BANGKOK: Angka korban kebakaran di sebuah restoran dan bar popular di Bangkok meningkat kepada 30 orang selepas tiga mangsa yang cedera parah meninggal dunia di hospital, menjadikannya antara tragedi kebakaran paling buruk di ibu negara Thailand dalam tempoh 17 tahun.

Di Hospital Polis Bangkok, suasana pilu menyelubungi keluarga mangsa apabila mereka mula menuntut jenazah orang tersayang, manakala sebahagian lagi masih menaruh harapan ahli keluarga yang dilaporkan hilang ditemui dalam keadaan selamat.

Pejabat Daerah Chatuchak dalam kenyataan pada 14 Julai berkata tiga mangsa yang sebelum ini dikategorikan sebagai cedera kritikal meninggal dunia, sekali gus meningkatkan jumlah kematian daripada 27 kepada 30 orang.

Setakat ini, identiti 27 mangsa telah disahkan, manakala pakar forensik masih berusaha mengenal pasti tiga lagi korban di sebuah premis komersial di kawasan Lat Phrao di Bangkok itu.

Pihak berkuasa turut melaporkan seramai 75 orang cedera dalam kejadian tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 24 mangsa mengalami kecederaan parah, 15 cedera sederhana dan 36 lagi mengalami kecederaan ringan.

Semua mangsa yang mengalami kecederaan ringan sudah dibenarkan pulang dari hospital.

Siasatan awal pihak berkuasa bencana mendapati kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas pada alat pendingin hawa yang dipasang di bahagian siling bangunan.

Ketua Polis Negara Thailand, Encik Kittiratt Phanphet, berkata kecuaian kini menjadi teori utama dalam siasatan.

“Pada peringkat ini, polis menetapkan kecuaian sebagai asas utama siasatan,” katanya kepada wartawan.

Polis turut menyiasat sama ada laluan keluar kecemasan di premis itu mudah digunakan dan tidak dihalang ketika kebakaran berlaku.

Kebanyakan mangsa ditemui terperangkap di tandas tanpa tingkap berhampiran sebuah pintu keluar di bahagian belakang bangunan.

Menurut polis, pintu keluar itu tidak digunakan ketika kebakaran.

Laluan berkenaan mungkin terhalang oleh sebuah meja jualan gula-gula atau terlalu gelap sehingga pengunjung gagal mencari jalan keluar.

Satu lagi pintu berhampiran dapur pula dipercayai menjadi sempit akibat rak dan almari yang diletakkan di kawasan laluan.

Dalam kenyataan yang dimuat naik di media sosial pada malam 13 Julai, pihak pengurusan Rong Beer Na Lat Phrao memohon “maaf yang sebanyak-banyaknya” atas tragedi kebakaran itu serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga semua mangsa yang terkorban.

Premis hiburan yang terletak di utara Bangkok itu turut berjanji akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam siasatan serta menyokong proses mengenal pasti punca kejadian secara telus, ketika penyiasat meneliti sama ada semua laluan keluar kecemasan boleh digunakan ketika kebakaran berlaku.

Dalam rakaman lawatan Perdana Menteri Thailand, Encik Anutin Charnvirakul, ke lokasi kejadian, seorang pegawai memaklumkan bahawa sebuah pintu yang pernah digunakan sebagai laluan keluar dikunci dengan selak.

Pemilik premis dipercayai bimbang pelanggan keluar tanpa membayar bil.

Pintu berkenaan mempunyai tanda “kakitangan sahaja” dan boleh dibuka ke luar, tetapi pelanggan tidak mengetahui bahawa ia boleh digunakan sebagai laluan keluar.

“Sekiranya mereka berlari ke arah ini, mereka mungkin terselamat,” kata Encik Anutin selepas mendengar penerangan pegawai.

Penyiasat juga sedang memeriksa bahagian siling di atas pentas persembahan bagi menentukan sama ada bahan mudah terbakar digunakan dalam hiasan serta sama ada pemasangan wayar elektrik dibuat mengikut piawaian keselamatan.

Rakaman video di media sosial menunjukkan orang ramai bertempiaran keluar ketika api menyambar dari pintu hadapan bangunan setingkat itu, manakala asap hitam tebal memenuhi ruang udara.

Sebahagian mangsa yang berjaya melarikan diri terpaksa meredah api dan mengalami kecederaan melecur yang serius.

Dua anggota kumpulan muzik Tosakan yang membuat persembahan pada malam kejadian turut terbunuh, iaitu pemain papan kekunci yang dikenali sebagai Kwang dan penyanyi Breeze.

Ketua kumpulan dan penyanyi, Athipat “Ice” Wijarn, berkata beberapa anggota kumpulannya sedang berada di atas pentas apabila mereka mula melihat asap sebelum lampu tiba-tiba padam.

Tidak lama kemudian, api marak dengan pantas dan menyambar ke arah pintu masuk.

“Bayangan tubuh teman wanita saya dibawa keluar, rakan saya yang terbakar dan segala yang berlaku masih terpahat dalam ingatan,” katanya.

Athipat mengalami kecederaan di kepala, manakala pemain dram kumpulan itu dilaporkan berada dalam keadaan kritikal.

Beliau turut mendakwa terdapat tanda bahawa sebahagian pintu keluar mungkin dikunci ketika kejadian.

Antara mangsa yang kehilangan ahli keluarga ialah Cik Kaewudon Pongpanee, 24 tahun, pekerja restoran yang terselamat kerana sedang menggunakan tandas di luar bangunan ketika kebakaran bermula.

Beliau cuba kembali ke dalam untuk mencari adiknya, Cik Pongpaset Pongpanee, yang turut bekerja di premis berkenaan.

“Saya menjerit memanggil adik saya, tetapi bahangnya terlalu kuat. Saya tidak dapat masuk semula,” katanya.

Kedua-duanya merupakan pekerja migran dari Laos.

Cik Kaewudon kemudian pergi ke rumah mayat Hospital Polis untuk mengenal pasti jenazah adiknya.

“Saya mahu membawanya pulang kepada ibu bapa kami. Mereka menunggu kedua-dua anak mereka pulang bersama, tetapi kini seorang sudah tiada,” katanya. – Agensi berita.