Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Koperasi doktor umum, pekerja sosial ganding bahu tawar khidmat lebih lancar

Kesinambungan libat Koperasi GP+ yang bekerjasama dengan agensi khidmat sosial, Allkin Singapore bagi jagaan lanjut luar klinik
Dec 19, 2025 | 12:58 PM
Projek perintis, kesihatan, doktor swasta, rangkaian Koperasi GP+, Allkin Singapore
Satu projek perintis selama tiga bulan akan menyaksikan doktor umum (GP) yang merupakan sebahagian daripada rangkaian Koperasi GP+, menghubungkan pesakit mereka dengan rangkaian perkhidmatan Allkin Singapore, manakala pekerja sosial Allkin boleh merujuk pesakit kepada penjagaan perubatan yang sesuai dalam rangkaian GP+. - Foto ALLKIN SINGAPORE

Penduduk di Sengkang dan Punggol yang menemui doktor umum (GP) tidak lama lagi boleh menerima penjagaan susulan daripada pekerja sosial.

Perkongsian baru antara sekumpulan GP dengan agensi perkhidmatan sosial (SSA) akan melanjutkan penjagaan di luar klinik kepada masyarakat agar pesakit dengan keperluan perubatan dan sosial lebih kompleks, mendapat sokongan lebih baik, lapor The Straits Times (ST).

Usaha perintis selama tiga bulan itu – dari Januari hingga Mac 2026 – akan menyaksikan GP yang merupakan sebahagian rangkaian Koperasi GP+, bekerjasama dengan pekerja sosial daripada Allkin Singapore – agensi khidmat sosial – melalui rujukan dan pengurusan kes bersama.

Kedua-dua pihak telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) bagi melancarkan inisiatif tersebut pada 11 Disember.

Dengan inisiatif itu, doktor GP+ kini akan menghubungkan pesakit mereka dengan rangkaian perkhidmatan Allkin, manakala pekerja sosial Allkin boleh merujuk pesakit kepada penjagaan perubatan yang sesuai dalam rangkaian GP+.

Matlamat utama kerjasama itu adalah bagi pesakit meraih manfaat daripada campur tangan lebih awal dan penjagaan lebih lancar, supaya masalah perubatan dapat dikesan dan dirawat sebelum ia menjadi bertambah buruk.

GP+ ialah persatuan koperasi di bawah Persekutuan Koperasi Kebangsaan Singapura (SNCF).

Ia mempunyai lebih 120 karyawan perubatan dalam rangkaiannya, termasuk doktor keluarga dan pakar.

Koperasi ialah perusahaan berasaskan keahlian yang beroperasi berdasarkan prinsip bantu diri dan bantuan bersama, di mana orang ramai secara sukarela bersatu untuk merealisasikan keperluan ekonomi dan masyarakat bersama.

Kerjasama antara GP+ dengan Allkin hasil kesedaran lebih besar di Singapura bahawa pesakit harus dihubungkan dengan sumber yang sesuai dalam masyarakat untuk membantu dalam pemulihan mereka.

Kajian pada 2022 yang disokong Majlis Penyelidikan Perubatan Kebangsaan Kementerian Kesihatan (MOH) mendapati, walaupun perkhidmatan penjagaan asas diterapkan dalam masyarakat, namun, ia sering terhad di bilik konsultasi dan penyedia penjagaan kesihatan tidak dapat menjalankan rawatan susulan di rumah.

Ketua Pegawai Eksekutif Allkin, Encik Fareez Fahmy, berkata ramai pelanggan badan itu menghadapi cabaran kesihatan, sosial dan kesihatan mental yang bertindan, dan perkongsian itu memperkukuh iltizam SSA terhadap kesejahteraan menyeluruh dengan menyediakan penjagaan perubatan yang tepat pada masanya, seiring sokongan amali dan sosioemosi.

Penjagaan susulan di bawah usaha perintis ini akan diputuskan berdasarkan penilaian yang dilakukan pekerja sosial Allkin.

Ia mungkin termasuk sokongan bagi penjaga, di samping sokongan emosi dan psikologi.

Kerjasama itu dijalin selepas SSA melancarkan pusat khidmat bersepadu terkini di Sengkang pada Oktober, yang menyatukan perkhidmatan kesihatan mental, belia dan warga emas di bawah satu bumbung.

Pengerusi GP+, Dr S.A. Aziz Noordin, berkata doktor penjagaan asas sering melihat bagaimana kesukaran sosial dan praktikal membentuk kesihatan pesakit.

Namun, laluan untuk menghubungkan pesakit dengan sokongan yang betul adalah berbeza dari klinik ke klinik.

“Melalui kerjasama dengan Allkin ini, GP+ sedang berusaha membangunkan kaedah lebih jelas dan lebih boleh dipercayai bagi klinik-klinik anggota kami untuk membimbing pesakit pada khidmat masyarakat apabila diperlukan,” katanya.

Inisiatif itu turut mencerminkan iltizam koperasi untuk membantu anggotanya agar saling menyokong dan menyumbang kepada perjalanan penjagaan lebih berterusan untuk pesakit mereka.

Di samping itu, ia turut sejajar dengan usaha kebangsaan untuk memperkukuh penyelarasan antara jagaan kesihatan dengan rakan kongsi sosial, tambah Dr Aziz.

Walaupun anggota GP mungkin tidak mempunyai semua sumber atau kemahiran untuk memenuhi keperluan pesakit yang pelbagai, mereka boleh memanfaatkan kepakaran dan pengalaman berbeza daripada kumpulan karyawan penjagaan kesihatan koperasi itu, ujar beliau.

Koperasi itu juga sedang meneliti trend baru muncul seperti peranan kecerdasan buatan (AI) dalam penjagaan kesihatan, dan bekerjasama dengan pelbagai rakan kongsi untuk mendapatkan kadar bayaran lebih baik bagi ujian perubatan atau pemeriksaan kesihatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg