Topik diikuti
Pergi ke BHkuKonflik Timur Tengah: Harga petrol lonjak, inflasi Filipina tertinggi dalam 44 bulan
Konflik Timur Tengah: Harga petrol lonjak, inflasi Filipina tertinggi dalam 44 bulan
MANILA: Kenaikan mendadak harga petrol akibat konflik di Timur Tengah menyebabkan kadar inflasi Filipina melonjak kepada 7.8 peratus pada Oktober, paras tertinggi dalam tempoh 44 bulan, ketika negara itu turut berdepan kejatuhan nilai mata wang peso.
Data yang diumumkan pemerintah pada 5 November menunjukkan inflasi meningkat daripada 7.2 peratus pada September, sekali gus mengatasi ramalan penganalisis ekonomi yang menjangkakan kadar 7.6 peratus.
Ketua Perangkawan Filipina, Encik Dennis Mapa, berkata kadar inflasi terbaharu itu merupakan yang tertinggi sejak Februari 2023, apabila inflasi mencecah 8.6 peratus.
Menurutnya, peningkatan mendadak kos pengangkutan menjadi faktor utama yang menyebabkan harga barangan dan perkhidmatan terus meningkat.
“Sebab utama kenaikan inflasi pada Oktober berbanding September ialah peningkatan kos pengangkutan sebanyak 20 peratus,” katanya dalam sidang media.
Filipina amat bergantung pada import minyak bagi memenuhi keperluan tenaga domestik, menyebabkan ekonominya mudah terjejas apabila harga minyak dunia meningkat.
Konflik berterusan di Timur Tengah bukan sahaja menyebabkan harga petrol melambung, malah turut memberi tekanan terhadap nilai peso yang jatuh ke paras terendah dalam sejarah.
Keadaan itu menyebabkan kos perjalanan harian rakyat meningkat, selain menambah perbelanjaan bagi penjanaan elektrik, pengangkutan makanan dan pengedaran barangan ke seluruh negara.
Apabila kos bahan api meningkat, syarikat pengangkutan dan pengeluar barangan turut berdepan perbelanjaan lebih tinggi, yang akhirnya boleh dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga.
Angka terkini itu menjadikan kadar inflasi purata Filipina bagi 2026 sebanyak 5.6 peratus, jauh melebihi sasaran pemerintah antara 2 dengan 4 peratus.
Keadaan tersebut menimbulkan kebimbangan tekanan harga akan berterusan dalam beberapa bulan mendatang, terutama apabila negara itu turut berdepan ancaman cuaca kering akibat fenomena El Nino.
Encik Mapa memberi amaran cuaca kering yang mula menjejas bekalan makanan boleh menyebabkan harga hasil pertanian meningkat.
“Terdapat risiko yang perlu kita hadapi pada masa akan datang,” katanya sambil merujuk kepada ancaman El Nino dan kenaikan harga komoditi tenaga.
Inflasi teras, yang tidak mengambil kira perubahan harga makanan dan tenaga yang sering turun naik, turut meningkat kepada 5.4 peratus pada Oktober.
Angka itu lebih tinggi daripada jangkaan penganalisis sebanyak 4.8 peratus, menunjukkan tekanan kenaikan harga semakin meluas dalam ekonomi.
Bagi mengawal inflasi, bank pusat Filipina menaikkan kadar faedah utamanya sebanyak 0.5 mata peratusan kepada 5.50 peratus, kira-kira dua minggu sebelum pengumuman data terkini itu.
Bank pusat menjelaskan bahawa langkah tegas diperlukan bagi menangani tekanan harga yang semakin meluas serta risiko inflasi terus meningkat.
Bagaimanapun, kenaikan kadar faedah juga boleh meningkatkan kos pinjaman bagi isi rumah dan perniagaan, sekali gus memberi tekanan tambahan terhadap pertumbuhan ekonomi.
Keadaan bertambah mencabar apabila peso merosot kepada 64 peso ($1.29) bagi setiap dolar Amerika Syarikat minggu lalu.
Presiden Ferdinand Marcos Jr menggesa rakyat supaya tidak panik dan menjelaskan bahawa kelemahan mata wang itu berkait rapat dengan kenaikan harga minyak dunia.
Beliau mengakui Manila tidak mempunyai kuasa untuk mengawal harga minyak antarabangsa, tetapi menegaskan rizab pertukaran asing Filipina masih berada pada paras yang kukuh.
Menurutnya, pemerintah mempunyai langkah yang diperlukan untuk mempertahankan kestabilan peso.
Tekanan inflasi turut menjejas pertumbuhan ekonomi Filipina yang hanya berkembang 2.3 peratus dalam tempoh tiga bulan hingga Jun.
Kadar itu merupakan pertumbuhan paling perlahan sejak suku keempat 2009, jika tidak mengambil kira tempoh pandemik Covid-19.
Pertumbuhan yang lemah menunjukkan kesukaran ekonomi Filipina untuk berkembang ketika rakyat dan perniagaan berdepan kenaikan kos sara hidup serta perbelanjaan operasi.
Data pertumbuhan ekonomi bagi suku ketiga dijadual diumumkan pada Isnin, yang akan memberikan gambaran lebih jelas mengenai kesan kenaikan harga minyak, kejatuhan peso dan kadar faedah tinggi terhadap ekonomi negara itu. – Agensi berita.