RAWALPINDI: Hujan lebat telah menyebabkan 54 kematian dalam tempoh 24 jam terakhir di Pakistan, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak ketibaan musim monsun pada akhir Jun meningkat kepada kira-kira 180 orang, menurut agensi bencana negara pada 17 Julai.
Hujan turun tanpa henti di beberapa bahagian wilayah Punjab sejak pagi 16Julai, menyebabkan banjir kilat di kawasan bandar.
Penduduk yang tinggal berhampiran sungai yang mengalir melalui bandar Rawalpindi, bersebelahan ibu kota Islamabad, telah diarahkan berpindah selepas paras air meningkat secara mendadak.
“Dalam tempoh 24 jam terakhir, seramai 54 orang maut dan 227 cedera di seluruh Pakistan, dengan kebanyakan kematian dilaporkan di Punjab,” kata jurucakap Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Kebangsaan kepada AFP, sambil menambah bahawa angka tersebut dikira pada jam 8:00 pagi (0300 GMT) Khamis, 17 Julai.
Beliau berkata sekitar 180 orang telah terkorban, termasuk 70 kanak-kanak, dan kira-kira 500 lagi cedera sejak permulaan musim monsun pada 26 Jun.
Pemerintah Rawalpindi mengisytiharkan cuti umum pada hari Khamis, 17 Julai bagi memastikan orang ramai kekal di rumah, manakala jabatan meteorologi negara memberi amaran bahawa hujan lebat dijangka berterusan sehingga 18 Julai.
“Penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya menyediakan kit kecemasan yang mengandungi makanan, air dan ubat-ubatan penting untuk tempoh tiga hingga lima hari sekiranya berlaku kecemasan,” kata pihak pemerintah.
Pada tahun 2022, banjir monsun telah menenggelamkan satu pertiga daripada negara itu dan meragut 1,700 nyawa. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg