KAHIRAH: Ketua Agensi Bantuan dan Kerja Menyelamat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi pelarian Palestin (UNRWA) berkata pada 24 Mac bahawa Israel telah memaklumkan PBB bahawa ia tidak akan lagi meluluskan konvoi makanan UNRWA ke utara Gaza.
Tindakan itu dibuat di tengah-tengah usaha Pasukan Pertahanan Israel untuk mencari alternatif kepada agensi PBB, selepas dakwaan sedozen kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober dengan 1,500 yang lain didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas.
Israel telah mula bekerjasama dengan kumpulan lain di Gaza seperti Program Makanan Sedunia PBB untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin, dan bukannya UNRWA.
“Ini adalah keterlaluan dan disengajakan untuk menghalang bantuan menyelamatkan nyawa semasa kebuluran buatan manusia. Sekatan ini mesti ditarik balik,” kata ketua UNRWA, Encik Philippe Lazzarini, di platform media sosial X.
UNRWA, yang menyediakan bantuan dan perkhidmatan kepada pelarian Palestin di Gaza, telah mengalami krisis sejak pekerjanya dikaitkan dengan pembunuhan beramai-ramai. Penderma terbesar UNRWA, Amerika Syarikat serta beberapa negara lain menghentikan pembiayaan, meletakkan masa depan agensi itu dalam keraguan. Beberapa negara termasuk Canada, Australia dan Sweden bagaimanapun telah memulihkan dana.
Agensi itu menekankan bahawa ia memainkan peranan penting dalam memberikan bantuan untuk penduduk Gaza, terutamanya semasa perang dengan Hamas.
UNRWA dan Mesir berkata minggu lalu bahawa Encik Lazzarini, yang sedang dalam lawatan ke Kahirah, dinafikan daripada memasuki Gaza oleh pihak berkuasa Israel.
Cogat, badan kementerian pertahanan Israel yang mengawal hal ehwal awam di wilayah Palestin, berkata pada X bahawa Encik Lazzarini tidak mengikuti “proses dan saluran penyelarasan yang diperlukan” apabila meminta kemasukan ke Gaza. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg