MAALE ADUMIM (Tebing Barat): Seorang lelaki Palestin yang bersenjata melepaskan tembakan di penempatan Israel di timur Baitulmakdis pada Selasa, mencederakan enam orang sebelum ditembak mati, kata polis Israel.
Tembakan di satu pusat beli-belah di penempatan Yahudi yang besar di Maale Adumim, di Tebing Barat yang diduduki Israel, adalah yang terbaru dalam konflik Israel-Palestin yang paling ganas di wilayah itu dalam hampir dua dekad.
Selepas kejadian itu, pegawai kesihatan Palestin berkata tentera Israel menembak dan membunuh seorang warga Palestin berusia 15 tahun, yang didakwa cuba menikam tentera di selatan Tebing Barat, berhampiran bandar Hebron.
Di penempatan berbukit Maale Adumim di pinggir timur Baitulmakdis, seorang pegawai polis yang tidak bertugas mendengar tembakan, meluru ke arah bunyi itu dan membunuh penyerang, kata polis.
Pegawai itu melepaskan tembakan, membunuh warga Palestin, yang berpakaian sebagai pengawal keselamatan.
Kumpulan militan Islam Hamas dan Jihad Islam Palestin, memuji serangan itu sebagai “aksi wira” tetapi tidak mengaku bertanggungjawab.
“Operasi ini adalah tindak balas terhadap penyerbuan Masjid Al-Aqsa yang suci,” kata jurucakap Jihad Islam Tariq Salami, merujuk kepada lawatan ke tapak suci Baitulmakdis yang sensitif oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Encik Itamar Ben-Gvir, dan ribuan penganut agama Yahudi lain minggu lalu.
Pekarangan yang dipertikaikan, telah lama menjadi titik permulaan untuk keganasan antara Israel dengan Palestin.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti penyerang itu sebagai Muhannad al-Mazraa berusia 20 tahun dari Azariya, sebuah bandar Tebing Barat di timur Baitulmakdis.
Penyerang mencederakan sekurang-kurangnya enam orang, kata khidmat keselamatan Israel, termasuk seorang lelaki berusia 41 tahun yang cedera parah. Selebihnya, beberapa lelaki yang berumur antara 14 hingga 37 tahun, dalam keadaan sedar, tambahnya.
Sementara itu, di selatan Tebing Barat berhampiran bandar As-Samou di Palestin, tentera Israel menembak dan membunuh seorang remaja Palestin yang didakwa cuba menikam mereka di perhentian bas.
Tentera berkata bahawa askar telah menyoal remaja berusia 15 tahun itu di satu simpang apabila dia menyerang mereka dengan pisau.
Kementerian Kesihatan Palestin mengenal pasti remaja itu sebagai Mohammed al-Zaarir.
Pertempuran antara Israel dengan Palestin di Tebing Barat semakin sengit pada awal 2022 apabila Israel melancarkan serbuan hampir setiap malam ke kawasan Palestin di Tebing Barat sebagai tindak balas menyusuli siri serangan Palestin terhadap Israel.
Keganasan telah meningkat tahun ini, dengan lebih 150 rakyat Palestin terbunuh oleh tembakan Israel sejak awal 2023 di Tebing Barat dan timur Baitulmakdis. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg