengan menonjolkan penghargaan terhadap tentera.
Di peringkat antarabangsa, ia memberi isyarat Korea Utara tidak akan berundur daripada kerjasama ketenteraan dengan Moscow. Dengan kongres parti semakin hampir, tindakan Kim dilihat sebagai usaha menggabungkan propaganda, perancangan pewarisan kuasa dan strategi geopolitik dalam satu langkah serentak. – Agensi berita.

