Lebih 30 peratus stesen minyak tutup, Kemboja tingkat import dari negara serantau
Lebih 30 peratus stesen minyak tutup, Kemboja tingkat import dari negara serantau
PHNOM PENH: Kemboja kini meningkatkan import bahan api dari Singapura dan Malaysia bagi menampung kekurangan bekalan susulan sekatan eksport oleh Vietnam dan China, ketika konflik Amerika Syarikat-Israel dengan Iran terus menekan pasaran tenaga global.
Menteri Tenaga Kemboja, Encik Keo Rottanak, berkata langkah itu diambil bagi memastikan bekalan domestik kekal stabil dalam situasi ketidaktentuan semasa. “Kami masih boleh mengimport sedikit dari China. Namun, disebabkan hubungan kukuh dengan pembekal global seperti Total dan Chevron, risiko kekurangan bekalan dapat dikurangkan,” katanya kepada Reuters.
Situasi itu berlaku ketika kira-kira satu pertiga daripada 6,300 stesen minyak di negara berpenduduk hampir 18 juta orang itu dilaporkan telah ditutup sejak minggu lalu. Pihak berkuasa kini menyiasat sama ada terdapat aktiviti penyorokan bekalan oleh pengusaha stesen minyak yang menjangkakan kenaikan harga dalam tempoh terdekat.
Vietnam dan China dilaporkan telah mengehadkan eksport bahan api sekurang-kurangnya sehingga akhir Mac bagi melindungi bekalan domestik masing-masing. Pada masa sama, Thailand yang sebelum ini merupakan pembekal utama turut menghentikan eksport sejak Julai 2025 susulan konflik bersenjata dengan Kemboja, dan masih belum menyambung semula penghantaran.
Data daripada Pusat Perdagangan Antarabangsa, sebuah agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, menunjukkan Thailand dan Vietnam menyumbang lebih 60 peratus import produk petroleum Kemboja pada 2024. Singapura dan Malaysia pula menyumbang hampir satu pertiga, manakala China sekitar tujuh peratus.
Encik Rottanak menjelaskan bahawa peningkatan import dari Singapura dan Malaysia adalah langkah strategik bagi mengimbangi kekurangan bekalan daripada negara lain.
Namun, beliau tidak memberikan garis masa jelas mengenai ketibaan bekalan tambahan tersebut, sambil menegaskan bahawa stok semasa masih berada pada paras yang hampir sama dengan tahap biasa sebelum ini.
Data daripada firma analitik Kpler menunjukkan eksport petrol dan diesel dari Singapura dan Malaysia ke Kemboja dalam 18 hari pertama bulan ini meningkat sebanyak 25 peratus berbanding tempoh sama pada 2025. Namun, angka itu masih 40 peratus lebih rendah berbanding penghujung Februari, mencerminkan ketidaktentuan dalam rantaian bekalan.
Kemboja, yang tidak mempunyai kilang penapisan minyak sendiri, sangat bergantung kepada import dan hanya mempunyai bekalan bahan api yang mencukupi untuk kurang daripada sebulan dalam keadaan biasa. “Kami belum sepenuhnya kebal daripada kesan krisis ini, tetapi aliran masuk bekalan buat masa ini masih terkawal,” kata Encik Rottanak.
Walaupun berdepan tekanan global, Kemboja dilihat sedikit terlindung daripada kejutan harga minyak susulan perkembangan pesat tenaga boleh diperbaharui dalam negara itu. Menurut Encik Rottanak, usaha elektrifikasi berasaskan tenaga boleh diperbaharui telah membantu mengekalkan tahap import bahan api pada paras stabil sejak 2022.
“Disebabkan tenaga boleh diperbaharui, kami kurang terdedah kepada kejutan penuh daripada pasaran minyak Asia Barat,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menekankan bahawa krisis semasa menunjukkan keperluan mendesak untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian grid tenaga serantau dalam kalangan negara Asean.
“Situasi seperti ini sepatutnya mengingatkan kita bahawa grid kuasa Asean adalah langkah ke hadapan. Kita akan menjadi jauh lebih berdaya tahan berbanding sekarang,” katanya. - Agensi berita

