Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PM Thai tolak gencatan senjata selepas seorang rakyatnya terkorban akibat serangan Kemboja

Dec 15, 2025 | 2:00 PM
Anutin Charnvirakul, thailand, cambodia
Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata tiada rancangan untuk gencatan senjata ekoran kematian pertama rakyatnya akibat serangan roket Kemboja. - Foto AFP

BANGKOK: Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, berkata tiada rancangan untuk gencatan senjata susulan kematian pertama rakyatnya akibat serangan roket Kemboja selepas lapan hari pertempuran sengit.

“Tiada rancangan atau persetujuan oleh kerajaan Thailand untuk gencatan senjata dengan musuh kami setakat 10 malam tadi,” kata Encik Anutin dalam catatan Facebook pada 14 Disember, selepas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menggesa kedua-dua pihak berhenti berperang.

“Thailand berdiri teguh dengan keazaman kami untuk memelihara, melindungi dan mempertahankan integriti tanah dan rakyat kami dengan apa jua cara,” kata Encik Anutin.

Komen beliau dibuat selepas tentera Thailand mengesahkan seorang penduduk kampung terbunuh oleh roket BM-21 yang dilancarkan oleh Kemboja ke kawasan awam di daerah Kantaralak di wilayah Si Sa Ket, Thailand.

Lelaki berusia 63 tahun itu merupakan orang awam Thailand pertama yang terkorban secara langsung akibat serangan Kemboja.

Sembilan lain terkorban sejak konflik bermula semula minggu lalu.

Kementerian Luar Thailand mengemukakan bantahan kepada agensi hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 14 Disember, menuduh Kemboja melancarkan serangan termasuk ke atas sasaran bukan tentera.

Seorang askar Thailand terbunuh akibat tembakan tentera Kemboja di daerah yang sama, menjadikan jumlah kematian di pihak Thailand kepada 16 askar, dengan 327 yang lain cedera.

Kemboja belum mendedahkan sebarang korban melibatkan tenteranya.

Tentera Laut Thailand mengenakan perintah berkurung mulai 14 Disember di lima daerah di wilayah pantai tenggara Trat yang bersempadan dengan wilayah Koh Kong di Kemboja.

Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, pada 14 Disember menyeru rakyatnya supaya menyokong “tentera wira” mereka dalam misi untuk “melindungi kedaulatan dan maruah wilayah Kemboja”.

Sejak minggu lalu, konflik itu menyebabkan lebih daripada dua dozen kematian di kedua-dua belah pihak, termasuk 11 orang awam Kemboja seperti yang dilaporkan oleh pihak berkuasa negara itu.

Lebih daripada setengah juta orang kehilangan tempat tinggal.

Pertempuran tercetus semula di sepanjang sempadan 800 kilometer di negara-negara itu pada 7 Disember, peningkatan paling serius sejak lima hari pertempuran sengit pada Julai yang dihentikan oleh perjanjian gencatan senjata yang diusahakan Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump.

Ia juga menggagalkan “Perjanjian Damai Kuala Lumpur” Encik Trump yang ditandatangani oleh pemimpin Thailand dan Kemboja pada sidang puncak serantau di Malaysia pada Oktober. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg