Trump yakin kenaikan harga petrol kesan perang Iran hanya sementara
Trump yakin kenaikan harga petrol kesan perang Iran hanya sementara
Mahu redakan keresahan pengundi pilihan raya pertengahan penggal terhadap keadaan ekon
KENTUCKY: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, pada 11 Mac, berusaha meyakinkan rakyat Amerika di Kentucky dan Ohio bahawa kenaikan harga petrol yang terkait dengan perang Iran hanyalah sementara.
Kenyataan Encik Trump itu bertujuan meredakan kebimbangan anggota Parti Republikan yang gusar peningkatan harga petrol akan mencetuskan keresahan pengundi terhadap keadaan ekonomi.
Lawatan kempen Encik Trump itu merupakan yang pertama sejak Amerika dan Israel mula menyerang Iran pada 28 Februari.
Kunjungan ini memberinya pentas untuk mengukuhkan mesej ekonomi serta menonjolkan rekod pentadbirannya menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November, di mana Republikan perlu mempertahankan majoriti tipis di kedua-dua dewan Kongres Amerika.
Pada persinggahan pertamanya di sebuah kilang di Cincinnati, Ohio, tumpuan awal Encik Trump ialah kepada perang di Iran.
Secara purata, harga petrol telah melonjak 61 sen sejak Februari di seluruh Amerika, menurut pertubuhan pelancongan AAA.
“(Harga) minyak akan turun. Ia akan turun lebih banyak daripada jangkaan kita, atau sesiapa pun,” kata Encik Trump pada 11 Mac.
Encik Trump memberitahu saluran televisyen setempat Local 12 Cincinnati bahawa Amerika akan mengurangkan “sedikit” rizab petroleum strategik negara (SPR).
Mantan Presiden, Encik Joe Biden, sebelum ini pernah melepaskan simpanan minyak daripada SPR bagi mengehadkan kenaikan harga pada permulaan perang Russia di Ukraine.
Kenyataan Encik Trump mengenai ekonomi di Hebron, utara Kentucky, merupakan yang terbaru dalam siri ucapan di seluruh negara bagi meyakinkan rakyat Amerika tentang dasar ekonominya.
Encik Trump turut mengetengahkan usaha beliau menurunkan harga ubat-ubatan – satu isu utama Republikan dalam pilihan raya – selain potongan cukai pendapatan ke atas tip dan bayaran kerja lebih masa bagi ramai rakyat Amerika.
Ini adalah sebahagian daripada rang undang-undang ‘One Big Beautiful Bill’ yang diluluskan Kongres pada 2025.
Sementara itu, sumber yang mengetahui perkara itu mendedahkan pada 11 Mac bahawa para pegawai pentadbiran Encik Trump menganggarkan kos enam hari pertama perang Iran mencecah sekurang-kurangnya AS$11.3 bilion ($14.4 bilion), seperti yang dibentangkan dalam taklimat Kongres minggu ini.
Anggaran ini, yang didedahkan dalam taklimat tertutup kepada senator pada 10 Mac, tidak merangkumi keseluruhan kos konflik, tetapi disediakan untuk ahli Kongres yang mendesak pendedahan lebih banyak maklumat mengenai perang tersebut.
Beberapa pembantu kongres menjangkakan Rumah Putih akan segera memohon dana tambahan daripada Kongres untuk membiayai perang.
Sesetengah pegawai mengunjurkan permohonan itu mungkin mencecah AS$50 bilion, manakala yang lain berpendapat anggaran itu mungkin terlalu rendah.
Pentadbiran belum mengeluarkan penilaian rasmi mengenai kos sebenar konflik atau memberikan gambaran jelas tentang tempoh ia dijangka berlarutan.
Ketika lawatan ke Kentucky pada 11 Mac, Encik Trump mengisytiharkan “kami telah menang” dalam perang, namun Amerika akan terus berjuang sehingga misi mereka selesai.
Kempen ketenteraan terhadap Iran, yang bermula pada 28 Februari dengan serangan udara oleh Amerika dan Israel, telah meragut sekitar 2,000 nyawa setakat ini.
Sebilangan besar korban terdiri daripada rakyat Iran dan Lebanon, ketika konflik merebak ke Lebanon dan mengganggu pasaran tenaga serta pengangkutan global.
Pegawai pentadbiran turut memaklumkan kepada ahli Kongres bahawa senjata bernilai AS$5.6 bilion telah digunakan hanya dalam dua hari pertama serangan.
Ahli Kongres menyuarakan kebimbangan bahawa konflik itu akan menghabiskan simpanan ketenteraan Amerika pada saat industri pertahanan negara itu bergelut untuk memenuhi permintaan. – Reuters.

