DOHA: Gencatan senjata antara Israel dengan kumpulan Hamas, yang menguasai Jaluran Gaza, atau Gaza, bagi menghentikan sementara peperangan hampir tujuh minggu berkuat kuasa pada 7 pagi waktu tempatan (1 tengah hari waktu Singapura) pada Jumaat.
Qatar, negara pengantara perjanjian itu, berkata kumpulan pertama tebusan dibebaskan pada 4 petang.
Presiden Amerika Syarikat, Encik Joe Biden, berkata perjanjian itu akan menamatkan “kesengsaraan” tebusan Israel yang ditahan Hamas dan “meringankan penderitaan keluarga Palestin yang tidak bersalah”.
Hamas, yang disifatkan Israel, Amerika dan kuasa Barat lain sebagai sebuah pertubuhan pengganasan, berkata perjanjian itu akan memberi rakyat Palestin masa untuk pulih selepas serangan udara dan darat berterusan Israel, yang telah membunuh lebih 14,500 orang.
TEBUSAN YANG BAKAL DIBEBASKAN
Selepas Israel menandatangani perjanjian itu pada awal Rabu, pejabat Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu berkata “sekurang-kurangnya 50 tebusan – wanita dan kanak-kanak – akan dibebaskan dalam empat kelompok sepanjang empat hari gencatan senjata itu”.
Israel juga menawarkan insentif kepada Hamas – “Pembebasan setiap 10 tebusan tambahan akan membawa kepada tambahan satu hari gencatan senjata”.
Jurucakap Kementerian Luar Qatar, Encik Majid al-Ansari, berkata kumpulan pertama tebusan – 13 kanak-kanak dan wanita, sesetengahnya daripada keluarga sama – akan dibebaskan pada Jumaat.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) dijangka menerima penyerahan tebusan Israel di Gaza.
Israel berkata ia akan “meneruskan perang untuk membebaskan semua tebusan dan memastikan tiada ancaman baru terhadap Israel daripada Gaza”.
APAKAH YANG BERLAKU DI GAZA KETIKA
GENCATAN SENJATA?
Hamas berkata semua kegiatan dron dan pesawat Israel di selatan Gaza harus dihentikan sepanjang gencatan senjata sementara itu. Tetapi di utara – sasaran utama operasi Israel terhadap Hamas – gencatan senjata berlangsung dari 10 pagi dengan 4 petang.
Tentera dan kereta kebal Israel dijangka kekal dalam kedudukan mereka di dalam Gaza, tetapi mereka tidak boleh menyerang atau menangkap sesiapa.
Sepanjang gencatan senjata itu, 200 lori bantuan kemanusiaan, empat lori tangki bahan api dan empat lori gas memasak dibenarkan memasuki Gaza melalui lintasan Rafah di Mesir.
SIAPAKAH TAHANAN PALESTIN DI ISRAEL?
Menurut Hamas, 150 tahanan Palestin – kesemuanya wanita dan kanak-kanak – akan dibebaskan oleh Israel.
Israel kini menahan kira-kira 7,000 rakyat Palestin yang dituduh atau disabitkan dengan kesalahan keselamatan.
BAGAIMANA PERJANJIAN AKAN DIPANTAU?
Pengantara Qatar berkata bilik gerakan di Doha akan membuka talian perhubungan dengan Israel, pejabat politik Hamas, dan ICRC supaya sebarang kemungkinan pelanggaran “disampaikan segera kepada kedua-dua pihak dan cara mengatasinya”.
Perkara paling penting ialah “memastikan persekitaran pemindahan tebusan berlaku dalam keadaan selamat”, tambahnya.
Encik Majid berkata pada masa ini tiada sebarang “pergerakan” di lapangan dan ia hanya akan berlaku pada ruang masa yang ditetapkan pada setiap hari gencatan senjata yang dipersetujui itu. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg