Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Korban gempa Maghribi cecah 2,800, mangsa terselamat berkhemah di luar

Sep 12, 2023 | 06:02 PM



MARRAKESH: Penduduk Maghribi yang terkesan dalam gempa bumi terbesar di negara itu dalam lebih seabad terpaksa berkhemah di tempat selamat sedang jumlah kematian meningkat kepada lebih 2,800 orang.


Pasukan mencari dan menyelamat dari Sepanyol, Britain, Tunisia dan Qatar berganding bahu dengan pasukan tempatan bagi mengesan mangsa terselamat daripada gempa berukuran 6.8 magnitud yang melanda Pergunungan Atlas pada Jumaat lalu.

Gempa tersebut menyebabkan rumah-rumah tradisional penduduk yang diperbuat daripada bata tanah liat menyembah bumi bersama para penghuni yang tidak sempat melarikan diri.

Pemerintah melaporkan lewat Isnin bahawa angka kematian meningkat kepada 2,862, dengan 2,562 orang cedera.

Memandangkan kebanyakan zon gempa berada di kawasan sukar dituju, pihak berkuasa tidak mengeluarkan sebarang anggaran jumlah orang yang hilang.

Di kampung Tinmel, hampir setiap rumah hancur dan penghuninya kehilangan tempat berteduh. Bau busuk yang menyengat dapat dihidu daripada bangkai haiwan yang mati tertimbus di bawah runtuhan.

Seorang penduduk, Encik Mouhamad Elhasan, 59 tahun, berkata beliau sedang makan malam bersama keluarganya apabila gempa itu melanda.

Anak lelakinya yang berusia 31 tahun melarikan diri ke luar tetapi dihempap bumbung jirannya yang runtuh, menyebabkan beliau terperangkap di bawah runtuhan.

Encik Elhasan berkata beliau mencari anaknya sambil meraung meminta tolong. Tangisannya terhenti apabila beliau mendapati anaknya tidak lagi bernyawa.

Beliau dan isteri serta anak perempuan mereka kekal di dalam rumah dan terselamat.

“Jika beliau tinggal di dalam rumah beliau akan terselamat,” ujarnya penuh hiba.

Penduduk kampung menyatakan mereka telah menarik orang keluar dari puing bangunan dengan tangan tanpa sebarang peralatan.

Seorang penduduk di Tikekhte, Encik Mohamed Ouchen, 66 tahun, menceritakan penduduk menyelamatkan 25 orang, termasuk kakaknya.

“Kami sibuk menyelamatkan orang dan kerana tiada peralatan, kami hanya menggunakan tangan. Apabila ternampak kepala mangsa, kami terus menggali dengan tangan bagi menyelamatkan mereka,” tambahnya.

Rakaman dari kampung terpencil Imi N’Tala, yang dibuat oleh pegawai penyelamat Sepanyol Antonio Nogales daripada kumpulan bantuan Bomberos Unidos Sin Fronteras, menunjukkan lelaki dan anjing memanjat di atas cerun curam yang dilitupi runtuhan.

“Tiada satu rumah pun berdiri tegak,” kata Encik Nogales sambil menyatakan anggota penyelamat menggunakan anjing pengesan untuk mencari seramai mungkin mangsa yang tertimbus bersama runtuhan bangunan.

Pusat gempa kira-kira 72 kilometer ke barat daya Marrakesh – tempat berdirinya beberapa bangunan bersejarah di bawah program Tapak Warisan Dunia, Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) – didapati rosak.

Kerosakan lebih besar berlaku pada Masjid Tinmel, yang dibina dalam abad ke-12.

Sebahagian besar daerah lebih moden di Marrakesh terselamat tanpa sebarang kerosakan, termasuk kawasan berhampiran lapangan terbang yang bakal menjadi tempat berlangsungnya mesyuarat Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia bulan depan.

Lebih 10,000 orang dijangka menghadiri mesyuarat yang tetap diteruskan pihak berkuasa Maghribi itu. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >