BANGKOK: Jumlah korban kebakaran sebuah pub di Bangkok pada 13 Julai lalu meningkat kepada 35 orang, menurut perkhidmatan kecemasan bandar itu pada 22 Julai.

Pusat Perubatan Kecemasan Erawan memaklumkan, seramai 21 mangsa masih dirawat di hospital, termasuk 12 yang berada dalam keadaan kritikal.

Sebanyak 48 lagi mangsa yang cedera dalam kebakaran itu telah dibenarkan pulang selepas menerima rawatan.

Kebakaran besar berlaku di pub Rong Beer Na Lat Phrao sejurus sebelum tengah malam pada 13 Julai.

Api merebak dengan pantas dan memenuhi premis hiburan yang sesak itu dengan asap tebal dalam masa beberapa minit.

Polis Thailand kini menyiasat kemungkinan berlaku kecuaian selepas pemeriksaan mendapati beberapa pintu keluar kecemasan di premis itu terhalang.

Keadaan tersebut dipercayai menyukarkan pengunjung melarikan diri ketika kebakaran berlaku.

Pihak polis belum memberikan perkembangan terbaharu mengenai siasatan itu.

Pada 20 Julai, polis memaklumkan bahawa belum ada pertuduhan dikenakan kerana pemilik premis berkenaan masih dirawat di hospital.

Susulan tragedi itu, pemerintah Thailand berjanji akan mengetatkan peraturan keselamatan di pusat hiburan, termasuk menjalankan pemeriksaan mengejut bagi memastikan semua premis mematuhi syarat keselamatan kebakaran.

Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata lebih 800 premis hiburan telah diperiksa dalam tempoh tiga hari lalu.

Daripada jumlah itu, sebanyak 56 premis diarahkan menghentikan operasi selepas didapati mempunyai masalah keselamatan.

Pemeriksaan itu memberi tumpuan kepada laluan keluar kecemasan, sistem pencegahan kebakaran, kapasiti pengunjung serta pematuhan terhadap lesen operasi.

Tragedi berkenaan mencetuskan kebimbangan terhadap tahap keselamatan pusat hiburan di Thailand, khususnya premis yang sesak dan beroperasi hingga lewat malam.

Pihak berkuasa kini berdepan tekanan supaya memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan mereka yang didapati bertanggungjawab dikenakan tindakan. - Agensi berita