CARACAS: Angka korban akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela meningkat kepada 3,535 orang, manakala hampir 18,000 penduduk masih kehilangan tempat tinggal lebih seminggu selepas bencana itu memusnahkan ibu kota Caracas dan kawasan pesisir berhampiran.

Pegawai kanan perundangan Venezuela, Encik Jorge Rodriguez, berkata angka rasmi terbaru menunjukkan 16,740 orang cedera dan 17,854 lagi hilang tempat tinggal akibat gempa pada 24 Jun lalu.

Dua gempa itu, yang masing-masing bermagnitud 7.2 dan 7.5 dan berlaku hanya dalam jarak beberapa saat, menyebabkan kerosakan besar di Caracas serta La Guaira, kawasan pesisir yang paling teruk terjejas.

Bencana itu kini mencetuskan tekanan politik baharu terhadap pemerintah Venezuela, dengan ramai penduduk menyifatkan tindak balas pihak berkuasa sebagai lambat dan tidak mencukupi.

Menurut Pejabat Naib Presiden Sosial Venezuela, sekurang-kurangnya 12,800 penduduk kini ditempatkan di 80 pusat perlindungan sementara di Caracas dan La Guaira.

Pakar kesihatan memberi amaran bahawa keadaan di pusat perlindungan itu boleh mencetuskan krisis kesihatan awam jika tidak ditangani segera.

Penasihat Pusat Operasi Kecemasan Pertubuhan Kesihatan Pan Amerika (PAHO) di Washington, Dr Mauricio Cerpa Calderon, berkata risiko kesihatan meningkat apabila mangsa bencana terpaksa tinggal dalam keadaan sesak.

“Satu perkara yang sering berlaku selepas gempa bumi ialah pembukaan pusat perlindungan sementara atau khemah penempatan.

“Risiko kesihatan ini berkait dengan kesesakan, pengudaraan terhad, gangguan akses kepada air minuman bersih, masalah sanitasi serta pengurusan makanan dan sisa yang tidak mencukupi,” katanya.

Menurut Dr Cerpa, keutamaan segera termasuk menangani jangkitan pernafasan, cirit-birit, penyakit kulit, luka, denggi serta penyakit yang boleh dicegah melalui vaksin seperti tetanus, campak, rubela, difteria, batuk kokol dan polio.

Pemangku Presiden Venezuela, Cik Delcy Rodriguez, mempertahankan tindakan pemerintah dan berkata pasukan keselamatan telah dikerahkan sejurus selepas gempa berlaku.

Beliau turut mengumumkan penubuhan unit tentera baharu bagi membantu negara itu menghadapi kecemasan dan bencana pada masa depan.

Pemerintah bagaimanapun terus dikritik oleh penduduk dan pertubuhan kemanusiaan antarabangsa, termasuk Jawatankuasa Penyelamat Antarabangsa yang menyifatkan bantuan kepada mangsa masih tidak memadai.

Di La Guaira pada 6 Julai, saksi melihat lori dan petugas forensik membawa keranda, sementara jentera berat menggali parit di kawasan terbuka yang ditandai salib putih untuk pengebumian mayat.

Gambar yang disiarkan akhbar Sepanyol, El Pais, menunjukkan sebahagian kubur ditandai nama, manakala yang lain hanya menggunakan nombor.

Dr Cerpa berkata PAHO dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah membantu pihak berkuasa menguruskan mayat dengan menyediakan panduan teknikal, beg mayat, tiga kontena sejuk di pelabuhan La Guaira serta dua pusat pembakaran mayat di lokasi lain.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata operasi bantuan terus dipertingkat dengan kerjasama pemerintah di Caracas.

“Beberapa pasukan mencari dan menyelamat masih berada di kawasan terjejas, manakala pasukan kejuruteraan khusus dan sokongan perubatan terus tiba,” kata jurucakap PBB, Encik Stephane Dujarric.

Pihak berkuasa kesihatan Venezuela juga sedang menilai pelaksanaan kempen vaksinasi bersasar di pusat perlindungan berdasarkan tahap risiko, bekalan vaksin dan garis panduan nasional.

Di daerah pesisir Caraballeda, kemusnahan amat ketara apabila bangunan pangsapuri OPP 26 runtuh dan meninggalkan lapisan konkrit bertindan.

Bagi penduduk seperti Encik Alvarado, usaha mencari ahli keluarga masih diteruskan walaupun harapan semakin tipis selepas 12 hari bencana berlaku.

“Mereka bertiga bersama, saling berpelukan,” katanya, mengimbas saat terakhir melihat keluarganya sebelum bangunan itu runtuh.

Beliau terselamat selepas berjaya keluar sendiri dari runtuhan kerana berada di bilik berasingan ketika gempa berlaku.

Dengan ribuan masih hilang dan pusat perlindungan semakin sesak, Venezuela kini berdepan cabaran besar bukan sahaja untuk menyelamatkan mangsa, tetapi juga mencegah krisis kesihatan dan kemanusiaan lebih buruk. - Agensi berita