Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik sempadan paksa pekerja migran Kemboja di Thailand pulang

Jul 30, 2025 | 3:57 PM
Penduduk Kemboja yang dipindahkan berkhemah berhampiran sebuah pagoda di wilayah Oddar Meanchey pada 29 Julai 2025, susulan gencatan senjata dengan Thailand. Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh di kedua-dua pihak dalam pertempuran paling berdarah dalam beberapa tahun, berpunca daripada pertikaian melibatkan beberapa kuil purba di sepanjang sempadan 800 kilometer antara Thailand dan Kemboja.
Penduduk Kemboja yang dipindahkan berkhemah berhampiran sebuah pagoda di wilayah Oddar Meanchey pada 29 Julai 2025, susulan gencatan senjata dengan Thailand. Sekurang-kurangnya 43 orang terbunuh di kedua-dua pihak dalam pertempuran paling berdarah dalam beberapa tahun, berpunca daripada pertikaian melibatkan beberapa kuil purba di sepanjang sempadan 800 kilometer antara Thailand dan Kemboja. - Foto AFP

SAMROANG, Kemboja: Dalam sebuah kem pelarian sementara di wilayah Oddar Meanchey, utara Kemboja, seorang bapa bersama keluarga besarnya kini menanggung beban akibat konflik sempadan berdarah antara Kemboja dan Thailand yang berlangsung selama lima hari sebelum gencatan senjata diumumkan pada 28 Julai.

Encik Yen Luot, 59 tahun, pulang bersama empat anak dan pasangan masing-masing ke Kemboja selepas ketakutan bahawa pertempuran sengit itu akan menyasarkan rakyat Kemboja yang bekerja di Thailand.

“Mereka semua bekerja di Thailand sebelum pergaduhan tercetus,” kata Encik Luot ketika ditemui di kawasan padang terbuka yang kini dipenuhi barisan khemah plastik dan kanvas. “Saya ajak semua pulang sebab saya takut kalau-kalau orang Thai serang kami di sana.”

Encik Luot mendakwa beliau melihat beberapa video di media sosial yang menunjukkan insiden serangan ke atas rakyat Kemboja oleh kumpulan nasionalis Thai, dan hal itu membuatkan beliau tidak sanggup mengambil risiko.

Bekas pekerja binaan yang telah menghabiskan 15 tahun hidupnya bekerja di Thailand itu kini hilang punca, tiada kerja, tiada rumah, dan masih dibebani hutang bank.

“Kalau keadaan bertambah baik, mungkin mereka boleh kembali kerja di Thailand atau cari kerja di Phnom Penh,” katanya. “Tapi sekarang, nak pergi cari kerja pun tak ada duit.”

Keluarga Encik Luot adalah antara ribuan pekerja migran Kemboja yang pulang tergesa-gesa apabila konflik meletus pada 24 Julai lalu. Menurut data rasmi, sebelum konflik, lebih 520,000 rakyat Kemboja bekerja di Thailand mewakili sekitar 12 peratus daripada keseluruhan tenaga kerja asing di negara jiran itu.

Anak perempuan Encik Luot, Cik Chharn Sarou, yang bekerja di sebuah kilang di Thailand, berkata majikannya sebenarnya mahu beliau terus tinggal dan bekerja, tetapi beliau memilih untuk pulang demi keselamatan.

“Saya takut. Kalau perang merebak, saya rasa kami orang Kemboja akan jadi sasaran,” katanya sambil menunduk. “Saya pun tak tahu nak buat apa sekarang. Kalau ada kerja di Kemboja, saya lebih rela tinggal di sini daripada kembali ke Thailand.”

Sementara itu, Kementerian Buruh Thailand pada 29 Julai memberi jaminan bahawa tidak ada sebarang laporan penderaan terhadap pekerja Kemboja di negara itu. Menteri Buruh Thailand, Encik Pongkawin Jungrungruangkit, berkata beliau maklum akan penularan gambar dan video di media sosial yang menimbulkan kegelisahan dalam kalangan pekerja asing.

“Kami tidak ambil ringan perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan. “Kami telah arahkan semua jabatan berkaitan termasuk Jabatan Pekerjaan, Jabatan Pembangunan Kemahiran, Jabatan Perlindungan Buruh dan Kebajikan, serta Pejabat Keselamatan Sosial untuk menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh.”

Beliau turut menegaskan bahawa tiada kes penderaan fizikal terhadap pekerja Kemboja yang dikenal pasti setakat ini. Namun begitu, pegawai dari semua agensi telah dikerahkan ke pelbagai lokasi untuk memastikan tiada pelanggaran berlaku.

Pihak kementerian turut mengadakan kerjasama dengan majikan dan syarikat yang menggaji rakyat Kemboja bagi memupuk pemahaman yang betul dan mengelakkan ketegangan antara pekerja tempatan Thailand dan pekerja asing dari Kemboja.

Pertikaian sempadan antara Kemboja dan Thailand yang sudah berlarutan selama beberapa dekad meletus semula pada penghujung Julai, dengan kedua-dua pihak saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai pencetus konflik. Gencatan senjata yang dicapai di Malaysia hanya berkuat kuasa selepas lima hari pertempuran yang mengorbankan puluhan nyawa dan menyebabkan lebih 300,000 orang terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing.

Bagi keluarga seperti Encik Luot, gencatan senjata ini belum cukup untuk memberikan ketenangan. Mereka kini hidup bergantung kepada sumbangan makanan dan khemah daripada sukarelawan serta agensi bantuan.
“Kami hanya mahu hidup aman dan ada kerja untuk teruskan hidup,” ujar Encik Luot perlahan. “Sekarang kami cuma tunggu. Tak tahu apa akan jadi esok.” - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg