Topik diikuti
Pergi ke BHkuSANAA: Pemberontak Houthi dan pakatan tentera pimpinan Arab Saudi saling melancarkan serangan udara pada 10 September, ketika konflik di Yaman kembali memuncak di tengah-tengah perang lebih luas di Timur Tengah.
Lebih 50 serangan dilapor menyasarkan beberapa wilayah di Yaman termasuk Taiz dan Hodeida, yang menjadi medan pertempuran sengit antara Houthi dengan pasukan pemerintah Yaman yang disokong Arab Saudi.
Pertempuran terbaru itu menyebabkan ribuan penduduk meninggalkan kediaman mereka.
Menurut Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM), hampir 20,000 orang telah melarikan diri daripada kawasan pertempuran.
“Ia satu malapetaka dan serangan masih berterusan,” kata Encik Mohammed Khudairi, yang berlindung di sebuah kem pelarian berhampiran Khokha di pantai Laut Merah.
“Kami berjaya keluar, tetapi masih ada yang terperangkap di sana,” katanya.
Pertempuran terbaru berlaku sehari selepas Houthi, yang disokong Iran, melancarkan serangan peluru berpandu dan dron terbesar terhadap Arab Saudi dalam beberapa tahun.
Serangan itu menyebabkan kebakaran di beberapa kemudahan minyak dan mencederakan 73 orang.
Pakatan tentera pimpinan Arab Saudi berkata Houthi melancarkan serangan baru ke selatan negara itu pada 10 September, manakala kumpulan berkenaan pula melaporkan puluhan serangan udara dilancarkan dari Arab Saudi ke Yaman.
Saluran televisyen Al-Masirah yang dikendalikan Houthi melaporkan angka korban akibat serangan Saudi ke atas sebuah penjara beberapa hari lalu meningkat kepada 32 orang, manakala tujuh lagi cedera.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan.
Pertempuran di Yaman berlaku ketika perang Timur Tengah yang lebih luas tercetus pada akhir Februari, susulan serangan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran, terus merebak ke beberapa negara di rantau itu.
Konflik tersebut turut menjejaskan negara Teluk dan ekonomi dunia, dengan harga minyak kembali mencecah AS$100 ($129) setong pada 10 September.
Lebih 500 orang dilaporkan terbunuh dalam pertempuran di Yaman sejak Houthi melancarkan serangan besar-besaran minggu lalu untuk menguasai kawasan sekitar Selat Bab al-Mandab.
Selat strategik itu merupakan pintu masuk utama ke laluan perkapalan Laut Merah.
Menurut penganalisis, Houthi yang turut menyerang kapal tangki minyak Saudi, dipercayai cuba meningkatkan tekanan terhadap laluan penghantaran minyak melalui Laut Merah.
Laluan itu menjadi semakin penting kepada eksport tenaga selepas Iran menyekat Selat Hormuz.
Jurucakap pakatan pimpinan Arab Saudi, Encik Turki al-Maliki, berkata Houthi “melancarkan beberapa peluru berpandu balistik dan dron ke arah bandar Khamis Mushait, Abha dan Jizan”.
Beliau tidak memberikan maklumat mengenai kemungkinan korban akibat serangan tersebut.
Jurucakap tentera Houthi, Encik Yahya Saree, pula berkata tentera udara Saudi melancarkan 54 serangan dalam tempoh 12 jam ke atas wilayah Al-Jawf, Marib, Taiz, Hodeida dan Saada.
Rakaman yang dikeluarkan Houthi menunjukkan apa yang didakwa sebagai serangan terhadap pasukan yang disokong Arab Saudi di barisan hadapan wilayah Al-Jawf.
Menurut analisis Institut Kajian Perang, bandar pelabuhan Hodeida yang dikuasai Houthi mungkin menjadi “matlamat utama” pasukan yang disokong Arab Saudi.
Pelabuhan Laut Merah itu penting kepada Houthi kerana menjadi laluan bagi bekalan awam dan ketenteraan.
“Kehilangan Hodeida akan menjadi tamparan besar kepada Houthi,” menurut laporan institut itu.
Pihak berkuasa Arab Saudi pada 9 September berikrar akan bertindak balas terhadap serangan Houthi yang menyebabkan kebakaran dan penutupan sementara beberapa kemudahan minyak.
Ketegangan di Yaman mula meningkat semula pada Julai apabila Houthi membenarkan sebuah pesawat Iran mendarat di negara itu meskipun Arab Saudi mengawal ruang udara Yaman.
Pemerintah Yaman kemudian bertindak balas dengan menyerang lapangan terbang berkenaan, yang menurut Houthi dilakukan dengan sokongan Arab Saudi.
Pertempuran terbaru menimbulkan kebimbangan Yaman boleh kembali terjerumus ke dalam perang besar selepas beberapa tahun konflik itu berkurangan. – Agensi berita
Perang sebelum ini mengorbankan ratusan ribu orang dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan paling buruk di dunia.
Houthi menguasai Sanaa dan menggulingkan pemerintah Yaman yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sebelum berperang dengan pakatan pimpinan Arab Saudi mulai 2015.
Pertempuran besar berkurangan selepas gencatan senjata yang ditaja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkuat kuasa pada 2022. - Agensi berita
