Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonflik terbaru AS-Iran ganggu penerbangan Teluk, syarikat penerbangan ubah laluan
DUBAI: Syarikat penerbangan di Timur Tengah sekali lagi terpaksa membatalkan penerbangan, mengubah jadual dan menyusun semula laluan selepas pertempuran terbaru antara Amerika Syarikat dengan Iran meningkatkan risiko keselamatan ruang udara Teluk.
Gangguan terbaru itu menambah ketidaktentuan di salah satu koridor penerbangan antarabangsa paling sibuk di dunia, yang menghubungkan Eropah dengan Asia, Afrika dan Australia melalui hab utama seperti Dubai, Doha dan Abu Dhabi.
Ketegangan memuncak selepas tentera Amerika menyerang beberapa sasaran ketenteraan Iran pada 1 September, termasuk sistem pertahanan udara, radar, kemudahan maritim dan komunikasi.
Iran membalas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terhadap sasaran serta pangkalan yang dikaitkan dengan Amerika di Bahrain, Kuwait, Jordan dan Iraq.
Bahrain berkata sistem pertahanan udaranya memintas beberapa serangan, manakala Kuwait melaporkan sebuah dron menyebabkan kebakaran di sebuah kompleks kediaman tanpa mengakibatkan kecederaan.
Iran pada 3 September turut mendakwa menyasarkan pangkalan Amerika di Amiriah Arab Bersatu (UAE) dan Kuwait, meskipun Presiden Amerika, Encik Donald Trump, memberi amaran mengenai serangan lanjut terhadap Tehran.
Kesan pertempuran itu segera dirasakan sektor penerbangan komersial.
Hampir 20 penerbangan dari lapangan terbang UAE ke beberapa destinasi serantau dilaporkan lewat atau dibatalkan dalam beberapa hari lalu.
Emirates membatalkan penerbangan antara Dubai dengan Basra di Iraq, manakala Air Arabia membatalkan beberapa penerbangan yang menghubungkan UAE dengan Bahrain dan Kuwait pada 3 dan 4 September.
Antaranya ialah penerbangan G9107 ke Bahrain serta G9068 dan G9124 ke Kuwait pada 3 dan 4 September.
Namun, beberapa penerbangan Air Arabia lain ke kedua-dua negara itu masih beroperasi.
Etihad Airways pula melaporkan beberapa kelewatan dan beberapa penerbangan terpaksa dilencongkan, meskipun khidmatnya ke Bahrain dan Kuwait terus beroperasi.
Syarikat flydubai berkata penerbangannya ke Bahrain beroperasi mengikut jadual dalam kemas kini terbaru, tetapi memberi amaran bahawa jadual dan laluan penerbangan boleh berubah bergantung pada keadaan keselamatan.
Syarikat penerbangan antarabangsa lain turut mengambil langkah berjaga-jaga.
Air France menggantung penerbangan ke Dubai sehingga 4 September, manakala penerbangan keluar dari Dubai digantung sehingga 5 September.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) pula melanjutkan amaran berkaitan zon konflik di Teluk sehingga 30 September, menyebabkan syarikat penerbangan terus menilai semula laluan yang digunakan.
Walaupun lapangan terbang utama Teluk masih beroperasi, risiko di ruang udara sekitar boleh memberi kesan besar terhadap penerbangan.
Pesawat yang perlu mengelakkan kawasan berisiko terpaksa menggunakan laluan lebih jauh, sekali gus memanjangkan masa perjalanan dan meningkatkan penggunaan bahan api.
Perubahan itu juga boleh mengganggu jadual pesawat dan kru, menyebabkan kesannya merebak kepada penerbangan lain yang tidak melalui kawasan konflik.
Ini amat penting bagi Dubai, Doha dan Abu Dhabi kerana ketiga-tiga hab itu banyak bergantung pada penumpang transit bagi menghubungkan penerbangan jarak jauh antara benua.
Kesan perang terhadap sektor penerbangan sudah ketara sebelum pertempuran terbaru.
Jumlah penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai merosot 31.3 peratus pada separuh pertama 2026 berikutan gangguan perjalanan akibat perang Iran, menurut Reuters.
Pertempuran terbaru turut meningkatkan kebimbangan mengenai kos bahan api apabila keselamatan perkapalan di Selat Hormuz kembali menjadi perhatian.
Selat itu merupakan laluan penting bagi perdagangan minyak dunia, tetapi pergerakan kapal kekal jauh di bawah paras biasa.
Menurut data awal Kpler yang dilaporkan Reuters, hanya empat kapal komoditi menyeberangi Selat Hormuz pada 2 September, berbanding purata sekitar 13 kapal sehari dalam tempoh 10 hari sebelumnya.
Komand Pusat Amerika (Centcom), bagaimanapun, berkata ia mengiringi 40 kapal melalui selat itu pada 1 September, membawa sejumlah 18 juta tong minyak.
Pusat Maklumat Maritim Bersama yang berpangkalan di Bahrain turut melaporkan dua kejadian membabitkan kapal tangki dalam tempoh 48 jam.
Satu daripadanya membabitkan kapal tangki minyak Burgan, yang melaporkan insiden keselamatan sebelum berlabuh berhampiran Jazirat Um Al Ghanam.
Gangguan berpanjangan terhadap penghantaran minyak melalui Selat Hormuz boleh meningkatkan harga tenaga dan menambah kos kepada syarikat penerbangan yang sudah terpaksa menggunakan laluan lebih panjang.
Selain konflik Teluk, syarikat penerbangan yang menghubungkan Asia dengan Eropah kini berdepan satu lagi risiko – ruang udara Russia.
Presiden Ukraine, Encik Volodymyr Zelensky, memberi amaran bahawa peningkatan operasi dron Ukraine menjadikan ruang udara Russia semakin berbahaya kepada penerbangan awam.
Ukraine telah memaklumkan kebimbangannya kepada Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO).
Russia menolak amaran itu dan menegaskan ruang udara serta lapangan terbangnya kekal selamat dan beroperasi.
Kebanyakan syarikat penerbangan Eropah dan Amerika sudah mengelakkan ruang udara Russia sejak pencerobohan Moscow ke atas Ukraine pada 2022.
Namun, syarikat penerbangan dari China, Turkey, UAE dan beberapa negara Teluk masih menggunakan sebahagian ruang udara Russia bagi penerbangan antara Asia dengan Eropah.
Lapangan terbang Moscow pada 2 September mengalami gangguan besar dengan ratusan penerbangan lewat dan puluhan lagi dibatalkan.
Bagi penumpang di UAE, ketidaktentuan di Teluk dan Russia bermakna jadual penerbangan boleh berubah dengan cepat.
Penumpang yang berlepas dari Dubai dinasihatkan tiba sekurang-kurangnya empat jam sebelum penerbangan dan membuat daftar masuk dalam talian jika boleh.
Dengan konflik AS-Iran kembali meningkat, kesannya kini melangkaui medan pertempuran – mengganggu penerbangan, perkapalan dan bekalan tenaga serta meningkatkan tekanan terhadap rangkaian pengangkutan yang menghubungkan Teluk dengan seluruh dunia. - Agensi berita
