Topik diikuti
Pergi ke BHkuOperasi cari mangsa dihenti, Venezuela mula urus pengebumian besar-besaran
Operasi cari mangsa dihenti, Venezuela mula urus pengebumian besar-besaran
Korban gempa kembar Venezuela naik kepada lebih 3,300 orang
Operasi cari mangsa dihenti, Venezuela mula urus pengebumian besar-besaran
CARACAS: Angka korban akibat dua gempa bumi kuat yang melanda Venezuela meningkat kepada sekurang-kurangnya 3,342 orang, manakala 16,700 lagi cedera.
Ini ketika pihak berkuasa mula mengebumikan puluhan mayat yang masih belum dikenal pasti, 11 hari selepas bencana itu.
Gempa kembar pada 24 Jun lalu, antara bencana gempa paling buruk di Amerika Latin, meruntuhkan banyak bangunan di kawasan pesisir La Guaira, di utara Caracas, dan menyebabkan ribuan orang masih hilang.
Ketika pasukan penyelamat antarabangsa mula menamatkan operasi mencari mangsa yang masih hidup, tumpuan kini beralih kepada usaha mengebumikan mayat yang ditemukan dalam runtuhan serta memberi sokongan kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang.
Di satu kawasan terpencil di tanah perkuburan La Esperanza, La Guaira, wartawan AFP menyaksikan penggali kubur mengebumikan lebih 150 mayat yang masih belum dikenal pasti sejak gempa itu berlaku.
Deretan salib putih ringkas dengan jambangan bunga kecil di hadapan pusara membentuk barisan kubur yang panjang. Setiap kubur tertera tarikh kematian yang sama, iaitu 24 Jun 2026.
Dua jentera pengorek turut digunakan untuk menggali lebih banyak liang lahad di tanah berwarna coklat muda itu.
“Kami pertama sekali dilanda kesedihan yang amat mendalam,” kata penduduk setempat, Encik Eli Zavala, yang membantu urusan pengebumian.
“Kami mula berada di sini pada 25 Julai, sehari selepas kejadian, untuk melakukan semua kerja ini supaya semua mangsa dapat dikebumikan dengan penuh penghormatan,” katanya.
Menurut angka rasmi terkini, hampir 200 bangunan runtuh sepenuhnya, kebanyakannya di La Guaira.
Lebih 17,000 penduduk kini kehilangan tempat tinggal dan terpaksa tidur di pusat perlindungan serta khemah sementara.
Pemerintah Venezuela belum mengeluarkan angka rasmi jumlah mangsa yang masih hilang.
Namun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menganggarkan sehingga 50,000 orang mungkin masih belum dapat dikesan selepas dua gegaran kuat itu.
Ramai keluarga masih menggali dan menunggu di kawasan runtuhan, berharap dapat menemukan ahli keluarga mereka sama ada dalam keadaan hidup atau sekurang-kurangnya untuk dibawa pulang.
“Saya sudah tidak tahu hari apa sekarang. Fikiran saya hampir hilang, tetapi saya tidak akan meninggalkan tempat ini kerana saya tahu dia ada di sana,” kata seorang wanita dikenali sebagai Cik Zuly, yang mencari anak lelakinya di daerah Catia la Mar.
Beliau kini tidur di sebuah plaza berhampiran tempat anaknya bekerja.
“Saya jumpa motosikalnya, saya jumpa topi keledarnya. Dia ada di sana, mudah-mudahan masih hidup.
“Jika tidak, sekurang-kurangnya saya mahu menemukannya, melihatnya. Saya tidak akan pergi dari sini tanpa anak saya,” katanya.
Sebelum gempa itu berlaku, Venezuela sudah pun bergelut dengan krisis ekonomi dan pergolakan politik yang melemahkan prasarana serta perkhidmatan kesihatan negara itu.
PBB menganggarkan kerosakan akibat gempa tersebut mencecah AS$6.7 bilion ($8.6 bilion), bersamaan kira-kira enam peratus Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) Venezuela.
Lapangan terbang antarabangsa yang menjadi pintu masuk utama ke Caracas juga masih ditutup kepada penerbangan komersial akibat kerosakan.
Tidak lama selepas gempa, ramai penduduk Venezuela mengadu mereka terpaksa menggali sendiri runtuhan bagi mencari ahli keluarga sebelum pasukan antarabangsa tiba.
Ada juga yang mengkritik tindak balas pemerintah yang dianggap lambat dan tidak mencukupi.
Namun, Presiden sementara, Cik Delcy Rodriguez, mempertahankan tindakan pemerintah dan berkata ribuan pegawai awam dan anggota penyelamat telah dikerahkan ke kawasan terjejas.
Beliau turut menolak kebimbangan bahawa bencana itu boleh mencetuskan kekacauan sosial.
“Tidak akan ada pergolakan sosial di sini. Apa yang kita lihat di sini ialah solidariti sosial yang mendalam,” kata Cik Rodriguez ketika majlis ketenteraan sempena Hari Kemerdekaan Venezuela pada 5 Julai.
Di Caracas dan La Guaira, ramai penduduk menumpukan perhatian kepada upacara keagamaan Ahad bagi memperingati mereka yang terkorban dan masih hilang.
Di kampus Universiti Pusat Venezuela di Caracas, puluhan orang berkumpul mengelilingi bendera besar Venezuela yang dikelilingi lilin dalam satu majlis memperingati mangsa.
Paderi Rafael Troconis di La Guaira berkata beliau bertemu ramai keluarga yang kehilangan lebih daripada seorang anak.
“Saya bertemu pasangan yang kehilangan kedua-dua anak mereka, atau dua daripada tiga anak mereka. Ia sangat menyakitkan,” katanya.
“Kita cuba memberi sokongan setakat yang mampu. Kita mahu dekat dengan mereka yang sedang menderita. Apa yang jelas kelihatan ialah kesedihan dan keputusasaan yang amat besar,” katanya. – Agensi berita.
