Perkhidmatan psikiatri akut akan diperluas di semua kelompok penjagaan kesihatan bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.
Langkah itu diambil bagi mempermudahkan pesakit mendapat akses kepada bantuan pada waktu ia sangat memerlukan.
Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, mengumumkan perkara itu dalam ucapan semasa Persidangan Kesihatan Mental Singapura di Singapore Expo pada 16 Julai.
Menurutnya, perkhidmatan kesihatan mental di hospital akut kekal sebagai titik penting bagi individu yang memerlukan penjagaan pakar mental akut dan bagi mereka yang menghadapi krisis kesihatan mental.
Perkhidmatan psikiatri akut merangkumi perkhidmatan untuk pesakit yang dimasukkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan juga pesakit luar.
Rawatan psikiatri bagi pesakit yang dimasukkan ke hospital, tersedia di enam daripada 11 hospital awam di Singapura – iaitu Institut Kesihatan Mental (IMH), Hospital Tan Tock Seng (TTSH), Hospital Universiti Nasional (NUH), Hospital Besar Changi (CGH), Hospital Besar Singapura (SGH) dan Hospital Besar Sengkang (SKH).
Perkhidmatan kesihatan mental pakar pesakit luar pula tersedia di IMH dan semua hospital akut, lapor The Straits Times (ST).
Satu panduan amalan bagi model penjagaan berperingkat kesihatan mental Singapura turut dilancarkan di persidangan tersebut.
Panduan yang boleh didapati di laman web Kementerian Kesihatan (MOH) itu bertujuan menyelaraskan kaedah penilaian dan prosedur rujukan dalam kalangan penyedia perkhidmatan, berdasarkan tahap gejala yang dialami klien, serta jenis penjagaan yang diperlukan.
Sebagai contoh, Pasukan Jangkauan Masyarakat (Crest) yang menyediakan perkhidmatan Peringkat 2 di bawah strategi nasional, boleh merujuk individu yang mempunyai keperluan kesihatan mental sederhana kepada Pasukan Campur Tangan Masyarakat (Comit), iaitu penyedia perkhidmatan Peringkat 3, sekiranya alat penilaian menunjukkan klien tersebut memerlukan diagnosis lanjut dan/atau campur tangan psikososial, jelas Dr Koh.
Panduan itu dibangunkan bersama MOH, Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), berserta input daripada pelbagai pihak berkepentingan.
Dengan adanya panduan amalan itu, penjagaan oleh penyedia khidmat kesihatan akan menjadi lebih tekal dan dapat membantu klien melalui rangkaian kesihatan mental dengan lebih berkesan.
Pada peringkat permulaan, panduan amalan itu memberi tumpuan kepada pengurusan kemurungan, keresahan dan risiko bunuh diri.
Namun, pada masa akan datang, ia mungkin diperluas untuk merangkumi masalah kesihatan mental lain yang tidak begitu biasa dihadapi, jelas Dr Koh.
Di samping itu, MOH akan melancarkan pocket guide, iaitu buku panduan ringkas untuk memudahkan orang ramai mengenal pasti jenis sokongan dan perkhidmatan kesihatan mental yang tersedia.
Butiran lanjut akan diumumkan pada masa akan datang, kata Dr Koh.
Edisi kelapan Persidangan Kesihatan Mental Singapura berlangsung dari 16 hingga 17 Julai, dengan tumpuan utama pada kesihatan mental digital dan kecerdasan buatan (AI).
Persidangan itu dianjurkan bersama oleh IMH, AIC, Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS) dan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg