Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Konflik Thailand-Kemboja: Rakyat dua negara terpaksa larikan diri berulang kali

Dec 16, 2025 | 6:30 PM
Thailand, Cambodia, Kemboja, konflik, conflict
Orang awam mengemas tempat perlindungan sementara di Pagoda Chroy Neang Ngourn, Kemboja, sebelum berpindah ke kawasan lebih selamat pada 15 Disember. - Foto ST

SIEM REAP (Kemboja): Ribuan orang awam yang dipindahkan di kedua-dua belah kawasan pertikaian di sempadan Thailand-Kemboja terpaksa melarikan diri apabila pertempuran sengit antara tentera dua negara itu berlarutan lebih seminggu.

Mereka mencari perlindungan di mana sahaja termasuk di pagoda, sekolah dan pusat pemindahan sementara.

Ramai terpaksa berpindah berulang kali apabila letupan bom dan tembakan meriam semakin hampir, lapor The Straits Times (ST).

Serangan pengeboman udara di bahagian Kemboja pada 15 Disember pula menyebabkan ribuan orang awam sekali lagi bertempiaran melarikan diri, kali ini menuju lebih jauh ke pedalaman, kira-kira 90 minit perjalanan dari daerah Srei Snam di wilayah Siem Reap, ke arah bandar Siem Reap.

Sebelum itu, sekurang-kurangnya 2,000 orang berlindung di bawah khemah di kawasan Pagoda Chroy Neang Ngourn selepas pertempuran sempadan tercetus semula pada 8 Disember, susulan pertempuran selama lima hari pada Julai lalu.

Namun, kelibat dan bunyi dron tentera serta pesawat pejuang yang berlegar di udara memaksa mereka sekali lagi beredar ke kawasan lebih selamat.

Encik Ek Khoeung, 65 tahun, yang sedang mengemas barangannya berkata beliau “melihat dron dan merasakan gegaran tanah akibat bom yang dijatuhkan” dari jauh.

Petani itu, yang sebelum ini melarikan diri dari O’Smach di wilayah Odder Meanchey ketika pertempuran mula tercetus, berkata beliau menyangka kawasan pagoda itu selamat.

“Tetapi kini pengeboman semakin dekat. Saya tidak tahu lagi di mana tempat yang benar-benar selamat,” katanya.

Rumahnya terletak berhampiran sempadan Thailand, kawasan yang telah lama menyaksikan pertempuran berkaitan pertikaian sempadan selama lebih satu abad.

Seorang lagi petani, Cik Men Sokun, 28 tahun, berkata keadaan menjadi kelam-kabut apabila bom dijatuhkan dan orang ramai melarikan diri.

Ibu kepada dua anak itu memilih untuk kekal di kawasan pagoda buat sementara waktu, walaupun bimbang kerana hanya memiliki sebuah motosikal yang tidak mampu membawa seisi keluarga.

“Saya takut tentera Thailand akan mengesan tempat ini dan mengebomnya, dan kami tidak sempat melarikan diri,” katanya.

Apabila ST mengunjungi pagoda itu pada 15 Disember, ramai dilihat mengemas dan membungkus khemah sementara mereka dan memuatkan barangan ke atas traktor serta gerabak.

Dalam kenyataan pada 15 Disember, Kementerian Pertahanan Kemboja menuduh Thailand mengerahkan pesawat pejuang dan menjatuhkan bom di beberapa tempat di wilayah sempadan.

Tentera Thailand pula berkata sasarannya adalah kawasan yang didakwa digunakan Kemboja untuk melancarkan operasi ketenteraan dan menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

Keadaan kekal tegang tanpa sebarang tanda keredaan.

Dr Petra Alderman, penyelidik dan pengurus di Pusat Asia Tenggara Saw Swee Hock, London School of Economics and Political Science (LSE), berkata usaha meredakan konflik masih sukar, dengan kepentingan politik dalaman di Thailand menjelang pilihan raya umum menjadi antara faktor utama.

Thailand akan mengadakan pilihan raya umum pada 8 Februari susulan pembubaran Parlimen oleh Perdana Menteri sementara, Encik Anutin Charnvirakul, pada 12 Disember.

Encik Anutin dilihat meraih manfaat daripada arus nasionalisme akibat konflik sempadan dengan Kemboja bagi meningkatkan sokongan pengundi.

Pada masa sama, beliau berdepan kritikan berkaitan pengurusan banjir besar di selatan Thailand serta tanggapan adanya hubungan peringkat tinggi dengan ekonomi penipuan di Kemboja.

Beliau juga mewarisi ekonomi Thailand yang lembap akibat ketidakstabilan politik dan rampasan kuasa tentera sejak dua dekad lalu.

Pertempuran dengan Kemboja meningkatkan populariti tentera Thailand sejak rampasan kuasa 2014, kata Dr Alderman.

Sementara itu, usaha pengantaraan antarabangsa setakat ini belum membuahkan hasil.

Kemboja berkata sekurang-kurangnya 400,000 orang awam telah dipindahkan, manakala Thailand menganggarkan lebih 258,000 rakyatnya turut terjejas.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg