Sejumlah 13 perbualan telefon antara Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden dengan Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, ditambah dengan beberapa penglibatan lain dan perbincangan terputus-putus dengan Amir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, yang akhirnya menghasilkan perjanjian gencatan senjata, antara Israel dengan Hamas.
Gencatan senjata itu, yang pada mulanya ditetapkan untuk beberapa hari, bertujuan mengurangkan krisis kemanusiaan di Jaluran Gaza, yang terkepung, berikutan pertikaian yang meletus pada 7 Oktober.
Perunding yang berpangkalan di Ankara, Doha, dan Beirut memberitahu Frontline secara eksklusif, bahawa gencatan senjata, yang disahkan sebulat suara oleh semua pihak berkepentingan, direka untuk memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza, dan membenarkan pertukaran tahanan secara terhad.
Qatar telah memainkan peranan penting dalam menghasilkan perjanjian itu, memastikan penyertaan daripada kuasa serantau seperti Iran, Mesir dan Turkey.
Gencatan senjata telah diselesaikan melalui mesyuarat penting, yang terakhir terutamanya di Lebanon, di mana Encik Hassan Nasrallah dari Hezbollah, bertindak atas arahan Iran, bersidang dengan pegawai Hamas, Encik Osama Hamdan dan Encik Khalil al-Hayya untuk membincangkan butiran terakhir bagi menangani kebimbangan Israel dari sempadan utara.
Encik Hayya adalah ketua perhubungan Arab Hamas, manakala Encik Hamdan pula adalah ahli kanan dalam biro politik.
Dokumen gencatan senjata enam muka surat itu, menetapkan pemberhentian kegiatan ketenteraan Israel, larangan penerbangan Israel ke selatan Gaza, dan menyekat operasi ruang udara di utara.
Perbincangan awal yang penting bermula pada 25 Oktober, dengan Perdana Menteri Qatar, Encik Mohammed bin Abdulrahman Al Thani, dan Penyelaras Timur Tengah Rumah Putih, Encik Brett McGurk, membincangkan rangka kerja gencatan senjata itu.
Amerika terpaksa campur tangan dan menggunakan pengaruhnya ke atas Israel kerana bantahan sejagat dan kebimbangan terhadap reputasinya dalam kalangan rakan kongsi Arab.
Untuk memastikan rundingan berjalan lancar, wakil dari Qatar, Amerika dan Israel telah ditubuhkan untuk menyemak kemajuan hampir setiap hari.
Penyumbang Amerika termasuk Pengarah Agensi Risik Pusat (CIA), Encik William Burns; Penasihat Keselamatan Negara Amerika, Encik Jake Sullivan dan Encik McGurk, bersama ketua Mossad Israel, Encik David Barnea.
Amir Qatar mewakilkan Perdana Menteri Abdulrahman al-Thani, dengan input kritikal tambahan daripada Menteri Luar Turkey, Encik Hakan Fidan, yang merupakan mantan pegawai polis, dan ketua perisikan Mesir, Encik Abbas Kamel, yang kedua-duanya berpengaruh dalam merapatkan jurang rundingan.
Antara 20 dengan 25 Oktober, Encik Barnea mengadakan beberapa rundingan dengan Encik Burns.
Encik Biden berbincang dengan Encik Netanyahu empat kali dalam tempoh lima hari itu, untuk menyediakan garis besar perjanjian, yang kemudiannya dibincangkan dengan Qatar pada 25 Oktober.
Sebelum rundingan mencapai tahap serius, kepimpinan politik Hamas di Doha, Istanbul, dan Beirut telah diberitahu supaya menunjukkan cengkaman dan pada kadernya yang menahan orang-orang tawanan.
Bagi membuktikan kekuasaannya, Hamas membebaskan warga Amerika, Cik Judith dan Natalie Raanan pada 21 Oktober, meningkatkan keyakinan terhadap keupayaan pengantara Qatar.
Bagaimanapun, perjanjian itu menghadapi halangan dua kali: pertama apabila Israel melancarkan serangan darat pada 29 Oktober dan kali kedua selepas pencerobohan tentera Israel ke Hospital Al-Shifa Gaza, pada 15 November.
Mengukuhkan ini, akhbar Israel Times of Israel melaporkan bahawa serangan darat Israel telah merumitkan rundingan, tetapi ketua CIA berjaya memujuk Perdana Menteri Qatar dan ketua Mossad untuk meneruskan perbincangan.
Panggilan telefon antara Encik Biden dengan Amir Qatar, turut membantu memulihkan perbincangan.
Seorang pegawai Rumah Putih memberitahu akhbar itu, bahawa panggilan telefon kritikal oleh Encik Biden kepada Encik Netanyahu, memulihkan kemajuan, dilanjutkan dengan penyelarasan darat dari Encik McGurk di Tel Aviv.
Semasa perbincangan itu, Encik Netanyahu meminta Encik Biden agar menekan Amir Qatar supaya percepatkan proses itu.
Bagaimanapun, komunikasi terputus sekali lagi pada 15 November, berikutan serangan Israel ke atas Hospital Shifa.
Hamas memutuskan hubungan dengan pengantara Qatar dan Mesir, marah dengan pencerobohan tentera Israel ke atas hospital itu.
Ia mengambil masa dua hari dan satu lagi panggilan dari Encik Biden ke Amir Qatar, untuk rundingan disambung semula.
Pada 18 November, Encik McGurk dan Encik Burns bertemu Perdana Menteri Qatar, dengan membawa draf perjanjian yang lebih baik.
Sumber mengatakan bahawa Perdana Menteri Qatar mengadakan perbincangan dengan pemimpin Hamas selama beberapa jam mengenai draf tersebut.
Pertemuan itu melibatkan ketua Hamas, Encik Ismail Haniyeh, bekas ketua Encik Khaled Mashal, dan ahli biro politik penting lain juga, supaya tiada yang tertinggal.
Selepas beberapa rundingan sengit, ketua CIA Encik Burns dan Perdana Menteri Qatar akhirnya membatalkan perjanjian enam muka surat yang sudah disediakan untuk diserahkan kepada Israel.
Keesokan harinya Encik McGurk bertemu ketua perisikan Mesir, Encik Kamel di Kahirah, yang membantu mengisi beberapa ruang yang tinggal.
Cadangan terakhir telah dibentangkan kepada Israel, yang masih mempunyai kebimbangan mengenai Hezbollah di sempadan utaranya.
Ini telah ditangani ketika pemimpin Hamas bertemu ketua Hezbollah di Beirut pada 23 November.
Encik Moussa Abu Marzouk, seorang pemimpin kanan Hamas, berkata mengikut perjanjian itu semua tindakan ketenteraan akan terhenti sepanjang tempoh gencatan senjata.
Selain itu, tiada pesawat tentera Israel akan terbang di selatan Jaluran Gaza selama empat hari, manakala di utara, penerbangan akan digantung dari 10 pagi hingga 4 petang setiap hari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg